Wednesday, September 16, 2009

Samy Vellu bawa liabiliti kepada BN


Samy Vellu bawa liabiliti kepada BN
Harakahdaily

Setelah berbulan-bulan dakwaan perpecahan dalam kalangan Pakatan Rakyat dimainkan oleh Barisan Nasional dan media yang dikuasai, BN kini berdepan pergeseran dalaman yang mendatangkan risiko kepada sokongan masyarakat India kepada gabungan itu.



Pergeseran terbaharu ini berlaku ekoran cadangan perwakilan MIC - yang ditolak oleh persidangan - supaya mengkalungkan selipar pada gambar Tun Mahathir Mohamad sebagai reaksi kepada kenyataan Mahathir mengulas politik dalaman MIC.

Akhbar dikuasai Umno, Utusan Malaysia hari ini meletakkan tajuk mengenai reaksi kepada cadangan mengkalungkan selipar itu di muka hadapan, dengan petikan kritikan kepada tindakan yang dilihat menghina Mahathir itu daripada beberapa pemimpin utama Umno termasuk ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan seorang akademik berbangsa India, memperlihatkan sentimen itu tidak terhad kepada kumpulan tertentu.

Utusan juga meneruskan serangan dengan dua muka penuh liputan pada muka surat enam dan tujuh, meletakkan Samy Vellu - presiden yang baharu memanjangkan lagi tempoh kekuasaannya dan melihat kemenangan pemimpin-pemimpin dukungannya dalam pemilihan MIC baru-baru ini - dalam kedudukan defensif.

Mahathir turut mengulas isu ini dalam blognya, "Justeru itu mereka ini berusaha untuk menentukan kemenangan mereka melalui penyingkiran ahli yang tidak menyokong mereka, mengguna wang untuk membeli sokongan atau mengguna apa-apa kuasa yang ada pada mereka untuk menyogok, menjanji sesuatu kepada yang akan menyokong atau mengugut."

"Apabila ramai rakyat sebagai pengundi sudah benci kepada parti kerana amalan rasuah dan bodoh-sombong, janji pembangunan dan menabur wang tidak akan berkesan lagi," tulisnnya.

"Ingatlah apabila kelebihan undi sedikit sahaja, kehilangan sokongan daripada sebilangan yang kecil rakyat pun boleh sebabkan kekalahan."

Sebelum itu, Samy sendiri telah menolak nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang menyeru pemimpin-pemimpin BN jangan hanya popular dalam parti tetapi tidak diterima oleh rakyat.

Samy dalam ucapannya berkata seseorang pemimpin itu perlu mendapat tempat dalam parti terlebih dahulu sebelum boleh diterima oleh rakyat, kenyataan yang jelas bertujuan mewajarkan kedudukannya dalam parti.

Jelas bahawa Samy menentang nasihat Najib yang juga pengerusi BN itu, yang diucapkan pada perasmian perhimpunan agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra minggu lalu.

Najib juga dalam ucapannya berkata populariti di mata rakyat akan menentukan prestasi BN dalam pilihan raya umum akan datang, pilihan raya yang penting kepada komponen BN yang semakin tercabar oleh populariti Pakatan Rakyat yang telah memenangi kesemua pilihan raya kecil di Semenanjung selepas Pilihan raya Umum ke-12.

Nasihat Najib itu amat relevan kepada Samy, yang mungkin menyebabkan presiden MIC itu kelihatan sensitif dengan kenyataan Najib itu. Samy, pemimpin parti komponan BN paling lama memegang kuasa tewas dalam pilihan raya umum pada Mac 2008.

Tahun 2008 juga menyaksikan masyarakat India mula mengalihkan sokongan daripada MIC kepada parti-parti Pakatan Rakyat, dan Kelab Penyokong PAS menerima kemasukan ahli baharu etnik India secara beramai-ramai selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Kelab Penyokong PAS yang kini dianggotai 20,000 ahli, dengan 80 peratus daripadanya kaum India, menunjukkan sokongan yang semakin meningkat kepada Pakatan yang dikaitkan dengan kegagalan MIC membela masyarakat India.

Pada masa sama, pemimpin-pemimpin MIC juga diajak meninggalkan parti untuk menyertai parti komponan Pakatan Rakyat, terutama Datuk Dr S Subramaniam, pemimpin yang tidak sehaluan tetapi terus gagal menggugat Samy dalam pemilihan.

Nasihat tentang penerimaan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-13 itu jelas sekali dibuat berdasarkan perkembangan terkini yang menunjukkan populariti Samy yang semakin merosot.

Ini mendorong BN melihat Samy yang memimpin MIC begitu lama sebagai beban kepada BN, yang kehilangan kawasan-kawasan yang undi penentunya kaum India dalam pilihan raya umum lalu.

Tugas untuk memenangi undi kaum India ini kelihatan bertambah sukar dengan kedudukan Samy yang semakin mencengkam dalam MIC, meneruskan lagi rasa tidak senang kalangan sebilangan ahli.

Umno kini mengambil kesempatan situasi terkini dengan meningkatkan tekanan kepada Samy, dan isu mengkalungkan selipar yang disuarakan menjadi topik panas yang menyatukan suara Umno.

(sumber;http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22497&Itemid=)

No comments: