Monday, September 28, 2009

Bagan Pinang:Pembangkang Hina Keluarga Tentera


Bagan Pinang:Pembangkang Hina Keluarga Tentera

Oleh Teh Tarik Satu!

Seperti sudah mengetahui keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kawasan Bagan Pinang, parti-parti pembangkang nampaknya sedang mempersiapkan diri menyediakan hujah-hujah yang boleh melegakan hati para penyokong mereka mengenai faktor-faktor yang membawa kepada kekalahan PAS di kawasan tersebut.

Dari kenyataan akhbar yang disiarkan hampir saban hari, ternyata ada kebimbangan yang cukup ketara diriak wajah para pemimpin pembangkang, tidak kira PAS, DAP mahupun PKR.

Bagi DAP, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng awal-awal lagi telah menyatakan bahawa PAS tiada harapan untuk menang. Tetapi mana mungkin PAS mahu mengalah begitu sahaja di kerusi tersebut.

Realitinya dan juga percaturan di atas kertas, PAS memang akan tewas dan ini tentunya mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Yalah, pembangkang tidak pernah tewas dalam pilihan raya kecil sejak tahun lalu kecuali di Batang Ai. Malah mereka berjaya merampas pula kerusi milik BN di Kuala Terengganu.

Bukan sesuatu yang ganjil juga, apabila dalam setiap ceramah pembangkang, harapan dinyatakan secara terbuka bahawa Pilihan Raya Umum Ke-13, Pakatan Rakyat akan berkuasa dan BN akan dihalau keluar dari Putrajaya. Begitulah hebatnya impian mereka.

Tetapi kenapa tiba-tiba sahaja, pilihan raya kecil ini meresahkan mereka. Bagan Pinang bukan kerusi pembangkang sebaliknya milik BN. Kalau PAS kalah, logiknya ia tidaka akan membawa apa-apa perubahan pun.Tentu agak pelik jugakan sikap mereka sekarang?

Sedangkan sebelum ini pembangkang begitu bersemangat dan berkobar-kobar untuk menanti sebarang pilihan raya kecil kerana yakin rakyat akan tetap bersama mereka.

Lebih penting mereka dapat melanyak BN sekonyong-konyongnya manakala imej pemimpin BN dapat dicalar dan dicacatkan dengan sadisnya agar rakyat hilang kepercayaan serta keyakinan terhadap parti pemerintah.

Adakah rakyat sudah tidak bersama pembangkang lagi selepas Datuk Seri Najib Tun Razak mengambilalih tampuk pemerintahan negara dari Pak Lah?

Kawan tak tahu jawapan yang pasti kerana tidak mempunyai statistik atau data dari kajian ilmiah yang dilakukan. Mungkin perkara ini ada benarnya. Ada kemungkinan juga ia tidak tepat.

Apa yang kawan boleh lihat, cuma sokongan terhadap Najib memang semakin ketara. Bagaimanapun, sokongan rakyat kepada BN masih belum ketara peningkatannya.

sekiranya sokongan hanya meningkat untuk Najib seorang, sebenarnya ia kurang baik untuk BN. Yang ideal, pastinya peningkatan sokongan terhadap parti kerana ia boleh menjamin kelangsungan pemerintahan BN.

Menjelang pilihan raya kecil di Bagan Pinang ini pula, kawan lihat pembangkang cenderung mahu menyalahkan anggota tentera dan keluarga mereka jika PAS kalah nanti.

Macam-macam isu dan hujah yang telah dibangkitkan pembangkang termasuklah larangan tentera mengundi secara biasa adalah salah disisi Perlembagaan Negara. Benarkah begitu?

Sedangkan tentera dan ahli keluarga mereka sudah mengundi secara begitu sejak negara mencapai kemerdekaan lagi. Dulu tak pernah pula jadi isu? Adakah ini strategi baru pembangkang untuk menunjukkan mereka begitu prihatin terhadap kebajikan warga tentera?

Kawan percaya, pembangkang jadi marah kepada tentera dan keluarga mereka kerana di Bagan Lalang tentera tidak menyukai pembangkang bukan disebabkan kerajaan mengugut mereka.

Kawan tak nampak, tentera boleh diugut dalam soal mengundi. Dulu mungkin, sekarang tidak.

Misalnya, kawan tengok untuk kerusi Parlimen Pekan yang ditandingi Najib sendiri, majoriti anggota tentera udara dan keluarga mereka tak sokong pun Najib. Yang paling banyak mengundi Perdana Menteri ialah mereka dari cabang Tentera Darat.

Di Pangkalan TLDM Tanjung Pengelih pula kawan dengar jumlah undi untuk kerajaan dan pembangkang hampir seimbang. Di Pangkalan TLDM di Kuantan pula, khabarnya undi untuk pembangkang melebihi undi kepada BN.

Di Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, sokongan tentera tidak pula dapat membantu BN mengalahkan Tan Sri Khalid Ibrahim yang bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Jadi, sebenarnya undi pos oleh tentera ini tidak wajar dipolitikkan secara keterlaluan. Tentera kita tidak bodoh. Mereka dan keluarga mereka tahu menggunakan hak mereka.

Jika wakil rakyat BN gagal menjalankan peranan dan tanggungjawabnya dengan baik, pasti undi mereka banyak akan menuju ke pembangkang. Jika wakil rakyat BN cemerlang dalam menjalankan tugas termasuk menjaga kebajikan tentera dan keluarga mereka di kawasan yang ditandingi, pastinya sokongan untuk mereka akan bertahan atau semakin meningkat.

Apa yang kawan dapat rasakan ialah tentera tidak mahu memberi undi kepada PAS bukan kerana mereka diugut tetapi mereka tidak pernah merasa jasa pemimpin PAS di situ berbanding dengan jasa orang UMNO seperti Tan Sri Isa Samad.

Oleh sebab itu, PAS perlu sedar sebab mereka ditolak dan bukannya terus bersandiwara dengan memperlekehkan tahap kematangan berfikir warga tentera kita. Jika kerap dipertikaikan, bukankah nanti, mereka dan keluarga mereka akan merasa terhina?

Jangan lupa, daripada 13,664 pemilih berdaftar di Bagan Pinang, 4,604 adalah pemilih pos yang hampir semuanya dari kem tentera.



Last Updated (Monday, 28 September 2009 07:02)


(sumber;http://www.malaysia-instinct.com/english/index.php?option=com_content&view=article&id=10286:bagan-pinangpembangkang-hina-keluarga-tentera&catid=51:berita-utama&Itemid=15)

No comments: