Wednesday, September 9, 2009

12 sertai demo kepala lembu kena dakwa


Wednesday, September 9, 2009

SHAH ALAM, 9 Sept: 12 peserta demo kepala lembu dari Seksyen 23 dekat sini telah dihadapkan di Mahkamah Shah Alam, pagi tadi atas tuduhan menghasut dan menyertai himpunan haram di pintu masuk Bangunan SUK pada 28 Ogos lalu.

Mereka terdiri daripada Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39.

Enam tertuduh pertama, Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, Mohd Hilmi Ni, 40, dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu dalam demo itu.

Kesemua mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Hasbi Hasan setelah pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan. Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu.

Mereka melakukan semua itu di dalam satu perhimpunan haram yang diadakan selepas menunaikan solat Fardhu Jumaat di Masjid Negeri sebagai membantah usaha Kerajaan Selangor memindahkan kuil 150 tahun dari Seksyen 19 ke tempat mereka.

Jika sabit kesalahan mereka berhadapan dengan hukuman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam masa sama , mereka juga tidak menerima tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali. Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Selepas itu, di Mahkamah Majistret pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undang-undang di tempat, masa dan tarikh sama.

Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39 juga turut didakwa.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Ketika 12 orang kena tuduh (OKT) berdiri di kandang orang salah, peguam mereka merayu sebanyak tiga kali dengan lebih dari tiga alasan agar dikurangkan jumlah ikatjamin dari RM10,000 kepada RM500 sahaja.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen sebelum itu dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin. Mahkamah juga menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Kesemua tertuduh membayar wang jaminan. Suasana di dalam kedua-dua mahkamah sesak termasuk mereka yang membuat kecoh di dalam majlis dialog, baru-baru ini.

Posted by Siasah at 6:27 PM

(sumber; http://siasahdaily.blogspot.com/2009/09/12-sertai-demo-kepala-lembu-kena-dakwa.html)

No comments: