Wednesday, September 30, 2009

Isa jangan toleh belakang





Isa Samad dijulang penyokong-penyokongnya selepas dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang akan berlangsung pada 11 Oktober ini.

Oleh RAMLI ABDUL KARIM
ramli.karim@utusan.com.my


DI hadapan lebih 10,000 penyokongnya di Port Dickson semalam, nama Tan Sri Mohd. Isa Samad diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Pengerusi BN sempena majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri BN peringkat negeri.

Pengumuman rasmi kira-kira pukul 5 petang itu disambut tepukan dan sorakan melaung-laungkan nama Mohd. Isa oleh para hadirin.

Tidak lama kemudian, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang sebelum itu berada di majlis lain, pula tiba untuk memberi sokongan kepada Mohd. Isa.

Kehadiran Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta begitu ramai pemimpin tertinggi UMNO di samping pucuk pimpinan parti-parti komponen ke majlis tersebut mempunyai signifikan buat BN.

Ia petunjuk bahawa BN kali ini bersatu hati menyokong pemilihan Mohd. Isa dan memberi sokongan kepada jentera parti untuk mengharungi cabaran pada pilihan raya kecil itu nanti.

Sebelum ini, UMNO Bahagian Teluk Kemang sebulat suara menamakan Mohd. Isa sebagai calon tunggal untuk bertanding mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu.

Tidak cukup dengan itu, kesemua 12 cawangan UMNO, 13 cawangan MIC, empat cawangan MCA dan satu cawangan Gerakan menyatakan sokongan supaya beliau dipilih menjadi calon BN.

Dari segi calon kali ini, seperti ditegaskan Muhyiddin, pemilihan Mohd. Isa itu sangat wajar dan memenuhi konsep 'mendahulukan rakyat' iaitu amalan parti dan kerajaan pada masa ini.

Percaturan meletakkan Mohd. Isa bukan semata-mata dicalonkan sebulat suara oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang malah turut mendengar sendiri pandangan pengundi dan akar umbi.

Itulah kelebihan UMNO kali ini iaitu tidak membuat keputusan sendirian di peringkat pucuk pimpinan, sebaliknya turun padang untuk mengetahui tahap sebenar sokongan terhadap seseorang calon.

Kepada Mohd. Isa, beliau tidak perlu lagi menoleh ke belakang sebaliknya terus melaksanakan agenda mencapai kemenangan dengan majoriti lebih besar.

Sejarah hitam politiknya sehingga dihukum gantung keahlian selama tiga tahun tidak seharusnya membayangi beliau kerana terbukti ahli-ahli UMNO dan pucuk pimpinan telah lama 'memaafkan' beliau.

Jika berlaku seperti yang diramal bahawa pembangkang akan memainkan isu kes politik wang beliau itu, Mohd. Isa dan jentera BN tidak seharusnya mengikut rentak atau strategi perang psikologi dan serangan peribadi oleh mereka.

Dalam mendepani kempen agresif pembangkang khususnya Pas, BN tidak harus terperangkap atau terlalu mengikut rentak mereka sehingga akhirnya terpaksa menjadi defensif.

Taktik Pas dan pembangkang sejak dulu lagi ialah menaburkan fitnah, menyebarkan cerita palsu dan menyerang peribadi atau memburuk-burukkan calon. Mereka bukan bertanding atas semangat demokrasi antara parti dengan parti.

Sehubungan itu, jentera BN di Bagan Pinang sepatutnya mengelak daripada membuang terlalu banyak masa untuk menjawab tohmahan demi tohmahan daripada pembangkang.

"Saya bukan penjenayah, saya tak pernah dituduh melakukan jenayah. Pertuduhan ke atas saya dulu ialah melanggar kod etika sewaktu pemilihan.

"Itulah perkataan yang digunakan (kod etika pemilihan) dan saya sudah pun menjalani hukuman, jadi isu itu sudah tidak berbangkit lagi," kata Mohd. Isa di Port Dickson semalam.

Mohd. Isa sentiasa menjadi tumpuan kerana gaya kepimpinan sederhana dan kebolehannya menarik perhatian audiens ketika berucap.

Beliau mampu mencuit hati majoriti hadirin termasuk sewaktu berucap di pentas-pentas BN atau UMNO ketika membantu parti dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Kini adalah masanya untuk Mohd. Isa menawan hati pengundi di tempat beliau sendiri.

Misi BN kali ini sudah pastilah bukan lagi sekadar bertanding untuk mempertahankan kerusi malah mahu meraih majoriti undi yang lebih besar.

Menang besar di Bagan Pinang penting kepada BN dan UMNO bagi 'menutup mulut' parti-parti pembangkang kononnya BN sudah tidak relevan dan makin terhakis pengaruh di kalangan rakyat.

Kebongkakan pembangkang bersandarkan kejayaan mereka dalam tujuh daripada lapan pilihan raya kecil sebelum ini termasuk merampas Parlimen Kuala Terengganu daripada BN.

BN menang di DUN Batang Air dan tidak bertanding di DUN Penanti.

Bukannya menafikan fakta kekalahan 0-6 BN itu tetapi dalam konteks di Bagan Pinang, BN tidak seharusnya dibayangi pelbagai kesilapan dan kelemahan lampau.

Tiada guna terus menerus menonjolkan faktor kesilapan memilih calon sebagai punca kekalahan lalu, sebaliknya berlapang dada menerima hakikat kawasan terbabit kubu pembangkang.

Di Bagan Pinang, BN tiada sebab untuk terus dibelenggu atau dibayangi enam kekalahan lalu.

Sebaliknya kini masa untuk membulatkan tekad, merapatkan barisan dan memberi komitmen jitu dalam menarik sokongan pengundi.

Pada masa sama, walaupun faktor populariti dan kekuatan pengaruh Mohd. Isa di kalangan pengundi merupakan kelebihan buat BN namun itu tidak boleh melekakan jentera parti.

Jentera BN khususnya di peringkat negeri yang diketuai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Pengerusi BN negeri harus melaksanakan pendekatan 'mesra pengundi'.

Ini sesuai dengan imej Mohd. Isa yang mesra dan akrab dengan setiap penduduk di Bagan Pinang sejak 30 tahun lalu. Jentera BN juga perlu mengamalkan sikap yang sama.

Akhir sekali, kepada rakyat , para pengundi dan ahli-ahli akar umbi serta pimpinan UMNO, MIC, MCA di Bagan Pinang, permintaan anda mahukan Mohd. Isa sudah pun dipenuhi.

Jadi, tanggungjawab anda ialah membuktikan sokongan kepada BN dalam pilihan raya kecil nanti.

Penulis ialah Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia

No comments: