Monday, December 21, 2009

Gedik bersebab – Abby Fana



Gedik bersebab – Abby Fana

Noor Joha Ahmad
(Pengarang Kanan Unit Majalah Hiburan Utusan Karya Sdn. Bhd.)


Abby Fana

CELOTEHNYA mendapat perhatian pendengar terutamanya di kalangan suri rumah. Celoteh bersahaja dan jenakanya membuatkan sesetengah pendengar Sinar FM tersenyum setiap kali Abby Fana ke udara terutamanya untuk empat jam siaran bermula pukul 10 setiap Isnin hingga Jumaat.

Keletah Abby Fana dikatakan lain daripada yang lain. Celotehnya bagaikan percakapan seharian yang bersahaja. Apatah lagi dengan selingan teka-teki merapunya itu. Namun dalam keriuhan keletah dia itu, tidak dinafikan ada juga segelintir yang kurang menyenangi caranya.

Itulah keajaiban suara ibu tunggal kepada dua anak, Mohad. Afiq Nazrin,19, dan Mohd. Adli Nazrin,18, yang berkhidmat dengan Sinar FM sejak empat tahun lalu. Selain menjadi penyampai radio, Abby Fana juga mengendalikan rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dengan TV3 sejak tujuh tahun lalu.

Abby Fana atau nama sebenarnya, Habsah Omar yang berusia 43 tahun ini juga pernah disenaraikan sebagai penyampai radio popular dan terbaik dalam beberapa anugerah. Antaranya ialah Anugerah Juruhebah Radio Terbaik 2004, Anugerah Seri Angkasa dan Anugerah Bintang Popular 2007.

Pun begitu, dia hanya layak tersenarai dalam lima finalis terbaik dan tidak pernah memenangi apa-apa kategori pun sebelum ini. Bagi Abby kemenangan tidak begitu penting baginya dan apa yang penting ialah penerimaan pendengar dan peminatnya sudah memadai.

“Alah apa ada hal fasal menang atau tidak. Dah tersenarai lima terbaik cukup dah bagi saya, kira popular juga tu,” ujarnya sambil ketawa.

Abby Fana yang popular dengan kelasnya tersendiri tidak lepas daripada kritikan. Dia mengakui pernah mendapat teguran melalui beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada pendengar Sinar FM. Cemuhan, kritikan, dan teguran bukan lagi asing baginya.

Menurutnya bukan mudah untuk memenuhi kehendak semua pendengar. Setiap tutur kata, sebutan dan tawanya diperhatikan. Ada kalanya dia sendiri tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi memikat hati pendengar.

“Mula-mula tu kita takut juga dan memilih sikap berhati-hati bila bercakap. Pendengar memang sensitif. Kalau salah sebut pun kita kena tegur, kalau salah cakap pun kena tegur. Tapi bukanlah setiap kali kita ni buat salah.

“Tujuan saya berceloteh hanyalah untuk menghiburkan pendengar. Tak ada niat lain. Tapi bila difikir-fikirkan dah tak kuasa rasanya. Saya jadi diri saya sendiri lebih baik. Kalau tidak payah saya nak buat kerja, betul tak.

“Biasanya orang yang banyak sangat songel dan kata tak suka ataupun tak kuasa, dia orang tu la juga yang selalu dengar radio. Tapi rasa lega jugalah sebab banyak juga pujian yang saya terima selain kritikan,” terangnya.

Abby dah banyak kali tersenarai sebagai penyampai radio popular, tapi tak pernah menang pun. Komen sikit.

Itu semua ketentuan-Nya. Sama juga macam rezeki, setiap orang ada bahagian masing-masing. Tersenarai ke peringkat lima terbaik itu sudah memadai. Maknanya saya dalam golongan popular juga. Kelas gitu!

Apa komen Abby jika faktor usia menyebabkan itu berlaku?

Mungkin ya dan mungkin tidak. Pertama kali saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat yang penat-penat pangkah nama saya. Jasa mereka tetap saya kenang. Bagi saya mungkin faktor usia menjadi penghalang. Saya rasa dan andaikan saja, tapi tak tahulah sejauhmana kebenarannya. Peminat saya kebanyakan sebaya dengan saya. Tahu sajalah orang yang sebaya banyak kerja. Mana nak urus anak, nak urus suami, nak mengemas, nak memasak, nak hantar anak ke sekolah, nak ke kedai, nak itu dan ini. Jadi mereka tidak ada waktu untuk memangkah. Agak saya sajalah!

Kalau nak ikut faktor usia, bagi saya ia tidak penting sangat. Halim Othman pun pernah menang semasa usia lebih 40 tahun. Orang sekarang apa ada kisah tentang usia. Seperti yang saya kata tadilah, menang atau kalah bukan menentukan sama ada saya boleh bersiaran ataupun tidak?

Abby rasa popular?

Emm… itu terlalu subjektif. Biarlah saya katakan yang saya popular kalangan orang yang menghargai kerjaya saya.

Abby dikatakan penyampai radio yang gedik. Bagaimana penerimaan Abby dengan tuduhan itu?

Pada mulanya sukar untuk diterima, sebab tuduhan gedik tu semacam saja bunyinya. Gedik ke kita ni? Tapi lama-kelamaan ia dah jadi biasa, tapi kena faham jadi biasa tidak bermakna saya rasa ia serasi ataupun sebati dengan gaya hidup saya yang sebenar. Apabila orang labelkan saya gedik, mungkin ia di dalam konti sahaja. Di luar saya jadi Abby yang lain. Saya adalah ibu kepada dua anak bujang lelaki. Saya hidup menjanda sejak 16 tahun lalu. Orang boleh labelkan saya apa saja, saya manusia biasa. Bagi saya senang saja, ada seorang kawan baik saya pernah beri kata semangat. Katanya, Rasullullah yang tinggi darjatnya pun ada yang sanggup mengeji baginda, inikan Abby Fana.

Apabila bersiaran Abby suka menggunakan gaya bahasa seperti maknyah, kenapa?

Memang ya, tapi bukan sepanjang masa waktu saya bersiaran. Terpengaruh pun ya juga. Dalam hal lain saya rasa bahasa itu agak mesra dan tidak salah kalau saya gunakan. Setiap penyampai ada cara tersendiri untuk bermesra dengan pendengarnya. Itu saja. Ada ke orang komen tentang gaya bahasa saya tu?

Selain gaya bahasa itu, kenapa Abby sesuka hati cipta istilah-istilah yang pelik?

Saya akui memang ada. Contohnya istilah “falsampah” dan “cepu gangsa”. Malah saya pernah terima teguran daripada pendengar mengenainya. Bukan saya ingin perkotak-katikkan bahasa yang sedia ada, malah saya sanjung istilah yang mempunyai makna yang tersendiri itu. Saya gunakan hanya untuk segmen siaran saya sekadar gurauan dan cara interaktif bagi menjana minda. Kita tidak boleh berfikiran sempit. Contohnya macam bawang, kalau kita kupas selapis, jadi fikiran kita jangan setakat selapis kulit bawang yang nipis itu sahaja. Bawang itu kalau kita siat selapis demi selapis lagi ada berapa kelopak lapisannya hingga ke lapisan akhir. Kalau kita tak aktifkan otak kita dan cara kita berfikir, persepsi kita akan jadi setakat horizon dan terbatas sajalah nampaknya. Beginilah, cuba kupas secara halus falsafah ini, “jodoh dan maut di tangan Tuhan”. Adakah Tuhan bertangan? Jadi kita kenalah berfikiran secara luas, dan bukan secara statik saja. Kadang-kadang yang melontarkan komen itu belum tentu betul tau! Janganlah stereotaip sangat. Saya bukannya penyampai radio yang kurang membaca.

Menjanda dah 16 tahun, tak terfikir nak cari pengganti?

Dua minggu lagi 17 tahun saya menjanda. Tahun 2010 berapa minggu lagipun. Entahlah apa badi yang saya kena, sampai sekarang tak ada yang sangkut lagi.

Tak rasa sunyi?

Kalau awal-awal dulu tak rasa sunyi, sebab kita sibuk dengan anak. Anak-anak pun kecil lagi. Hujung minggu kita asyik habis bersama mereka saja. Sampai kita rasa letih dan tak cukup rehat. Tapi bila anak-anak dah membesar dan bergelar bujang, kita mula rasa sunyi. Saya percaya ibu-ibu yang mempunyai anak-anak sebaya saya dapat rasakan hal yang sama. Sekarang bila mereka dan masuk asrama dan dah boleh bawa haluan masing-masing, saya rasa sunyi. Mereka tidak lagi bergantung seratus peratus hidup dengan kita. Di rumah kita tinggal seorang saja. Kalau mereka dah berumahtangga nanti lagi sunyi kot.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_07.htm)

1 comment:

Anonymous said...

Listen all Malaysia Online Radio here XY RADIO ONLINE