Thursday, December 10, 2009

Apa yang tidak perkauman?




Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my


AHLI-ahli politik perlu menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum di negara ini.

SEORANG teman bertanya, apa yang tidak mempunyai unsur perkauman di negara ini? Katanya, segalanya berkisar sekitar kaum dan berbaur perkauman.

Bermula daripada saat dilahirkan, sampai mati setiap individu di Malaysia sarat dengan jati diri berasaskan kaum.

Itu merupakan realiti yang tidak dapat disangkal. Sejak merdeka hingga sekarang, negara dibina dan dibangunkan bersama dengan unsur ini.

Cuma Malaysia bernasib baik kerana kaum-kaumnya yang berbeza ini mempunyai semangat toleransi yang tinggi.

Mereka sanggup mengetepikan perbezaan kaum, agama dan budaya. Sebaliknya sedia untuk bekerjasama bagi memastikan negara berada di landasan yang betul untuk maju.

Ia diperkuatkan lagi dengan iltizam dan keazaman pemimpin untuk memastikan perbezaan itu tidak digunakan ke arah keburukan tetapi lebih kepada kebaikan hingga menjadi contoh kepada negara lain.

Cuba fikir dan renung sejenak nilai yang terdapat pada setiap individu yang bernama Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan di negara ini.

Apabila dilahir, anak-anak dinamakan mengikut kaum masing-masing. Kaum menjadi identiti mereka bukan negara.

Malaysia tidak seperti Thailand dan Indonesia di mana nama mencerminkan rakyatnya.

Di Indonesia biar Jawa, Minang, Madura atau pendatang Cina dan India, nama mereka hampir sama.

Begitu juga di Thailand, rakyat keturunan Cina yang menguasai ekonomi negara itu namanya mencerminkan dia adalah warga Thailand.

Tetapi di Malaysia perkara itu tidak berlaku. Daripada nama kita sudah tahu kaum seseorang itu. Dan daripada nama kita akan dibezakan mengikut kaum.

Apabila anak sudah besar dan mula memasuki alam prasekolah, ibu bapa akan memilih untuk menghantar anak mereka bagi mendapat pendidikan awal di pusat bimbingan yang berasaskan kaum.

Orang Melayu menghantar ke tadika Melayu atau Islam. Cina dan India pula ke tadika yang menggunakan bahasa ibunda mereka. Keputusan yang dibuat ini ada unsur perkauman. Mungkin tidak ada prasangka, tetapi pertimbangan perkauman tetap ada.

Begitu juga apabila tiba untuk masuk ke alam persekolahan yang sebenar. Masing-masing memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah berasaskan kaum masing-masing.

Sebab itu di Malaysia ada sekolah kebangsaan, sekolah agama, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil dan sekolah mubaligh kristian.

Atas dasar apa semua sekolah ini wujud kalau tidak atas dasar perkauman?

Begitu juga dalam kehidupan seharian. Setiap kaum dibezakan dengan nilai dan identiti kaum masing-masing.

Yang menariknya perbezaan itu tidak pernah digunakan untuk mencetuskan sengketa yang merugikan semua.

Cuma apabila ada pemimpin yang mula mengungkit isu-isu berhubung kaum lain, ia menimbulkan sedikit ketegangan.

Di Malaysia semua pihak berjuang untuk mempertahankan hak dan kepentingan kaum masing-masing. Tetapi jangan sampai ke tahap menyinggung perasaan kaum lain.

Apabila ada pemimpin yang menggunakan isu berkaitan kaum ini untuk kepentingan politik mereka maka sudah tentu perbezaan sedia ada akan menjadi besar dan ketara.

Pemimpin politik yang menuduh lawannya bersikap perkauman dan mengungkit isu sensitif, sebenarnya dalam dirinya sendiri sarat dengan perkauman.

Mempersoalkan ketuanan Melayu misalnya merupakan satu sikap perkauman yang bertujuan menimbulkan kebencian.

Soal ini mungkin tidak termaktub dalam Perlembagaan. Kerana yang ada ialah hak istimewa orang Melayu.

Tetapi setiap rakyat tanpa mengira kaum sejak merdeka dulu faham, ia bukan bermaksud Melayu menjadi tuan kepada kaum lain dan kaum lain menjadi hamba kepada Melayu.

Ia telah diperjelaskan berkali-kali, namun tetap ada pihak yang mempertikaikan, kenapa? Kalau kaum lain menjadi hamba kepada Melayu, kenapa majoriti golongan profesional di negara ini seperti doktor, peguam, jurutera dan arkitek terdiri daripada bukan Melayu?

Kenapa ahli perniagaan yang kaya raya dapat memiliki satelit dan membina bangunan pencakar langit bukan orang Melayu?

Sebab itu apabila ada pemimpin menuduh lawan mereka mengamalkan perkauman, hingga membangkitkan hal-hal sensitif, sebenarnya merekalah yang bersikap demikian.

Ia ibarat periuk mengatakan kuali hitam.

Memang dalam politik negara ini ia tidak terlepas daripada elemen perkauman. Setiap kaum berkumpul membentuk parti politik yang mewakili kaum mereka dan kemudian bergabung membentuk parti yang lebih besar dan menubuhkan kerajaan.

Kewujudan parti-parti lain yang didakwa mewakili semua kaum juga sebenarnya sarat dengan agenda perkauman.

DAP misalnya, walaupun ia mendakwa mewakili semua kaum, tetapi sebenarnya ia lebih banyak memperjuangkan hal yang berkaitan dengan kaum Cina.

Sebab itu sepanjang penubuhannya parti itu pemimpin tertingginya mesti dari kalangan kaum Cina.

Bagaimana pula dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menjadi peneraju pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan?

Walaupun ia dilihat mempunyai kombinasi daripada pelbagai kaum namun ia masih bergerak atas platform perkauman. Pemimpin yang berasal dari kaum tertentu lebih cenderung memperjuangkan nasib kaum mereka sahaja.

Perkara itu boleh dilihat kepada insiden-insiden yang berlaku di Parlimen. Apabila ia membabitkan kepentingan kaum tertentu ia akan dibawa dan diseret hingga ke Parlimen.

Mengapa Ahli Parlimen DAP, Nga Kor Ming mempersoalkan hal pembinaan masjid jika ia tidak mempunyai unsur perkauman?

Tidakkah beliau sedar bahawa struktur rumah ibadat yang terbesar di Pulau Pinang atau mungkin juga di Malaysia bukannya masjid?

Begitu juga di kawasan Gombak, rumah ibadat yang terbesar ialah kuil Hindu di Batu Cave, bukannya masjid. Tetapi ia tidak pernah dibangkit dan diungkit oleh orang Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Kenapa apabila yang berkaitan dengan masjid dibangkitkan sebegitu rupa di Parlimen? Untuk tujuan apa?

Realiti bahawa negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum perlu diterima. Maknanya elemen perkauman pasti ada. Cuma ia perlu diuruskan secara bijak oleh para pemimpin dari semua peringkat tanpa mengira parti.

Jangan menggunakan unsur-unsur perkauman ini untuk kepentingan politik sempit semata-mata. Akibatnya cukup buruk.

Jika selama 50 tahun ini kita boleh bertolak ansur dengan perbezaan yang ada. Boleh tinggal, hidup dan mengecapi kemakmuran bersama, maka ia sepatutnya dikekalkan sampai bila-bila.

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_01.htm)

No comments: