Saturday, December 19, 2009

AgendaDaily: Kemunculan saat akhir Datuk Jo patahkan gerakan 14 Disember


Kemunculan saat akhir Datuk Jo patahkan gerakan 14 Disember



Ada banyak cerita disebalik drama di bangunan Parlimen yang cukup mendebarkan Isnin malam dimana kerajaan nyaris ‘ terbalik’ dalam gerakan pembangkang untuk pintas Bajet 2010 yang boleh membawa implikasi politik dan ekonomi amat besar kepada negara.

Sepanjang hari Selasa – walaupun suasananya tenang-tenang saja di Parlimen – kekalutan yang terjadi sepanjang lebih tiga jam itu membuatkan ramai kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional termenung tepuk dahi memikirkan betapa mereka bernasib baik bajet itu akhirnya lulus dengan 66 undi menyokong dan 63 menolak – yakni beza cuma 3 undi sahaja.

Bayangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menghadiri satu majlis di Sekolah Chung Hwa di Jalan Ipoh,Kuala Lumpur terpaksa bergegas meninggalkannya untuk berkejar ke Parlimen setelah mendapat panggilan ‘ kecemasan’ tentang jumlah Ahli Parlimen pembangkang melebihi Ahli Parlimen BN dalam Dewan Rakyat.

Ribuan hadirin di majlis itu tercengang tanpa mengetahui apa puncanya.Ini lebih-lebih lagi melihat beberapa pemimpin MCA yang juga Ahli Parlimen turut menyertai beliau meninggalkan majlis tergesa-gesa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga berkejar ke Parlimen.

Bekas Menteri Kerjaraya yang juga Ahli Parlimen Sepang Datuk Mohd Zin Mohamed yang baru turun dari pesawat di KLIA sekembali dari luar negara tidak sempat pulang ke rumah.

Kebetulan sebaik saja menghidupkan telefon bimbitnya di lapangan terbang itu dan membaca SMS yang masuk meminta segera ke Parlimen,beliau tanpa memikir panjang terus mengarahkan pemandunya memecut ke bangunan Parlimen.

Di sekitar parlimen Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz yang jaga urusan parlimen terpaksa ‘ pusing keliling’ menyelaraskan usaha memastikan jumlah Ahli Parlimen BN cukup.

Dalam pada itu Penyelaras Ahli Parlimen BN,Datuk Zainal Abidin Rahim berusaha sedaya upaya beliau untuk menyelamat keadaan dengan menelefon dan SMS semua Ahli Parlimen BN yang tidak ada di parlimen supaya segera datang.

Turut sama membantu mengawasi keadaan ialah Ahli Parlimen Johor Bharu Datuk Shahrir Samad dan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Latif Ahmad.

Keadaan memang cukup mendebarkan waktu itu setelah mereka menyedari macam ada sesuatu ‘ tak kena’ melihatkan pergerakan ‘ lain macam’ Ahli Parlimen pembangkang yang makin ramai muncul.

Kebiasaannya pada waktu malam begini jumlah Ahli Parlimen baik BN dan pembangkang tidaklah begitu ramai di parlimen.

Kebelakangan ini kerana banyak perbahasan dan pengulongan belanjawan kementerian-kementerian sidang Dewan Rakyat yang bermula jam 10 pagi berlarutan hingga jam 10.30 malam.

Dalam keadaan biasa sidang tamat jam 5.30 petang.

Ikut ceritanya Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang ketika itu sedang relaks berada di sebuah pusat membeli belah di Wangsa Maju telah ‘ dikerah’ segera ke Parlimen oleh seorang rakan sejawatnya untuk tujuan itu.

Drama ini bermula semasa pengulongan perbahasan di peringkat jawatankuasa belanjawan Kementerian Dalam Negeri oleh Timbalan Menterinya Datuk Wira Abu Seman sekitar jam 8 malam.

Seorang Ahli Parlimen BN memberitahu Agendadaily perasaan curiga mereka mula memuncak bila melihat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim,Presiden PAS Datuk Seri Haji Hadi Awang yang juga Ahli Parlimen Marang dan orang kuat DAP Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor) turun ke lobi parlimen (dari pejabat Anwar di Menara Parlimen).

Kecuali Kit Siang…Anwar dan Hadi jarang kelihatan di Parlimen waktu malam.

Ketika itu jumlah Ahli Parlimen BN kurang dari Ahli Parlimen pembangkang.

Awalnya kehadiran mereka yang makin ramai tidak disedari.Sebahagian ada dalam dewan manakala lain-lainnya sekitar bangunan Parlimen.

Ada juga yang datang semula ke Parlimen setelah keluar sebelum itu.

Malah ketika itu ada seorang Ahli Parlimen pembangkang sedang relaks menonton siaran langsung pertandingan bola sepak Malaysia-Laos dengan beberapa orang Ahli Parlimen BN di sebuah bilik tidak jauh dari Dewan Rakyat.

Ia dikatakan satu gerakan terancang untuk ‘ perangkap’ Ahli Parlimen BN agar tidak menyedari jumlah Ahli Parlimen pembangkang sebenarnya.

Rupanya secara diam-diam mereka dikatakan mengira jumlah Ahli Parlimen BN yang ada.

Apa yang diduga nyata betul bila Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng telah bangun dan meminta agar undi belah bahagian dibuat. Undi belah bahagian bermaksud setiap ahli yang ada di dalam Dewan Rakyat akan dikira undinya dan bukan sekadar laungan suara bersetuju atau tidak.

Bayangkan jika tewas dalam undi belanjawan KDN ini bererti peruntukkan kewangan untuk kementerian itu tidak dapat digunapakai sehinggalah belanjawan itu dibentang semula dan diluluskan.

Ini bererti jika ambil masa dua tiga bulan – makanya wang untuk gaji kakitangan dibawah KDN dan agensi-agensi dibawahnya tidak dapat disalurkan.Begitu juga dengan wang untuk projek-projek,program dan segalanya.

Debar tak debar…bayangkan beberapa minit menjelang pengundian belanjawan KDN jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang sama 63-63.

Penyelamat BN dalam situasi yang amat mencemaskan itu kebetulan jatuh kepada Timbalan Menteri Pertanian Datuk Johari Baharom, Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Kemunculannya adalah antara yang paling klasik sekali dan betul-betul disaat akhir.

Sebenarnya ketika ‘panggilan kecemasan ‘ pertama dikeluarkan pada semua Ahli Parlimen BN,beliau sedang berada dalam kereta dekat Kuala Klawang,Negeri Sembilan dalam perjalanan menuju ke Muadzam Shah di Pahang.

Demi tugas semata-mata untuk meninjau segera masalah seorang pengusaha syarikat tenusu yang hendak membuang dua lori tangki susunya - beliau terpaksa redah ke situ pada sebelah malam.

”Saya mulanya jadi serba salah ketika menerima panggilan kecemasan suruh datang segera ke Parlimen dari Datuk Zainal .Saya memang nak pergi tengok sendiri masalah pengusaha tenusu itu.Namun saya sedar kalau tidak segera berpatah balik ke Parlimen…masalah amat besar akan menimpa kerajaan,”katanya.

Menurut Johari beliau terus meminta pemandunya memecut selaju mungkin balik ke Kuala Lumpur.

Katanya hati menjadi tambah berdebar kerana ketika sampai ke sekitar Shah Alam beliau mendapat khabar terbaru cuma ada masa 10 minit sebelum pengundian dijalankan.

Namun beliau bersyukur sejurus tiba di bangunan Parlimen dan bergegas masuk ke dalam Dewan Rakyat pengundian betul-betul hampir bermula.

Ketika itu jam menunjukkan sekitar jam 10.45 malam dan jumlah Ahli Parlimen BN dan pembangkang 63-63.

Kemasukan beliau di saat akhir itu menjadikan BN 64 orang cuma lebih seorang saja.


Berikut ialah berita Bernama mengenai masalah pengusaha tenusu di Muadzam Shah,Pahang yang Johari ingin tinjau sendiri :

Pengarah Urusan syarikat tenusu, First Dairy Farm (M) Sdn Bhd, Datuk Muhammad Alwi Abdullah tidak terdaya membendung air matanya selepas melihat produk keluarannya terpaksa dibuang begitu saja.

Sambil melihat susu segar mengalir keluar dari dua lori tangki syarikatnya ke dalam satu lubang yang digali, Muhammad Alwi berteriak menyatakan bahawa dia bukan hanya membuang susu lembu, malah membuang sumber rezekinya.

Muhammad Alwi berkata, beliau terpaksa berbuat demikian selepas susu segar keluaran 380 ekor lembu di ladangnya tidak diterima oleh dua syarikat pengeluar produk tenusu terkenal di negara ini atas alasan rosak dan dicemari bakteria.

"Selepas produk kami ditolak, kami melakukan beberapa ujian dan mendapati susu ini masih elok," katanya kepada pemberita di Muadzam Shah, Selasa.

Dakwanya, sejak dua bulan lepas, sebanyak 91,500 liter susu lembu segar dengan nilai RM228,750 terpaksa dibuang.

Katanya, kira-kira 19,000 liter susu yang masih berada dalam tangki simpanan di ladangnya di KM81, Jalan Kuantan-Segamat juga mungkin mengalami nasib yang sama sekiranya ditolak syarikat pengeluar tersebut.

Muhammad Alwi berkata, sejak ladang ternakan itu dibuka satu setengah tahun lepas, ini pertama kali produk keluarannya ditolak.

"Kita telah mengadakan pertemuan dengan mereka (syarikat pengeluar), tetapi mereka mahu kita menurunkan harga...namun kita tidak berupaya berbuat demikian kerana terpaksa menanggung kos yang tinggi selain membayar upah pekerja dan pelatih usahawan," katanya.

Justeru dakwanya, syarikat pengeluar terbabit kini lebih berminat untuk mengambil produk susu dari luar negara terutama Australia dan New Zealand .

Sehubungan itu, beliau memohon supaya kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggubal dasar menghadkan import produk tenusu luar negara bagi membantu industri tenusu tempatan.


Drama mendebarkan itu berterusan kerana setelah urusan perbahasan peringkat jawatankuasa selesai, Dewan Rakyat harus mengundi sekali lagi bagi bacaan kali ketiga untuk meluluskan keseluruhan Bajet 2010.

Sekali lagi pihak pembangkang melalui Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M.Kulasegaran meminta agar undi belah bahagian dijalankan.

Dua orang yang terakhir melangkah masuk ke Dewan Rakyat menjelang pengundian sekitar jam 11.15 malam menjadikan jumlah Ahli Parlimen BN 66 orang ialah Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M Saravanan dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Pengundian telah memihak kepada BN 66-63 iaitu kelebihan 3 undi saja.

Difaham jika tewas belanjawan kerajaan untuk segalanya jem sehinggalah ia dibentangkan semula dan diluluskan.Proses itu dijangka memakan masa.

Impaknya bukan sahaja dari segi politik malah ekonomi dan pembangunan negara.

Shahrir yang merupakan salah seorang hadir sidang parlimen setiap hari sampai selesai menilai apa yang berlaku adalah sesuatu yang amat serius.

Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu berkata kehadiran Ahli Parlimen BN adalah satu tanggongjawab yang tidak boleh diabaikan lebih-lebih lagi ketika hendak meluluskan bajet.

Baginya pembangkang tetap dengan strategi mereka bila saja ada peluang.” Soalnya jika ramai Ahli Parlimen BN yang hadir strategi apa sekalipun mereka buat tidak akan berjaya,”katanya.

Menurut Shahrir sepatutnya semua Ahli Parlimen BN membatalkan semua program di luar pada hari yang penting itu.


Mengulas tentang kesannya jika BN tewas dalam pengundian itu,beliau berkata hakikatnya kerajaan BN akan kehilangan kuasa sekiranya bajet itu tidak diluluskan Dewan Rakyat .


“Bagi menggerakkan sesebuah kerajaan ia memerlukan bajet dan sekiranya bajet tidak ada bagaimana kerajaan boleh berjalan.

“Katakanlah malam tadi bajet tidak lulus. Timbul persoalan bagaimana kerajaan hendak mentadbir negara untuk Januari hingga seterusnya,” katanya.-15/12/2009

(sumber:http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_97c0edeb-7f000010-111c3670-2b503e8c)

zmsegamat kata: Terima kasih Dato Jo. "sanggup bergadai nyawa demi menyelamatkan kerajaan Barisan Nasional" Ahli Parlimen BN yang lain camana pula..

No comments: