Saturday, May 8, 2010

UMNO Jangan wujudkan kelompok

Jangan wujudkan kelompok

Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak bersama Adnan Yaakob memotong pulut kuning bagi meraikan Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia selama setahun pada majlis perasmian berkelompok persidangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di Pekan, semalam.



PEKAN 7 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan ahli-ahli UMNO supaya tidak mewujudkan kelompok yang akhirnya membentuk komplot sehingga boleh merosakkan parti.

Perdana Menteri berkata, kewujudan kelompok dan komplot akan mengakibatkan ahli-ahli parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan untuk berdepan dengan parti pembangkang serta melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Gejala sedemikian juga, jelas beliau, akan menjejaskan keupayaan UMNO memenangi pilihan raya umum akan datang.

''Ahli UMNO perlu bekerja dalam satu pasukan dan merancang apa saja pelaksanaan yang boleh memberi kebaikan kepada parti dan kepentingan untuk rakyat dan bukannya menjatuhkan sesama ahli.

''Ramuan untuk mencapai kejayaan ialah bekerja dalam satu pasukan, elakkan komplot dan tidak ada kelompok sama ada kelompok A, B atau C dalam parti kita.

''Kalau ada komplot bererti kita bukan merancang untuk kalahkan musuh tetapi kalahkan kawan kita sendiri dalam parti dan itu adalah penyakit yang merebahkan parti,'' tegasnya.

Beliau berucap demikian pada majlis perasmian berkelompok persidangan cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di Pejabat UMNO bahagian itu di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Ishak Muhammad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Wan Razali Wan Mahussin.

Najib yang juga Presiden UMNO menegaskan, ahli parti perlu mengambil iktibar daripada kejatuhan Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun yang berpunca daripada sikap suka berkomplot dan berkelompok yang diamalkan dalam kalangan ahli parti itu sendiri.

''Usia LDP lebih kurang usia UMNO dan baru-baru ini kita dengar pengalaman pemimpin LDP yang rebah pada pilihan raya terbaru.

''Salah satu faktornya kerana banyak kelompok dan komplot dalam parti sehingga mereka lupa matlamat dan perjuangan sebenar untuk membela rakyat.

''Andai satu hari nanti UMNO rebah, perkara itu bukanlah disebabkan oleh orang atau pihak lain sebaliknya ahli parti kita sendiri yang sibuk menjatuhkan sesama sendiri,'' katanya.

Menurut Najib, ahli UMNO perlu menjadikan pengalaman LDP sebagai pengajaran bagi mengelakkan perkara seumpama itu berlaku.

''Kita akan kalah sekiranya tidak mengubah perangai kita, jadi buatlah yang terbaik. Yang penting bukan diri kita, bukan kelompok atau komplot kita tetapi UMNO yang memperjuangkan masalah dan kepentingan rakyat," tegasnya.

Beliau berkata, kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di lima negeri ketika pilihan raya umum lalu perlu dijadikan iktibar bahawa parti itu tidak memiliki kekebalan politik.

''Mungkin perkara itu akan berulang lagi sekiranya ada ahli yang terus mengamalkan sikap suka berkelompok dan berkomplot ini," katanya.

Najib turut mengingatkan ahli UMNO supaya menunjukkan teladan yang baik bagi mengelakkan parti dilihat sebagai hanya mementingkan politik dalaman, bukan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau yakin kepercayaan orang Melayu terhadap kerajaan semakin meningkat selepas kejayaan BN pada dua pilihan raya kecil terakhir baru-baru ini iaitu di Bagan Pinang dan Hulu Selangor.

Katanya, beliau melihat perkembangan ini sebagai aliran atau trend yang membanggakan walaupun ia belum boleh dianggap sesuatu yang sudah sampai ke garis penamat.

''Ini kerana kita tidak mahu sejarah lama kekalahan pada pilihan raya sebelum ini berulang.

''Contohnya seperti Ijok di Kuala Selangor dan Pangkalan Pasir di Pasir Mas apabila kita berjaya ketika pilihan raya kecil tetapi kalah pada pilihan raya umum.

''Dan sebagai parti politik, kita mesti ambil iktibar daripada peristiwa ini bagi kita mengorak langkah meningkatkan semula pencapaian," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

No comments: