Thursday, May 27, 2010

Ingatlah keldai tak boleh jadi kuda

Ingatlah keldai tak boleh jadi kuda

KEPADA Vell Paari, anak kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu, kamu telah melukai hati dan perasaan orang Melayu UMNO.

Lebih tepat, kamu telah menghina orang Melayu UMNO dengan tuduhan bahawa UMNO telah melakukan 'pembunuhan politik' terhadap anggota komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Bermula dengan Parti Perikatan sehingga BN, UMNO bergabung dengan tiga parti terbesar dari tiga kaum terbesar negara. UMNO, MCA dan MIC. Inilah kerjasama yang dijalin demi satu kemerdekaan dan keamanan sehingga kini.

Seekor keldai bila ingin bersuara sebagai seekor kuda, inilah hasilnya.

Untuk makluman Vell Paari, seekor keldai tetap menjadi keldai dan ia tidak akan boleh menjadi seekor kuda tunggangan pahlawan.

Jadi janganlah nak berangan untuk menjadi pendokong pahlawan bila anda sendiri tidak dipandang tinggi oleh kawan-kawan anda.

Sebenarnya orang tidak kenal pun siapa Vell Paari. Orang dalam MIC pun tak tahu adanya Vell Paari dalam CWC MIC kerana keahlian beliau sebagai anggota CWC hanya dilantik oleh bapa beliau iaitu Presiden MIC sendiri. Apakah MIC juga sudah mahu mengikuti DAP yang menjadi parti anak beranak?

Cuba tanya kenapa ramai anggota MIC mahu Samy Vellu melepaskan jawatan beliau sebagai presiden. Cuba lihat kebelakang dan kaji secara mendalam akan faktor penyebab gesaan dibuat.

Kenapa agaknya Samy Vellu kalah dalam pilihan raya lepas di 'rumah' beliau sendiri? Kalau Vell Paari tidak tahu dan tidak nampak, maka beliau sebenarnya tidak tahu menilai dan mentafsir. Mudahnya, kerana orang India sendiri telah muak dengan cara Samy Vellu dan dengan permasalahan dalam MIC.

Itulah hakikat dan kenyataannya. Bermula dari situlah orang India dalam MIC (bukan orang Melayu dalam UMNO) mula bersuara dan mahukan perubahan.

Mereka nampak 'penumpang' dalam bas yang dipandu UMNO (sebagaimana dakwaan Vell Paari) ini telah mengoyak tempat duduk dalam bas tersebut dan takut nanti tempat duduk penumpang yang mewakili kaum India akan hilang. Itu yang mereka nampak dan mereka tahu duduk bersama dalam bas BN lebih terjamin dari menaiki pedati ditarik keldai.

Vell Paari harus tahu, MIC adalah satu-satu parti politik yang paling banyak memecat ahli mereka hanya kerana bersuara dan tidak sebulu dengan presiden mereka. Mereka yang dipecat ini masih sayangkan MIC dan berusaha agar MIC tidak berkubur.

Dalam UMNO, ahli dipecat kerana melanggar undang-undang parti. Ada ahli UMNO yang pernah mahukan Tun Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Presiden UMNO, tapi ahli tersebut tidak pernah dipecat. Bukan macam MIC.

Ahli MIC yang dipecat sebenarnya tahu 'kepala ikan' MIC itu telah mula busuk. Mereka tidak mahu 'ulat' dalam 'kepala ikan' itu merebak ke seluruh badan. Mereka tahu MIC lebih penting dan rakyat kaum India perlu diutamakan.

Rakyat kaum India perlukan pembelaan dan bukan anak beranak presiden. Bukan 'ikan bandar raya' yang mencuci kekotoran akuarium yang dikotorkan oleh spesies yang dijaga oleh Samy Vellu.

Vell Paari, ingatlah. Jangan kerana kita anak presiden, maka kita juga berkuasa. Anda tidak pernah dipilih dan dalam negara yang mengamalkan demokrasi, seseorang itu perlu dipilih untuk memegang jawatan dan bukan diperturunkan oleh bapa mereka sendiri.

Jangan sesekali mempertahankan Hindraf kerana Hindraf adalah agenda politik parti pembangkang. Tapi kenapa sekarang baru berani bersuara pasal Hindraf? Apakah Samy Vellu juga pendorong kepada Hindraf?

Cuma satu ingatan saya kepada Vell Paari dan mereka yang seangkatannya. Jangan kerana kepentingan sendiri kita rosakkan perpaduan yang telah berpuluh-puluh tahun terjalin.

Kalau kita bergaduh anak beranak, jangan babitkan jiran tetangga lain. Mengajak jiran bersama bergaduh hanya akan merosakkan keharmonian kekeluargaan yang selama ini disemai.

Ingat, seekor keldai tidak akan menjadi seekor kuda. Seorang pahlawan tidak akan menunggang keldai untuk ke medan perang.

MEZA

Kuala Lumpur

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm)


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Vell Paari harus minta maaf

SATU tuduhan yang tidak berasas sama sekali telah dilemparkan oleh anak seorang pemimpin lama MIC iaitu S. Vell Paari kepada parti keramat orang Melayu iaitu UMNO kononnya UMNO merupakan penyebab utama orang India tidak menyokong BN termasuklah kekalahan yang dihadapi oleh ayahanda tersayangnya, Datuk Seri Samy Vellu pada pilihan raya umum yang lalu.

Sekali pandang S. Vell Paari ini seperti seseorang yang lupa daratan, tidak berpijak di bumi yang nyata, tidak bersyukur dan yang pasti tidak tahu sejarah Tanah Melayu.

Tuduhan yang beliau lemparkan ini seperti menjolok sarang tebuan yang pastinya luka lama berdarah kembali.

Tuduhan yang dilemparkan ini pasti membangkitkan kemarahan orang Melayu yang selama ini cukup bersabar dan bertolak-ansur.

Dengan menuduh UMNO sebagai punca samalah diibaratkan menuduh orang Melayu itu sendiri kerana UMNO ketika menuntut kemerdekaan daripada penjajah mendapat mandat dan sokongan penuh dari orang Melayu.

Saya menyeru kepada S. Vell Paari segera memohon maaf kepada UMNO dan juga orang Melayu di atas tuduhan jijik lagi menyakitkan ini sebelum ia menjadi barah.

Sedarlah diri, kemenangan yang dikecapi oleh ayah anda sebelum ini adalah di atas undian orang Melayu, tanpa undian orang Melayu pastinya nama ayah anda tak wujud di persada politik Malaysia.

Kemelut yang berlaku dalam MIC selama ini tiada kaitan langsung dengan UMNO dan orang Melayu.

Saya secara peribadi sebagai orang Melayu yang beragama Islam tidak berminat langsung untuk mencampuri urusan dalaman MIC, perjuangan saya sekarang ini ialah untuk menyatukan semula orang Melayu seperti semangat Malaya ketika menuntut kemerdekaan di mana ketika ini orang Melayu berpecah-belah, diperalatkan dan diperkudakan oleh orang lain.

Perjuangan saya adalah untuk agama dan bangsa.

Saya ulangi sekali lagi, anda perlu segera memohon maaf kepada UMNO dan orang Melayu.

Anda perlu belajar tentang sejarah Tanah Melayu supaya anda tidak buta dan terus melalut tidak tentu pasal.

Jangan menuding jari pada pihak lain di atas kelemahan parti anda sendiri. Sepatutnya anda tanya diri anda sendiri, benarkah ayahanda anda tidak disukai oleh majoriti kaum India seperti yang didakwa oleh bekas timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan? Cermin-cerminkanlah diri.

JAMAL LULKHIR BIN JALUDIN (PASIR SALAK)

khir69@yahoo.com.my

(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

No comments: