Wednesday, May 26, 2010

Krisis MIC: Legasi Samy Vellu Tetap Diteruskan

Krisis MIC: Legasi Samy Vellu Tetap Diteruskan

Tue, May 25, 2010
Oleh Fazy Sahir (http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=4560)

PETALING JAYA: Walaupun pelbagai desakan dibuat agar Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu berundur, namun perkara tersebut diibaratkan sebagai usaha ’sia-sia’ kerana perkara itu sama sekali tidak akan berlaku dalam parti komponen Barisan Nasional itu.

"Dengan pelbagai krisis yang melanda MIC dewasa ini Samy akan tetap dengan pendirian untuk tidak mengundurkan diri," kata bekas naib presiden MIC Datuk S S Subramaniam yang kini menyertai Parti Keadilan Rakyat.

Sambil menyifatkan Samy sebagai pemimpin yang keras kepala, Subra berkata dasar Samy selama ini hanya memberi keutamaan kepada kepentingan diri dan kroninya sahaja.

Beliau yang mengenali Samy hampir 35 tahun sepanjang karier politiknya berkata tiada perubahan akan berlaku dalam MIC, sebaliknya legasi kepimpinan Samy pula akan diteruskan oleh anak lelaki tunggalnya S Vell Paari.

"Ramai yang mahu beliau (Samy Vellu) berundur. Beliau keras kepala dan tidak akan berundur sekarang. Beliau tidak akan fikir apa-apa yang diperkatakan orang terhadapnya.

"Tunggu lain tahun. Mungkin pada mesyuarat Agong akan datang. Ini kerana memang menjadi dasar beliau untuk letak setiap kroni atau kepentingannya dalam parti tersebut melebihi perjuangan terhadap kaum India.

"Malah beliau akan memastikan anak lelakinya Vell Paari untuk meneruskan legasi pemerintahan dalam MIC. Seterusnya mengawal parti tersebut seperti dilakukan Samy sepanjang memerintah 31 tahun dalam MIC," katanya ketika dihubungi Free Malaysia Today.

Samy lantik anaknya dalam CWC

Vell Paari dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC lebih seminggu520C8921aaa lalu oleh ayah beliau.

Malah Samy Vellu turut meneruskan tindakan mencantas penentangnya dengan memecat dua lagi pemimpin semalam yang membabitkan anggota CWC yang dipilih.

Dua anggota tersebut termasuklah K.P. Samy dan G. Kumar Aamaan.

Melalui keputusan drastik itu, Samy dilihat terus menggunakan kuasa beliau sebagai presiden untuk membuat pemecatan.

Sehingga kini empat orang telah dipecat sepanjang dua minggu krisis dalaman MIC ini berlaku.

Dua yang dipecat sebelum ini ialah Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan V. Subramaniam atau lebih dikenali sebagai Bharat Maniam dan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan.

Mugilan dipecat Khamis lalu dan memutuskan untuk membuat rayuan pada Isnin ini.

Samy Vellu memecat Samy dan Kumar ketika Bharat Maniam membuat rayuan berhubung pemecatannya semalam.

(sumber;http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=4560)

No comments: