Thursday, May 27, 2010

MIC kaji kedudukan dalam BN

ARKIB : 26/05/2010
MIC kaji kedudukan dalam BN

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my


T. Mohan (duduk lima dari kanan) pada sidang akhbar mengenai GAS sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pemuda MIC di Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 25 Mei – Ketua Pemuda MIC, T. Mohan hari ini menegaskan, parti itu tidak akan teragak-agak mengkaji semula kedudukannya dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam penganjuran dan pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) pada Ahad ini.

Sambil menyifatkan tindakan penganjuran berkenaan tidak wajar memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu adalah Presiden MIC yang dipilih secara sah oleh perwakilan, beliau menggesa UMNO menjelaskan tujuan penyewaan sebuah dewan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada hari berkenaan.

Menurut Mohan, beliau curiga tempahan oleh UMNO itu dibuat bagi menganjurkan perhimpunan dan pelancaran GAS bagi mendesak pemimpin tersebut meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC lebih awal daripada perancangannya.

‘‘Apabila saya telefon PWTC pagi tadi, memang ada tempahan dewan dibuat oleh UMNO tanpa menyatakan siapa yang membuat tempahan serta untuk apa tempahan itu dilakukan.

‘‘Kami (Pemuda MIC) memang kecewa dengan perkembangan ini sekiranya ia dilakukan bagi menyokong sebuah pertubuhan haram, GAS,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan di sini hari ini.

Mohan mengulas kenyataan bekas timbalannya, V. Mugilan yang dilaporkan akan membawa 7,000 ahli GAS pada majlis perhimpunan dan pelancaran pertubuhan itu di PWTC Ahad ini.

Selain Mugilan, dua ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan KP Samy turut dipecat daripada parti itu semalam kerana turut mendesak Samy Vellu berundur.

Berikutan desakan-desakan berkenaan, anak Samy Vellu, S. Vell Paari yang juga ahli CWC MIC dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam mendakwa UMNO kini melakukan ‘pembunuhan politik’ terhadap ayahnya dengan turut terlibat dalam penubuhan GAS.

Dalam perkembangan sama, Mohan turut meminta polis supaya tidak mengeluarkan permit bagi membenarkan perhimpunan dan pelancaran GAS.

Katanya, perhimpunan pertubuhan tidak berdaftar itu berupaya memberi implikasi keselamatan kepada orang awam di sekeliling kawasan tersebut.

‘‘Jika mereka kata ada 7,000 ahli serta bekas ahli parti mendesak Datuk Seri (Samy) meletakkan jawatan, saya akan bawa 14,000 ahli Pemuda MIC yang menyokong beliau (Samy Vellu) tetapi mampukah polis jamin soal keselamatan di sekeliling?

‘‘Lagipun polis pernah membatalkan perhimpunan Hindraf pada 2008 lalu yang memperjuangkan nasib komuniti India sedangkan GAS hanya bercakap mengenai seorang individu (Samy Vellu) jadi saya harap tidak ada double standard dalam hal ini,” katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0526&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

zmsegamat kata: risaunya hati kalau perkara ni jadi kenyataan, sebab selama ini sudah berpenggal-penggal berpenat lelah di parlimen segamat, jadi jentera untuk memenangkan calon BN dari MIC di parlimen segamat.

No comments: