Saturday, May 8, 2010

GLC: ‘Tak wajar pegang banyak jawatan’


‘Tak wajar pegang banyak jawatan’

Oleh SAIFUL HAIZAN HASAM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Mei – Kementerian Kewangan diminta mengkaji kaedah pelantikan jawatan tertinggi dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengerusi bagi memastikan tiada individu memegang beberapa jawatan penting serentak.

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, langkah itu amat penting bagi memastikan individu yang diberi amanah menerajui GLC dapat melunaskan tanggungjawab mereka secara fokus.

Sebagai contoh dakwanya, seorang tokoh korporat, Datuk Mohd. Bakke Salleh didapati memegang dua jawatan penting sekali gus iaitu sebagai Pengerusi Bank Islam dan CEO sebuah anak syarikat Felda.

Beliau turut mempersoalkan adakah individu berkenaan mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat beberapa tugasan serentak sedangkan syarikat yang diterajui mereka membabitkan kepentingan awam.

“Soalnya kalau individu berkenaan menjadi CEO dalam anak syarikat Felda tetapi pada masa sama menjadi Pengerusi Bank Islam, macam mana dia nak buat kerja? Takkanlah tiada orang lain di negara ini yang boleh pegang jawatan itu.

“Kenapa satu orang boleh memegang dua atau tiga jawatan dalam GLC, kita tidak mahu ada pihak tertentu menggunakan peluang ini untuk kepentingan mereka.

“Kita nak biarlah individu yang dilantik melaksanakan tugas secara fokus, barulah GLC boleh beroperasi dengan baik,” katanya yang ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Musa turut menyarankan Kementerian Kewangan supaya mengkaji latar belakang para CEO GLC sama ada pelantikan mereka dibuat atas kepakaran yang dimiliki atau kerana rapat dengan pemimpin tertentu.

Beliau berkata, dengan cara itu kerajaan dapat memastikan peneraju GLC benar-benar berkelayakan dan sekali gus dapat mengurangkan risiko menanggung kerugian.

“Kita bukan cemburu atau sakit hati dengan pelantikan mereka namun adakah latar belakang dan pengalaman mereka sudah mencukupi.

“Kalau memegang jawatan atas dasar merit, kita amat bersetuju namun kalau duduk di atas ‘merit sahabat’ kita tidak dapat terima,” tegasnya.

Beliau juga berharap semua pihak mengambil iktibar dengan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Bhd. bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang di GLC lain.

“Jadi kita minta kepada kerajaan khasnya Kementerian Kewangan supaya siasat perkara ini, kita tidak mahu CEO yang dilantik tiada pengalaman dan akhirnya menyebabkan kerugian.

“Sebagai contoh Pos Malaysia, ada yang kata rugi RM500 juta dan ada yang kata RM200 juta.

“Pada saya walaupun RM1 juta sahaja kerugiannya, ia tetap satu kerugian besar kepada wang rakyat,” katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_01.htm)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Cuba lindungi Little Nor Mohamed?


KUALA LUMPUR 6 Mei - Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mendakwa, sikap membisu Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berhubung kerugian Pos Malaysia Berhad, seolah-olah wujud cubaan melindungi 'Little Nor Mohamed' yang dikaitkan sebagai pihak bertanggungjawab dalam kerugian itu.

Sambil menyelar tindakan tersebut, Zahrain berkata, selaku Menteri Kewangan Kedua ketika itu, Nor Mohamed perlu tampil memberi penjelasan memandangkan kerugian yang dialami berjumlah ratusan juta ringgit dan skandal itu mencemarkan imej kerajaan kerana dilihat sebagai tidak cekap.

"Kita mahu penjelasan kenapa kerugian sebesar itu boleh berlaku dan bukan bagaimana ia berlaku.

"Kalau kerugian ini disebabkan pelaburan dalam Transmile, kenapa tiada kajian terperinci dibuat mengenai risiko sebelum pelaburan dimuktamadkan dan siapa yang mendapat keuntungan daripada pelaburan tersebut?

"Isu ini tidak selesai dengan sekadar penjelasan daripada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin kerana kerugian berlaku semasa era Noh Mohamed, malah, sebarang keputusan yang dibuat oleh Pos Malaysia, saya percaya ia dalam pengetahuan beliau," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Pertubuhan Bekas Wakil Rakyat UMNO (Pakku) yang menuntut Nor Mohamed memberi penjelasan mengenai kerugian RM546 juta yang terpaksa ditanggung oleh Pos Malaysia.


Bagaimanapun, sehingga hari ini, Noh Mohamed dilihat lebih selesa membisu daripada memberi sebarang penjelasan dan hanya Awang Adek buat masa ini yang tampil mengesahkan kerugian Pos Malaysia tetapi menafikan jumlahnya sehingga RM546 juta sebaliknya memberitahu kerugian sebenar adalah RM227 juta.

Mengulas lanjut, Zahrain yang juga wakil rakyat Bebas berkata, tindakan berdiam diri itu juga memberi implikasi negatif kepada kepimpinan sekarang di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mementingkan nilai ketelusan, integriti serta akauntabiliti yang tinggi sejajar dengan konsep pencapaian diutamakan.

Dalam pada itu, beliau juga mendesak dan menuntut penjelasan Nor Mohamed mengenai isu pelantikan sehingga lapan individu daripada Dana Harta Berhad sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam syarikat milik kerajaan (GLC).

"Saya bukan bermaksud hendak menyerang peribadi beliau tetapi sebagai rakyat Malaysia, saya hendak tahu apa kriteria pemilihan sehingga lapan orang daripada Dana Harta terpilih menjadi CEO syarikat GLC.

"Apakah mereka ini mempunyai kelayakan yang begitu hebat atau ada sejarah hubungan dengan Nor Mohamed dan apakah motif pelantikkan mereka? Pada saya jika mereka ini dilantik kerana kebolehan sudah pasti Pos Malaysia tidak akan mengalami kerugian sebegini besar," jelasnya.

Bagaimanapun, secara sinis Zahrain berkata, jika benar dakwaan bahawa semua CEO yang dilantik itu bukan dibuat berdasarkan kebolehan tetapi disebabkan kronisme, adalah wajar untuk Nor Mohamed terus berdiam diri.

(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm)

1 comment:

naDim'IQ said...

melayu... dulu HUMBLE, ada KUASA & DUIT hilang segala PEDOMAN, jangankan yg dalam UMNO.. yg BERLILIT SERBAN kat kepala pun boleh tanggal apalagi puak2 LIBERAL aNUwar.. ISLAM X KUAT, BANGSA PLAK LEMAH... poning kepalo den!!!