Friday, May 14, 2010

Sime Darby kerugian RM1.6 bilion, CEO diarah bercuti


Sime Darby kerugian RM1.6 bilion, CEO diarah bercuti
Mei 13, 10 4:33pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Seri Ahmad Zubir Mursyid, diarah bercuti sehingga tamat tempoh kontraknya pada 26 November depan.

Bagi mengisi kekosongan itu, jawatan Zubir (kiri) dipangku oleh Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perladangan Sime Darby, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Azhar akan berkerjasama dengan ketua pegawai operasi kumpulan, Abd Wahab Maskan yang bertanggung-jawab terhadap operasi kumpulan dan ketua pegawai kewangan kumpulan, Tong Poh Keow.

Sime Darby juga hari ini mengumumkan kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion, membabitkan projek minyak dan gas Bulhanine dan Maydan Mahzam di Qatar serta projek hidroelektrik Bakun.

PM: Kerugian tak akan ditutup

Mengulas perkembangan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menutup kerugian akibat lebihan kos berjumlah RM1.6 bilion yang ditanggung Sime Darby kerana ia selaras dengan prinsip urus niaga yang baik.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby bercuti sementara tamat kontraknya juga perlu dibuat bagi mencerminkan prinsip ketegasan, ketepatan dan ketelusan dalam syarikat itu.

Dalam pada itu, Sime Darby dalam satu kenyataan berkata kumpulan itu akan mengalami impak negatif sebanyak RM964 juta ke atas keputusan separuh kedua tahun kewangan 2010 berikutan kelewatan dan kos berlebihan beberapa projek di Qatar dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Konglomerat itu juga mengambil tindakan yang belum penah dilakukan sebelum ini dengan membuat perubahan pengurusan, termasuk mengarahkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid bercuti sebelum kontraknya tamat pada 26 November depan.

Kenyataan itu berkata kumpulan itu mengambil langkah segera dan tepat untuk membetulkan kekurangan yang dikenal pasti oleh Kumpulan Lembaga Kerja yang ditubuhkan pada Oktober tahun lalu.

Kumpulan itu ditubuhkan bagi mengkaji semula operasi bahagian tenaga dan utiliti dan menilai tadbir urus korporat dan prestasi susulan keputusan kewangan 2009.

Kumpulan Kerja dianggotai Datuk Seri Panglima Andrew Sheng sebagai Pengerusi, Tan Sri Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan Datin Paduka Zaitoon Datuk Othman, mengkaji semua projek yang terjejas dan mengumumkan penemuan itu hari
ini.

Projek terbabit Bulhanine dan Maydan Mahzam dengan Qatar Petroleum (Projek QP); projek Maersk Oil Qatar (Projek MOQ); sebuah projek yang membabitkan pembinaan kapal untuk kegunaan dalam projek MOQ (Projek Marin) dan projek empangan hidro elektrik Bakun.

Projek QP, yang diperoleh pada April 2006 dan dijadual siap pada Ogos 2008, mengalami kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian melebihi RM500 juta yang sudahpun diambil kira.

Bahagian itu sedang berunding dengan pelanggan mengenai Projek QP atas tuntutan bagi kos yang berlebihan, kata kenyataan itu.

Walaupun rundingan sedang berjalan, berikutan kelewatan memuktamadkan perkara itu, lembaga memutuskan untuk menukar semua perolehan sebanyak RM200 juta yang diperakui sebelum ini dalam akaun kumpulan bagi tahun kewangan 2010.

Bagi projek MOQ, yang diperoleh pada Januari 2007, dan dijadual siap pada Oktober 2009, kelewatan dan kos berlebihan menyebabkan kerugian RM526 juta bagi tahun kewangan 2010.

Daripada jumlah itu, RM367 juta diperakui dalam keputusan separuh pertama 2010 kumpulan dan lembaga itu memutuskan untuk memperakui baki RM159 juta.

Rundingan sedang dijalankan dengan pelanggan bagi Projek MOQ, kata kenyataan itu.

Sementara itu, projek marin terbabit meliputi pembinaan dua bot tunda dan baj Derrick Lay untuk kegunaan dalam projek MOQ.

Bagaimanapun baj belum diserahkan dan lembaga itu menganggarkan projek mungkin mencatatkan kerugian kira-kira RM155 juta dengan pengurusan masih mengkaji semula semua opsyen yang ada.

Projek empangan hidro elektrik Bakun, dengan Sime Engineering Sdn Bhd menguasai 35.7 peratus kepentingan, diluluskan pada September 2002 dan dijadual siap pada September 2007.

Berikutan pelbagai faktor, penyiapan tertangguh dan kos meningkat.

Pengurusan menganggarkan potensi kos tambahan sebanyak RM450 juta ditanggung oleh kumpulan dalam keputusan tahun kewangan semasa,

Rundingan juga sedang dilakukan dengan pelanggan dan subkontraktor mengenai projek itu dan kumpulan melantik penasihat teknikal bebas untuk projek berkenaan.

Sime Darby berkata pengumuman lanjut akan dibuat selepas rundingan dengan pelanggan bagi setiap projek, dimuktamadkan.

Sementara itu, Sime Darby mengumumkan keuntungan RM1.113 bilion bagi separuh pertama 2010 manakala keputusan suku ketiga dijangka dimumumkan pada 27 Mei, 2010.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/131713)

zmsegamat kata: sila jemput SPRM ke Sime Darby

2 comments:

Anonymous said...

salam....

xkan ceo jer yg kena ,

perghhh rugi 1.6billion...hanya diarahkan bercuti dgn ada gaji...perghhh best tuuu...

apasal la ni byk sgt rugi2...POS rugi, KTMB rugi....la ni Sime Barby lak...rugi.... mana pi PM najib ni...cepat2lah atasi bende ini, or tukar jer pembesar2 perut kt tempat yg rugi or akan rugi,,,sebelum...undi rakyat akan berubah lagi .....

Anonymous said...

Org dlm sime darby ni korap jgn ckpla....kalau jual kedai xsah kalau xde under kaunter. bukan sikit2 plk tu...low cost house lg lah ...org dlm buat duit. lg2 org yg jaga bhgn tu. bergasak2 kutip under counter...kalau kedai kt ara damansara tu...huh..huh...brapa byk under counter dia nak... Ismail gemuk tu punye keje la...