Tuesday, May 18, 2010

Syed Ali cadangkan tubuh ‘bank data BN’


Tuesday, May 18, 2010
Syed Ali cadangkan tubuh ‘bank data BN’ kumpulkan isu tempatan dan aduan rakyat
BARISAN NASIONAL (BN) disarankan supaya menubuhkan ‘bank data’ di peringkat bahagian dan cawangan bagi mengumpul pelbagai aduan rakyat dan isu-isu tempatan sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee ketika mengusulkan cadangan tersebut berkata, penubuhan ‘bank data’ itu penting bagi mengenalpasti sikap dan gerakkerja anggota komponen BN.

“Dari situ, kita boleh kenalpasti samada anggota BN benar-benar ikhlas berkhidmat untuk parti dan bekerja untuk rakyat ,” tegasnya.

Beliau berkata, kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Kecil baru-baru ini jelas membuktikan kalangan anggota komponen BN gagal berfungsi mengikut kehendak pengundi.

“BN ternyata gagal memahami kehendak pengundi disamping tidak berupaya untuk menangkis pelbagai isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang terutama pada saat-saat akhir hari pengundian,” tegasnya.

Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berpendapat, dengan adanya ‘bank data’ tersebut, segala permasalahan yang dibangkitkan oleh penduduk setempat dapat diselesaikan secara pro-aktif.

“Kita tidak mahu apabila berlakunya satu-satu pilihan raya, maka kerajaan akan berikan pelbagai bantuan untuk mengatasi masalah rakyat, tetapi bantuan itu diputarbelitkan oleh pembangkang kononnya BN amalkan politik mee segera,” ujarnya.

Tambah menyedihkan kata beliau, bantuan segera yang membabitkan peruntukan jutaan ringgit yang disalurkan oleh kerajaan seperti peruntukan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan Cina (SRKC) langsung tidak dihargai dan pengundi tetap memilih calon pembangkang.

“Kita sudah lihat bagaimana kira-kira 70 peratus pengundi Cina menolak calon BN walaupun sebelum itu pelbagai peruntukan diberikan kerajaan, sepertimana berlaku di Hulu Selangor dan Sibu,” katantya.

Dalam hubungan ini, Syed Ali mencadangakn kerajaan BN supaya menukar strategi dengan tidak lagi memberikan bantuan segera, sebaliknya disalurkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan.

Cadangan tersebut jelasnya, bukan bermakna kerajaan BN mengamalkan sikap pilih kasih, tetapi sebagai satu pengajaran supaya pengundi tahu berterima kasih kepada kerajaan yang sebelum ini telah banyak membantu mereka.

Mengambil contoh dengan apa yang berlaku di Sibu baru-baru ini, beliau menjelaskan hanya kira-kira 15 peratus sahaja pengundi Cina yang memihak kepada calon BN.

Mengenai kekuatan UMNO menghadapi pilihan raya akan datang, beliau menegaskan UMNO harus mengubah pendekatan dengan mensasarkan perhatian kepada pengundi Melayu.

“Mahu tidak mahu, UMNO harus mencari alternatif untuk segera berubah bagi mengelak berlakunya kemerosotan undi disamping sikap pengundi yang tidak mahu keluar mengundi,” tegasnya.

Posted by syed ali alhabshee at 1:39 PM

(sumber;http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2010/05/syed-ali-cadangkan-tubuh-bank-data-bn.html)

1 comment:

agbr47 said...

KAH, KAH, KAH. Nak suruh YB buat bank data? Ada yang tak update blog sejak 2004.

agbr47: Ada teknologi tak pandai urus tak berfaedah juga.