Friday, April 16, 2010

Saya Calon 1Malaysia – Kamalanathan



Saya Calon 1Malaysia – Kamalanathan

Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen Hulu Selangor P.Kamalanathan berkata, beliau adalah calon 1Malaysia dan akan berpegang teguh kepada konsep muafakat kaum.

Beliau juga bertekad akan berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kerusi parlimen itu kepada BN, dan menjadikan kejayaan itu sebagai hadiah MIC kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Calon kali ini bukan calon BN sahaja tetapi calon 1Malaysia. Kita berpegang teguh kepada konsep 1Malaysia ini dan akan memperkukuhkan konsep ini di Hulu Selangor,” katanya kepada pemberita di sini.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Kamalanathan, 44, yang juga Ketua Penerangan MIC dan Penyelaras Nasional bagi pergerakan Putera MIC, sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen itu yang akan diadakan pada 25 April ini.

Sambil berjanji tidak akan mengecewakan BN, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Najib, Muhyiddin, dan semua ketua-ketua parti komponen BN di atas kepercayaan penuh yang diberikan mereka.

“Perjuangan BN biasanya kalau nak bersihkan sungai, dimulakan dari hulu. Kita mulakan dari Hulu Selangor ini untuk membersihkan Selangor,” katanya.

Kamalanathan, atau dikenali lebih mesra dengan panggilan Kamal, bukanlah muka baru dalam politik, di mana blogger aktif itu menyertai MIC sejak 25 tahun lalu.
Beliau dicalonkan bagi merebut kerusi parlimen Hulu Selangor, yang pernah dimenangi oleh Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel yang menjadi Anggota Parlimen kawasan itu selama empat penggal, iaitu dari 1990 hingga 2008, sebelum kalah pada pilihan raya umum Mac 2008.

Kamalanathan yang mengendalikan blog http://www.pkamalanathan.com/ pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Awam di Majlis Penggalakan Minyak Sawit Malaysia (MPOPC) sebelum menyertai syarikat Serba Wangi Sdn Bhd (JATI),(anak syarikat Bernas) pada 2001.

Pada tahun 2004, beliau diberi penghormatan oleh Institut Perhubungan Awam Malaysia yang memberi pengiktiradan terhadap usahanya membangunkan “Majlis Pelbagai Kaum Terbaik di Malaysia bagi tahun 2004″.

Kamalanathan dilantik sebagai ketua penerangan MIC pada perhimpunan agung parti itu September lepas sebagai sebahagian daripada langkah presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu untuk mengukuhkan parti.

Beliau yang berkahwin dengan S.Shobana, seorang pengurus kanan perhubungan awam sebuah hospital swasta, memulakan kariernya sebagai kerani di Associated Pan Malaysia Cement Sdn Bhd pada 1985 sebelum menjadi pegawai perhubungan awam dengan MPOPC selama enam tahun.

Beliau juga pernah bertugas sebagai pengurus perhubungan awam bagi syarikat Carotino dan lain-lain syarikat milik kerajaan.

Beliau memiliki sijil dalam bidang perhubungan awam dari London Chambers of Commerce and Industry in England dan juga diploma dalam bindang penterjemahan (Dewan Bahasa dan Pustaka), dan Ijazah Sarjana Muda dalam Perhubungan Awam dari Edith Cowan University di Australia.

Kamalanathan juga merupakan Anggota Majlis Perbandaran Selayang dari 2004 hingga 2006.

Baru-baru ini beliau menghasilkan sebuah dokumentari yang bertajuk ‘The Truth’ untuk RTM yang memaparkan kejayaan dan pencapaian komuniti India di Malaysia. HS

Dicatat oleh YEOP PARIT di 8:39 AM 0 ulasan Pautan pada catatan ini

(sumber;http://yeopparit.blogspot.com/2010/04/saya-calon-1malaysia-kamalanathan.html)

No comments: