Wednesday, April 7, 2010

Rang Undang-Undang Data Peribadi lulus

Rang Undang-Undang Data Peribadi lulus

KUALA LUMPUR 5 April (utusan online) - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Perlindungan Data Peribadi 2009 yang bertujuan mengelakkan data peribadi seseorang digunakan oleh pihak lain untuk tujuan komersial.

Mana-mana pihak yang menyalahgunakan data berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM200,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, wujudnya keperluan untuk mengawal selia pemprosesan data peribadi demi meningkatkan keyakinan pengguna dalam ekonomi global semasa.

"Seorang Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi akan dilantik untuk melaksanakan peruntukan dalam rang undang-undang ini termasuk memantau aktiviti perkhidmatan maklumat kredit oleh syarikat-syarikat seperti Credit Tip Off Service Sdn. Bhd. (CTOS).

"Data-data yang dilarang digunakan untuk tujuan komersial turut melibatkan yang dikumpulkan daripada sumber mahkamah dan notis muflis yang disiarkan dalam media cetak," ujarnya.

Menurut beliau, data yang dilindungi berkenaan turut melihat hal-hal sensitif termasuk berkaitan maklumat kesihatan, keadaan fizikal dan mental, pendapat politik dan kepercayaan agama.

Dalam pada itu, Rais berkata, rang undang-undang berkenaan tidak terpakai terhadap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.

"Ini kerana kerajaan perlu mengumpul pelbagai jenis data peribadi untuk tujuan pentadbiran dan membuat tuntutan undang-undang," katanya.

Menurut beliau, jika wujud halangan kepada kerajaan Pusat dan negeri untuk mengumpul data peribadi, ia sudah pasti akan menimbulkan kerumitan kepada urusan pentadbiran.

Dalam pada itu, katanya, sekiranya data peribadi itu dalam bentuk khidmat pesanan ringkas (SMS) dan mesej multimedia (MMS), kerajaan akan turut mengambil tindakan di bawah akta lain yang berkaitan termasuk Akta Multimedia dan Komunikasi 1998.

Sementara itu pada sidang akhbar, Rais berkata, CTOS dikehendaki mematuhi Akta Perlindungan Data Peribadi 2009 bagi menjamin privasi rakyat Malaysia.

Rais berkata, CTOS juga perlu mendapatkan persetujuan daripada individu tersebut sama ada mereka mahu data peribadi disimpan dalam sistem agensi tersebut atau tidak.

Menurut Rais Yatim, Malaysia merupakan negara pertama di kalangan negara ASEAN yang mengemukakan undang-undang seperti ini.

Jelasnya, akta berkenaan akan memberi perlindungan khusus bagi transaksi-transaksi yang melibatkan data peribadi masing-masing seperti perniagaan.

"Contohnya, jika syarikat menyimpan data peribadi kita seperti jenis darah, kesihatan, kepercayaan tanpa pengetahuan dan persetujuan individu, ia adalah salah. Kecuali syarikat dapat persetujuan daripada individu terbabit," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Parlimen&pg=pa_04.htm)

No comments: