Friday, April 9, 2010

Berhujah, berjuang tentang hak Melayu

Berhujah, berjuang tentang hak Melayu

Berkeris tajam berlidah petah
Memiliki pula emas tempawan
Sempurnalah syarat untuk berhujah
Pertahankan warisan tergadai jangan

1.0 ANTARA pelbagai isu yang disentuh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa di Dewan Tun Razak 1, PWTC 27 Mac lalu, pada hemat saya dua perkara perlu diberi perhatian khas. Pertama "pengakuan" (sindiran?) beliau bahawa "orang Melayu kurang pandai berhujah" untuk mempertahankan haknya.

2.0 Kedua, beliau menyarankan supaya satu kajian yang menyeluruh dilakukan untuk mengetahui kedudukan sebenar bangsa Melayu dari segi pemilikan harta dan sumber-sumber ekonomi serta kemudahan-kemudahan sosial yang lain.

3.0 Kata Tun Mahathir sebagaimana saya catat verbatim: "Marilah kita buat perhitungan (auditing) apa yang telah dimiliki oleh orang Melayu berbanding apa yang dimiliki oleh bukan Melayu. Kita buat satu study tentang kedudukan orang Melayu."

4.0 Mengenai kekurangan upaya orang Melayu untuk berhujah itu, dengan nada bergurau Tun Mahathir menyindir: "Kes (perbicaraan) mahkamah sesama orang Melayu pun kadang-kadang terpaksa bergantung kepada peguam-peguam bukan Melayu."

5.0 Secara tidak langsung beliau menyatakan bahawa dalam percaturan politik antara kaum di negara ini sekarang, bila ada pihak lain menuduh Melayu dengan pelbagai tuduhan, jawapan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap tuduhan-tuduhan itu tidaklah begitu jitu.

6.0 Demikian pula, bila ada pihak-pihak tertentu yang membuat tuntutan-tuntutan yang "melampau dan biadab", reaksi orang Melayu lebih banyak berasaskan emosi daripada hujah rasional yang padat.

7.0 Walaun pun tidak disebut secara eksplisit oleh Tun Mahathir, pada pendapat saya adalah lebih menyayat (menjijikkan?) lagi bila di kalangan sesetengah "bijak pandai" Melayu sendiri sejak akhir-akhir ini sudah menjadi satu "kebanggaan" untuk mengutuk dan menggodam bangsa sendiri atau memperlekeh dasar-dasar tertentu yang dianggap menguntungkan Melayu tanpa pemahaman yang mendalam tentang latar belakang dan rasional dasar berkenaan.

8.0 Isu "orang Melayu kurang pandai berhujah" itu ditimbulkan oleh Tun Mahatir sewaktu merujuk kepada dilema orang Melayu sekarang yang seakan-akan "tidak ada tempat mengadu." Di satu pihak, UMNO yang selama ini dianggap tempat bergantung dan tempat berlindung, semenjak pilihan raya yang 2008 dilihat sebagai berada dalam keadaan yang "lesu" dan "bermasalah".

9.0 Saya sendiri melihat, selain daripada masalah "dalaman", kelesuan UMNO itu juga berpunca daripada "kerenah" parti-parti komponen Barisan Nasional yang memberi tempias-tempias negatif kepada UMNO.

10.0 Demikianlah seperti dilihat oleh Tun Mahathir, di satu pihak semenjak akhir-akhir ini orang Melayu masih berharap kepada UMNO tetapi kerana pelbagai sebab, harapan itu tidak terpenuhi seperti di masa-masa lalu. Manakala di satu pihak yang lain, orang Melayu juga sudah tidak boleh berharap kepada Pas, apa lagi PKR, kerana kedua-dua parti itu sekarang adalah ibarat "tukang pancing yang telah dilarikan ikan." Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan tongkat, tongkat membawa rebah.

11.0 Kesimpulannya, sementara menunggu "pemulihan" parti-parti politik Melayu itu (semoga UMNO akan perkasa kembali dengan segera dan Pas akan segera pula insaf atas pelbagai kesilapannya) peranan memperjuangkan kepentingan dan hak Melayu itu, perlu diambil alih (diperlengkap dan diperkasakan) oleh badan-badan sukarela bukan politik (NGO). Sehubungan itulah, Tun Mahathir melihat peranan penting itu boleh dimainkan oleh Perkasa di bawah pimpinan Datuk Ibrahim Ali.

12.0 Beliau kagum terhadap sokongan yang diberikan masyarakat Melayu kepada Perkasa dan Tun Mahathir menafsirkan sokongan itu sebagai pernyataan harapan agar Perkasa sebagai satu NGO memberi perhatian terhadap keterhakisan politik Melayu.

13.0 Dalam konteks ini Perkasa perlu dilihat sebagai hulubalang untuk memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu dan juga sebagai jurubicara untuk berhujah mempertahankan hak dan kepentingan Melayu yang sedang digugat dengan hebatnya.

14.0 Dalam jargon atau istilah political science, Perkasa dapat dianggap sebagai satu structure yang berfungsi melakukan interest articulation iaitu satu badan (struktur) yang berfungsi mengenal pasti dan menyuarakan kepentingan bangsa Melayu.

15.0 Untuk dapat berfungsi secara berkesan memikul beban berat tersebut, tentu sahaja Perkasa memerlukan pelbagai sumber: sumber kepimpinan dan organisasi, sumber intelektual dan wang ringgit. Pada masa ini, Perkasa barang kali lebih tertonjol sebagai satu "gerakan massa" (mass movement) untuk membangkitkan kesedaran dan menggembleng semangat.

16.0 Tidak kurang pentingnya ialah bagi Perkasa berfungsi sebagai pembentuk pendapat awam (opinion maker) dengan memanfaatkan sumber intelektual sebanyak mungkin. Mengambil iktibar daripada saranan Tun Mahathir, jika kita hendak mengadakan "kajian tentang kedudukan bangsa Melayu", kajian itu mestilah dibuat berdasarkan kepakaran dan sumber intelektual serta ilmu pengetahuan. Perkasa juga perlu "berkeris tajam" (berani) dan mempunyuai "emas tempawan" (sumber kewangan).

17.0 Dengan perkataan lain, pelbagai sumber itulah yang akan memberi daya tahan (resilience) dan "istiqamah" kepada Perkasa untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan berhujah mempertahankan hak Melayu.

Senator Datuk Dr. Firdaus Abdullah

ialah Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya

No comments: