Friday, April 23, 2010

Perlembagaan Vs Pelaksanaan Menekan Bumiputera


Sunday, April 11, 2010
Perlembagaan Vs Pelaksanaan Menekan Bumiputera
A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan anonymous TIDAK AKAN DILAYAN. Sila gunakan nama sebenar atau nama samaran. Jikalau menggunakan anonymous, sila nyatakan nama di penghujung komen. Ulasan yang mengandungi unsur fitnah, hasutan, perkauman dan bahasa kesat tidak akan disiarkan. Ulasan yang terkeluar daripada tajuk tidak akan diberi keutamaan.]

PADA 3 April lalu, Persatuan Wartawan Melayu Kelantan yang di pelopori oleh wartawan dan aktivis sosial, Dr Alias Mohamed, telah menjemput saya memberi ceramah mengenai Perlembagaan dan hak istimewa orang Melayu.

Tujuannya adalah untuk membahaskan kekangan antara apa yang termaktub dalam Perlembagaan dengan apa yang diamalkan.

Kata alu-aluan majlis oleh Dr Alias, mukadimah oleh Profesor Dr Hashim Yaacob, Naib Canselor, International University College of Nursing dan perasmian oleh Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Mohd Nasir Salleh.

Berikut adalah inti pati pembentangan saya itu yang saya ingin berkongsi dengan pelawat dan pembahas blog ini. Kalau ada apa-apa yang kurang, marilah sama-sama kita memperlengkapkannya.

Hak istimewa orang Melayu

1. Hak istimewa orang Melayu mendahului Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957. Ia wujud lama sebelum penjajah Eropah datang ke rantau ini.

Hatta pada zaman penjajahan pun, empayar Melayu seperti yang diwakili oleh Kesultanan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu tidak pernah dijajah dalam erti kata yang mutlak.

Hanya pelabuhan Melaka dan sekitarnya saja yang jatuh ke tangan Portugis pada tahun 1511. Kerajaan Melayu Melaka dan negeri-negeri Melayu terus wujud sebagai pemerintahan berdaulat.

Istilah penjajahan adalah diayah Barat. Tetapi ia berkesan ke atas minda orang Melayu. Sampai hari ini pun, ramai orang Melayu, akibat tidak celik sejarah dan kompleks rendah diri, percaya Tanah Melayu dijajah.

2. Melayu adalah bangsa bertolak ansur dan mudah dipengaruhi. Pada tahun 1946, Melayu bangun menentang Malayan Union (Kesatuan Malaya) dan menolak kerakyatan kaum-kaum pendatang.

Sepuluh tahun kemudian, atas pujukan dan desakan Inggeris, orang Melayu bersetuju dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu, malah bersedia menerima lebih setuju kaum pendatang sebagai warganegara Malaya merdeka.

3. Suruhanjaya Reed memperakukan kerakyatan orang Cina dan India, tetapi mengiktiraf hak dan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai ciri yang mendahului Perlembagaan. Perlembagaan sekadar memaktubkan keistimewaan itu.

4. Gabungan pemaktuban hak istimewa orang Melayu dan pemberian kewarganegaraan kepada kaum-kaum pendatang adalah Kontrak Sosial antara orang Melayu dengan kaum-kaum pendatang. Pakar undang-undang Allahyarham Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim menyifatkan Perlembagaan sebagai Perjanjian Damai.

5. Perkara 153 Perlembagaan amat jelas dan terperinci mengenai apakah yang dimaksudkan dengan hak istimewa orang Melayu dan Anak Negeri Sarawak dan Sabah.

Antaranya, Perkara 153 membuat peruntukan berikut:

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan fungsinya di bawah Perlembagaan ini dan undang-undang persekutuan mengikut apa-apa cara yang perlu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan untuk memastikan perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak apa-apa perkadaran yang difikirkan munasabah oleh Yang di-Pertuan Agong daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) dan daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan, apabila apa-apa permit atau lesen dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan, maka, tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini, daripada permit dan lesen itu.”

6. Malangnya, keistimewaan orang Melayu dan peruntukan-peruntukan fundamental Perlembagaan, termasuk Perkara 153 dan peruntukan mengenai bahasa, pendidikan dan ekonomi dicabar dan dipertikai sejak awal lagi oleh parti-parti radikal bukan Melayu.

7. Cabaran ini sangat lantang dan terbuka ketika kempen pilihan raya umum 1969 – kempen terpanjang dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

8. Peristiwa berdarah 13 Mei memberikan kesedaran, sebab dan alasan kepada Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein menutup jurang antara peruntukan Perlembagaan dengan pelaksanaan (amalan), menggunakan pendekatan ekonomi.

DEB Cuba Mengisi Tuntutan Perlembagaan

Berikutan Dengan itu, lahirlah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat sejagatnya membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat agar bangsa-bangsa di Malaysia tidak lagi dikaitkan dengan kegiatan ekonomi.

Selain membasmi kemiskinan, DEB diperkenalkan untuk menangani masalah ketidakseimbangan ekonomi di antara pelbagai kaum di Malaysia yang menjejaskan perpaduan antara kaum dan keamanan negara.

Sejak Merdeka pada tahun 1957, pembangunan ekonomi di dorong oleh kuasa pasaran hasil peninggalan Inggeris. Dalam banyak hal, Persekutuan Tanah Melayu lebih maju daripada banyak negara baru merdeka yang lain di dunia kerana kekayaan hasil bumi serta infrastruktur ekonomi yang ditinggalkan Inggeris.

Akibat dasar dan sistem peninggalan Inggeris itu, pertumbuhan ekonomi selepas merdeka tidak disertai oleh pembahagian yang adil. Malah ketidakseimbangan ekonomi di kalangan kaum dan daerah menjadi lebih buruk.

Paras kemiskinan pada permulaan DEB adalah sangat tinggi iaitu 49.3 peratus dan majoriti adalah orang Melayu dan Bumiputera lain. Menjelang tahun 2005, paras kemiskinan telah turun kepada kurang daripada enam peratus. Begitu juga pengangguran.

9. Pada permulaan DEB, pemilikan kekayaan korporat Bumiputera hanya 1.9 peratus berbanding orang asing 60.7 peratus dan Bukan Bumiputera 37.4 peratus. Kuota yang diperuntukkan kepada Bumiputera sangat sederhana – hanya 30 peratus daripada kekayaan korporat dan guna tenaga.

Namun, kerana kemunduran ekonomi dan pemikiran serta sifat tolak ansur yang keterlaluan, orang Melayu tidak mempertikaikan pembahagian yang sangat tidak adil ini.

Bumiputera begitu daif dan terkebelakang dalam bidang ekonomi serta pemikiran mengenai pembangunan hingga ketidakseimbangan ini sama ada tidak disedari atau tidak mampu ditentang.

Namun kita harus akui bahawa DEB tidak gagal. Sebaliknya ia berjaya mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain, walaupun ia lebih memberi faedah lebih besar kepada orang bukan Melayu. Khasnya orang Cina.

Dalam masa yang agak singkat, kemiskinan telah dapat dikurangkan dan guna tenaga, khasnya di kalangan Bumiputera, menjadi hampir penuh. Walaupun ukuran paras kemiskinan terus dipersoalkan, kemiskinan telah turun kepada 5.7 peratus menjelang Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010).

Namun begitu jurang kemiskinan antara bandar dan luar bandar masih berterusan dan ketara. Pada tahun 2006, iaitu permulaan RMK9, kemiskinan luar bandar berada di paras 11.9 peratus berbanding 2.5 peratus di bandar.

Kemiskinan Bumiputera pada tahun 2004 dianggarkan 8.3 peratus berbanding 2.9 peratus bukan Bumiputera.

Malah pada beberapa tahun kebelakangan ini, jurang pendapatan antara kaum dan intra-kaum (dalam kaum yang sama) telah meluas semula.

Ini dibuktikan benar apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dalam pembentangan rangka Model Ekonomi Baru (MEB) pada 30 Mac, menyatakan 40 peratus daripada penduduk Malaysia mempunyai pendapatan bulanan kurang RM1,500.

Manakala pemilikan korporat, termasuk oleh agensi-agensi pemegang amanah Bumiputera seperti PNB, hanya di sekitar 18-19 peratus sahaja, sedang pemilikan bukan Bumiputera telah meningkat kepada 60 peratus, melepasi matlamat DEB.

Walaupun guna tenaga Bumiputera dalam bidang profesional dan perburuhan telah meningkat, namun nisbahnya masih belum boleh mengatasi kaum minoriti Cina dan India.

Di sini berlaku satu lagi kekangan yang sangat menakutkan apabila Perdana Menteri sendiri, ketika membentangkan MEB mengatakan 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya mempunyai kelulusan SPM.

Apakah kesilapan orang Melayu?

(I) Sikap orang Melayu/Bumiputera sendiri – nak cepat kaya, mudah puas dan iri hati:

(II) Kekurangan modal kewangan dan modal insan di kalangan Bumiputera;

(III) Kelemahan sistem pelaksanaan, penyelarasan dan pemantauan;

(IV) Rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan;

(V) Terlalu bergantung dan menyerah kepada sistem politik dan pentadbiran yang didominasi oleh Bumiputera (akhirnya diabaikan dan dikhianati);

(VI) Padang permainan tidak sama rata atau ada padang yang tidak boleh dimasuki orang Melayu kerana agamanya, dan dimonopoli oleh bukan Melayu/Islam (misalnya arak, judi dan yang tidak serasi dengan hukum Syariah);

(VII) Kerana penguasaan mereka dalam ekonomi, orang bukan Bumiputera mendapat naungan (patronage) yang lebih besar daripada pemerintah berbanding Bumiputera.

(Cuma Bumiputera akibat kedangkalan pemikiran cepat iri hati dan menuduh Melayu jadi kroni dan pemungut sewa (rentier). Realitinya, kroni dan rentier raksasa adalah bukan Bumiputera yang menggunakan operasi pasaran untuk berjual-beli aset, lesen,monopoli dan francais yang diberikan oleh kerajaan.)

Harapan Bumiputera Di Bawah MEB

Model Ekonomi Baru (MEB) ringkasnya bermatlamat mengubah ekonomi Malaysia daripada berpendapatan sederhana kepada tinggi selaras dengan hasrat mencapai
status negara maju menjelang tahun 2020.

Perdana Menteri berkata pendapatan per kapita akan dinaikkan daripada AS$7,000 (lebih kurang RM23,000) sekarang kepada AS$15,000 (RM49,000) menjelang akhir dekad ini.

Di bawah model itu, kerajaan tidak akan membenarkan lagi amalan “memungut sewa” (rentier) dan "penaungan” (patronage) yang telah mencemar matlamat membantu golongan sasaran di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Di masa yang sama, pemerintah berulang kali bercakap mengenai penghapusan subsidi yang menjadi payung kepada golongan berpendapatan rendah, tetapi menjadi sumber kekayaan kepada kapitalis dan pemilik industri.

Kesimpulannya

(I) Kekangan antara peruntukan Perlembagaan dan amalan akan berterusan jika orang Melayu keseluruhannya tidak mengawasi saudara sebangsa dalam kelompok politik, pemerintahan dan pentadbiran agar menjadi lebih telus dan mengotakan apa yang dikata;

(II) Orang Melayu tidak boleh lagi menyerahkan bulat-bulat nasib mereka kepada parti-parti politik, pemerintahan dan pentadbiran yang diterajui oleh Melayu. Mereka wajib bertanya dan menegur kepimpinan politik, pemerintahan dan pentadbiran Melayu secara terbuka.

(III) Kepentingan bangsa wajib mengatasi afiliasi dan taat setia kepartian;

(IV) Melayu wajib mewujudkan semula kepelbagaian suara untuk mendesak dan mengawasi agar kepentingan mereka tidak diabaikan;

(V) Melayu wajib membuang sikap negatif seperti iri hati, menghina bangsa sendiri, rendah diri tetapi terlalu bertolak-ansur dengan bangsa-bangsa lain sehingga merugikan bangsa sendiri;

(VI) Orang Melayu wajib mengkaji dan memahami falsafah, ideologi dan nilai moral kaum-kaum bukan Melayu sebelum boleh bersaing secara berkesan dengan mereka.

(sumber;http://kadirjasin.blogspot.com/2010/04/perlembagaan-vs-pelaksanaan-menekan.html)

No comments: