Wednesday, April 21, 2010

MIC perlu menang agar relevan


ARKIB : 17/04/2010
MIC perlu menang agar relevan

WASHINGTON 16 April - MIC yang diberi mandat oleh Barisan Nasional (BN) untuk terus bertanding di kawasan Parlimen Hulu Selangor perlu memastikan kemenangan pada pilihan raya kecil tersebut 25 April ini supaya ia kekal relevan dalam konteks politik nasional.

Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kemenangan calon BN daripada MIC itu penting bagi membolehkan parti berkenaan terus dilihat sebagai sebuah parti nasional, yang bukan sahaja mewakili kaum India tetapi juga kaum-kaum lain.

Perdana Menteri menjelaskan beliau memutuskan memilih P. Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC, setelah mengambil kira kehendak pengundi tempatan dalam memastikan kemenangan BN.

"Itulah yang kita utamakan, maknanya apakah pandangan rakyat mengenai calon yang paling sesuai untuk menjadi wakil mereka di Parlimen. Itulah yang menjadi perhitungan utama.

"Kita perlu meletakkan calon yang boleh menang kerana kawasan tersebut secara tradisinya adalah kawasan BN," katanya kepada wartawan Malaysia yang mengikuti lawatan kerjanya ke AS di sini petang semalam.

BN, jelasnya, hanya 'meminjamkannya sementara waktu' kepada PKR dan sudah sampai masanya 'tempoh peminjaman' itu ditamatkan dan dikembalikan kepada BN.

Kamalanathan akan bertanding merebut kerusi kawasan itu yang kosong ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad daripada PKR pada 25 Mac lepas akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum 2008, calon BN, juga daripada MIC, Datuk P. Palanivel yang kini Timbalan Presiden parti itu gagal mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum terdahulu.

Mengenai Palanivel, Perdana Menteri berkata, BN tetap mengiktiraf kepimpinan beliau sebab beliau juga banyak memberi sumbangan sebelum ini sebagai ahli Parlimen dan sebagai timbalan menteri; dan beliau akan terus memainkan peranan menerusi MIC.

Ketika diminta mengulas mengenai calon PKR, Perdana Menteri berkata: "Saya tahu semua orang mengenali Zaid. Jadi tidak payahlah saya mengulasnya." - Utusan

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_02.htm)

zmsegamat kata: para pengundi di PRK Hulu Selangor di tangan anda untuk menentukan samada MIC masih releven atau tidak.. gunakan kebijaksanaan anda

No comments: