Sunday, April 18, 2010

Johan berahsia motif bertanding


Johan berahsia motif bertanding

HULU SELANGOR 17 April - Calon bebas, Johan Mohd. Diah, 31, masih berahsia motif sebenar beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini. Beliau sebaliknya hanya berkata, segala pendedahan akan dibuat semasa kempennya nanti.

"Saya bertanding bukan sebab kecewa atau untuk balas dendam. Banyak perkara kita akan dedahkan dalam kempen saya nanti. Buat masa ini tiada komen," katanya yang merupakan bekas Exco Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Johan berkata, beliau akan menggunakan lambang cangkul bagi mewakili rakyat terutama di Felda, golongan muda dan mereka yang kecewa dengan kerajaan.

"Saya akan terus jadi calon bebas dan tidak berhasrat untuk sertai mana-mana parti politik. Saya adalah Jebat yang akan terus memperjuangkan Melayu," katanya.

Seorang lagi calon bebas, VS. Chandran, 56, yakin beliau akan berjaya pada pilihan raya kecil itu.

"Saya yakin akan mendapat 90 peratus sokongan daripada rakyat di Hulu Selangor kerana saya merupakan anak tempatan yang dikenali rakyat di sini," katanya yang merupakan bekas Timbalan Pengerusi MIC Hulu Selangor," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm)

No comments: