Friday, April 30, 2010

Kunta Kinte original: Ekonomi Bumiputera: Walhasil balik asal

Kunta Kinte original: Ekonomi Bumiputera: Walhasil balik asal


2010/04/30

1.0 SEKARANG ini, mana pun Kunta Kinte pergi, Kunta Kinte dengar orang cakap pasal ekonomi. Itu pun yang Kunta Kinte banyak dengar bila pergi tengok orang berkempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini. Daripada yang sebesar-besar orang macam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sampailah kepada Cina tua yang jual petai, semua cakap pasal ekonomi.

2.0 Patutlah macam tu. Ekonomi sangat penting. Dari lahir sampai mati, manusia terikat dengan ekonomi. Tak kira dia berniaga besar atau cari rotan dalam hutan. Apa pasal macam itu? Sebab sebagai manusia kita berkehendakkan makanan, pakaian dan perlindungan.

3.0 Orang Greek dulu kala panggil kegiatan ini ‘oikonomia’ yang maksudkan pengurusan rumah tangga.

4.0 Itulah ekonomi - pengurusan rumah tangga. Daripada pengurusan rumah tangga jadilah pengurusan kampung, mukim, daerah, negeri, negara dan dunia.

5.0 Di Malaysia kita ni, bila cakap pasal ekonomi, mahu tak mahu, kita kena cakap pasal agama, bangsa, kaum dan wilayah. Itulah keistimewaan yang Allah bagi kepada kita. Kita ada banyak agama, bangsa, suku kaum dan wilayah.

6.0 Jadi taraf ekonomi kita juga berbeza. Kita tak boleh hapuskan perbezaan ini dengan hanya buang identiti agama atau kaum. Bukan sebab apa, tapi kerana taraf ekonomi orang kita banyak berkait dengan agama, bangsa, suku kaum dan tempat dia tinggal.

7.0 Baru-baru ini Kunta Kinte bercakap dengan beberapa orang Melayu yang pandai berniaga dan yang tinggi pelajaran. Daripada mereka Kunta Kinte dengar Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) nak buat Konvensyen Usahawan Melayu bulan depan.
Baguslah, dah lama pun kita tak buat konvensyen atau kongres ekonomi. Kalau tak silap Kunta Kinte, Kongres Ekonomi Bumiputera yang terakhir pada awal 1990-an. Jadi eloklah satu konvensyen atau kongres baru dibuat.

8.0 Walaupun DPMM nak cakap pasal usahawan Melayu, Kunta Kinte rasa akhirnya kita akan balik cakap pasal ekonomi dan kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera sebab kita adalah kaum majoriti di negara ini.

9.0 Tak payahlah Kunta Kinte ulang mengenai kedaifan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera berbanding kaum Cina dan India. Walaupun ada juga orang Cina dan India yang miskin, tapi yang paling ramai hidup susah adalah orang Melayu dan kaum Bumiputera lain.

10.0 Baru-baru ini seorang penyelidik Melayu yang sedang belajar di Eropah datang jumpa Kunta Kinte. Dia nak sahkan beberapa hal mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) lawan Model Ekonomi Baru (MEB).

11.0 Dia bagi tahu Kunta Kinte maklumat yang dia dapat dari sumber rasmi dalam negara dan sumber antarabangsa mengenai perbezaan ekonomi antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera, khasnya dengan orang Cina sangat luas.

12.0 Tapi Kunta Kinte bagi tahu dia, Kunta Kinte tidaklah terkejut sangat, pasal sejak DEB dilancar pada 1971, Kunta Kinte dah mula kaji perangkaan bersabit perbezaan antara kaum ini. Kunta Kinte tak terkejut sebaliknya sedih dan bimbang bila diberitahu, misalnya jurang tabungan (simpanan) antara Bumiputera dengan bukan Bumiputera tambah luas.

13.0 Kita tentulah sedih dan bimbang pasal kerajaan selalu kata nisbah penabungan di negara kita antara tertinggi di dunia. Itu Kunta Kinte tak nafi. Menang betul ramai rakyat Malaysia menabung. Busuk-busuk pun bagi orang Islam dia menabung dengan Tabung Haji pasal nak tunai haji.

14.0 Tapi bila dia kata, bagi setiap RM1 yang Bumiputera simpan, bukan Bumiputera simpan dekat RM5, Kunta Kinte terkejut.

15.0 Kunta Kinte lagi terkejut bila dia bagi tahu, purata tabungan Bumiputera hanya RM536 dan lebih 90 peratus Bumiputera tak ada sebarang simpanan. Orang DPMM pernah bagi tahu Kunta Kinte, pendapatan lebih 80 peratus peniaga Melayu hanya sebanyak RM2,000 atau RM2,500 sebulan.

16.0 Kemudian penyelidik itu bagi tahu Kunta Kinte, kekayaan atau harta purata 20 peratus Bumiputera termiskin hanya RM2,300 manakala harta kekayaan 20 peratus Cina termiskin RM44,000.

17.0 Walaupun ramai Bumiputera yang lulusan universiti kerja dengan kerajaan, harta kekayaan mereka pada satu-satu masa hanya sama dengan harta kekayaan seorang pekerja Cina yang hanya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

18.0 Ini masuk akal. Bumiputera makan gaji dengan kerajaan, tapi majoriti lulusan SPM. Cina masuk berniaga atau jadi mekanik di bengkel milik Cina. Jadi tak hairanlah kalau harta kekayaan seorang Cina yang mempunyai kelulusan yang sama dengan seorang Bumiputera adalah jauh lebih tinggi. Kata penyelidik ini, perbezaan itu boleh sampai 40 peratus atau lebih.

19.0 Kalau betul angka-angka ini, Kunta Kinte kata memang teruk dan pihak berkuasa serta badan bukan kerajaan (NGO) Bumiputera kena kaji betul-betul dan ambil tindakan. Jangan tahu tapi tak buat apa-apa.

18.0 Tapi bila pengkaji itu bagi tahu Kunta Kinte, pengurus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dia jumpa lebih utamakan bottom-line (untung-rugi) daripada bantu capai matlamat DEB, Kunta Kinte sikit pun tak hairan.

19.0 Inilah bahana bila keuntungan jadi tujuan utama GLC. Kesudahannya yang dapat pinjaman, kontrak dan jadi eksekutif atasan adalah orang atau pihak yang dapat bagi keuntungan paling besar kepada mereka.

20.0 Walhasil balik asal, itulah cerita ekonomi Bumiputera, peniaga Bumiputera dan GLC yang diuruskan oleh Bumiputera. Itulah pasalnya banyak usaha tingkatkan ekonomi Bumiputera tak berhasil. Jadi Kunta Kinte harap MEB akan cuba atasi jurang dan kekangan ini.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/KuntaKinteoriginal_EkonomiBumiputera_Walhasilbalikasal/Article)

No comments: