Monday, August 16, 2010

Kekalkan ekuiti 30%



Kekalkan ekuiti 30%

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan mengekalkan hak ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi negara.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan tidak perlu tunduk dengan tuntutan Kongres Ekonomi Cina Malaysia yang mahu ekuiti bumiputera itu dikurangkan secara berperingkat-peringkat.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan mesti terus kekal dengan keputusan pemilikan ekuiti tersebut seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

"Perkasa mengecam dan mengutuk sekeras-kerasnya tuntutan Kongres Ekonomi Cina Malaysia supaya kerajaan mengurangkan ekuiti pemilikan 30 peratus kaum bumiputera dalam semua sektor ekonomi secara berperingkat-peringkat.

"Tindakan ini bukan sahaja melampau malah mereka tidak berterima kasih kepada bumiputera yang selama ini telah banyak bertolak-ansur.

"Pemilikan ekuiti 30 peratus untuk bumiputera itu mewakili keseluruhan 67 peratus majoriti kaum bumiputera di negara ini dan ia tidak seharusnya dipersoalkan," katanya pada sidang akhbar di Kelab Sultan Sulaiman di sini hari ini.

Kongres itu juga mahu kerajaan mengamalkan sistem tender terbuka dalam penawaran kontrak kerajaan agar persaingan adil dan tidak berat sebelah dalam bidang perniagaan tempatan dapat dicapai.

Tuntutan itu adalah antara 12 deklarasi yang terkandung dan diluluskan pada kongres yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, semalam.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, sekiranya kerajaan meneruskan tuntutan Kongres Ekonomi Cina Malaysia itu maka kepentingan kaum bumiputera yang digariskan dalam RMK-10 dan MBE hanyalah retorik semata-mata.

Ekoran itu juga katanya, Perkasa dan sekretariat Majlis Perundingan Melayu (MPM) akan mengadakan sidang meja bulat tergempar bagi membincangkan secara terperinci mengenai isu berkenaan.

"Kita akan mengadakan persidangan meja bulat ini pada 29 Ogos bagi membincangkan agenda ekonomi bumiputera dan 12 perkara yang diluluskan oleh Kongres Ekonomi Cina Malaysia itu," katanya.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0816&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_05.htm)

1 comment:

Anonymous said...

Persekutuan Malaysia terdiri dari gabungan Yang diPertuan Negeri-Negeri Tanah Melayu samada Bersekutu atau tidak Bersekutu. Negeri-Negeri ini adalah wilayah yang berdaulat dan tidak dijajah kerana British sekadar mentadbir namun kedaulatan tetap kekal pada YangdiPertuan Negeri-Negeri. Pendekata, orang-orang Melayu sememangnya adalah rakyat Yang diPertuan Negeri-Negeri Tanah Melayu berbanding bangsa -bangsa lain yang walaupun berada di Persekutuan Negeri-Negeri Tanah Melayu, mereka-mereka bukanlah rakyat diPersekutuan Tanah Melayu. Ketika itu, isu orang-orang Melayu tiada keistimewaan tidak timbul sama sekali dan bangsda-bangsa asing ketika itu sememangnya sedar siapa mereka. Perlembagaan Persekutuan Malaysia sekadar mengendoskan sahaja kontrak sosial itu supaya dulu kini dan selama-lamanya seperti kata hang Tuah, "tidak Melayu hilang didunia dan Persekutuan Malaysia asalnya ialah Negeri-Negeri Tanah Melayu tempat tingal orang-orang Melayu dibawah Yang diPertuan Negeri-Negeri Tanah Melayu. Apakah sudah lupa apa itu KTM?