Friday, August 20, 2010

UMNO Pulau Pinang Protes Guna Nama Ketua Menteri Dalam Khutbah

19 Ogos, 2010 19:52 PM

UMNO Pulau Pinang Protes Guna Nama Ketua Menteri Dalam Khutbah

KEPALA BATAS, 19 Ogos (Bernama) -- Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang memprotes penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penggunaan nama ketua menteri itu dalam khutbah Jumaat dikesan sejak minggu lepas di beberapa buah masjid sekitar Tasek Gelugor, Permatang Pauh dan Jelutong.

Beliau berkata tindakan menggunakan nama ketua menteri bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong dalam khutbah Jumaat adalah di luar daripada keputusan Majlis Raja-Raja.

"Lazimnya lafaz doa bagi khutbah kedua dibacakan untuk ketua negeri atau ketua agama Islam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung perkara itu tetapi segala bukti berhubung perkara berkenaan memang ada, katanya.

Selain itu Ahmad Zahid turut mempersoalkan tindakan ketua menteri yang hadir pada majlis pengagihan wang zakat yang sepatutnya dilakukan oleh pemimpin Islam.

"Walaupun niat kerajaan negeri adalah untuk menggambarkan bahawa beliau (ketua menteri) seorang yang fleksibel tetapi mungkin ia mempunyai agenda tersembunyi bagi tujuan politik," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau turut dimaklumkan mengenai tindakan sebuah pusat khidmat anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang didakwa menyalurkan duit kutipan bazar Ramadan untuk kegunaan pusat khidmat berkenaan.

Katanya duit kutipan bazar Ramadan yang dibuka di kawasan tanah rizab masjid itu sepatutnya disalurkan untuk kegunaan masjid dan bukannya menampung kegiatan politik.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang harus lebih sensitif dalam hal ehwal agama Islam, sekiranya mahu mewujudkan kesamarataan perlulah dengan kaedah yang betul," katanya.

Ahmad Zahid juga mengucapkan syabas dan terima kasih atas maklumat yang diberikan oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang yang prihatin dengan perkembangan semasa di negeri itu.

-- BERNAMA

No comments: