Saturday, August 14, 2010

Perkauman, hipokrasi hidup subur dalam politik negara

(gambar hiasan)
Perkauman, hipokrasi hidup subur dalam politik negara
Oleh Jamhariah Jaafar

2010/08/12

1.0 ISU perkauman terus menjadi perbualan. Seorang demi seorang ahli politik membuat kenyataan, yang akhirnya menjurus isu ini kepada krisis yang jika tidak dikekang akan membawa padah amat buruk kepada keharmonian negara yang dihuni rakyat pelbagai kaum dan agama.

2.0 Dalam suasana politik kini, rata-rata ahli politik bermain dengan sentimen bangsa dan kaum demi meraih simpati dan sokongan rakyat, dalam usaha mereka untuk merebut kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

3.0 Setiap parti politik tersepit dengan permainan politik perkauman masing-masing. Setiap parti sedar mereka tidak boleh bergerak bersendirian, sebaliknya perlu bekerjasama dengan parti politik lain sekiranya mahu mencapai agenda dan matlamat masing-masing.

4.0 Catatan terbaru bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, To Be or Not To Be A Racist (Untuk Menjadi atau Tidak Menjadi Seorang Rasis) dalam blognya amat menarik apabila beliau menamatkan tulisannya dengan mengatakan: Hipokrasi sesungguhnya amat hidup di dalam politik Malaysia.

5.0 Ramai pemerhati politik berbelah pendapat apabila membaca tulisan Dr Mahathir, malah beliau sendiri mengaku terkejut apabila seorang bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) bangun menyoalnya mengapa BN tidak memberi lebih banyak jawatan kepada kaum Cina dan melantik mereka sebagai Timbalan Perdana Menteri atau pembantu menteri besar, seperti yang dibuat pembangkang di negeri yang dikuasai mereka hari ini.

6.0 Saya terperanjat dengan kritikan seorang bekas wakil rakyat kerajaan negeri atau Persekutuan ini ke atas BN. Adakah saya perlu menjawab dengan jujur atau tidak menjawab, sebaliknya memberi pandangan baik dalam usaha tidak kedengaran begitu rasis? Tapi dengan bertanyakan soalan ini, bukankah si penyoal juga bersikap rasis? soal bekas Perdana Menteri Malaysia itu.

7.0 Dr Mahathir nyata tidak menjawab soalan itu secara langsung pada forum dihadiri ramai bekas wakil rakyat BN itu, tetapi soalan itu menghantui dirinya sehingga beliau membuat keputusan untuk menjawab mengapa tidak banyak jawatan diberi kepada China di dalam pentadbiran Kerajaan BN, serta mengapa Umno kelihatan kurang memberi perhatian kepada amalan agama bangsa Cina.

8.0 Nyata, beliau tidak boleh lari daripada faktor ekonomi yang akhirnya menjurus kepada pengenalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 40 tahun lalu, yang menyaksikan bangsa peribumi masih belum lagi mencapai sasaran 30 peratus dalam pemilikan korporat, manakala bangsa Cina semakin galak menguasai ekonomi negara.

9.0 Dalam bidang politik, bangsa Melayu kelihatan masih menguasai. Kebanyakan jawatan tertinggi seperti PM, MB dipegang Melayu. Sekiranya jawatan ini dipegang bangsa Cina, maknanya bukan saja ekonomi di bawah kawalan Cina tapi arena politik juga akan terletak di bawah mereka. Apakah pegangan Melayu di dalam negara ini? soal Dr Mahathir di dalam blognya.

10.0 Jelasnya, DEB bertujuan memberi peluang kepada bangsa Melayu mencapai tahap ekonomi lebih adil dan hanya selepas mencapai kedudukan lebih baik, mereka tidak lagi akan menghadapi masalah bertolak ansur mengenai pengagihan kuasa di bidang politik.

11.0 Tapi kerana belum mencapai kedudukan yang adil dalam bidang ekonomi, mereka (Melayu) perlu dibenarkan mengekalkan kuasa lebih besar dalam politik, katanya.

12.0 Dr Mahathir berkata, Pas lebih bertolak ansur dengan amalan keagamaan bangsa Cina, semata-mata kerana ingin undi bangsa Cina yang hari ini semakin ramai dengan lantang mengkritik pemerintahan BN yang didakwa tidak berlaku adil apabila terus memberi perlindungan dan layanan istimewa kepada kaum Bumiputera.

13.0 Ingat, dulu Pas pernah mengutuk Umno kerana mengambil MCA sebagai rakan kongsi. Sekarang Pas sanggup menerima DAP sebagai rakan. Ia adalah hipokrasi politik, bukan perkongsian yang jujur.

14.0 Saya bercakap mengenai isu perkauman hanya kerana penyoal saya bertanya isu kaum. Dikatakan prestasi buruk BN pada Pilihan Raya Umum 2008 disebabkan rakyat Malaysia bosan dengan parti dan politik perkauman. Saya meraguinya. Sejak 2008 lebih banyak perdebatan mengenai bangsa terjadi, berbanding sebelumnya dan penyoal saya sudah membuktikannya. Perkauman jelas masih menjadi satu isu di Malaysia.

15.0 Sekiranya PAS begitu melampau dalam menyokong bangsa Cina hari ini, bukan kerana parti berkenaan sudah tidak lagi dipengaruhi isu bangsa dan agama. Ia hanya kerana ia mahu bermain dengan sentimen perkauman bangsa Cina dalam usaha untuk memenangi undi Cina. Sikap hipokrit sesungguhnya amat hidup di dalam politik Malaysia.

16.0 Tulisan Dr Mahathir sudah pasti akan diterima penyokong kerajaan, dipandang sinis pembangkang terutama Pas dan DAP, manakala majoriti bangsa Cina sudah pasti marah kerana berasa mereka terus dianaktirikan walaupun Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka.

(sumber;http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Perkauman_hipokrasihidupsuburdalampolitiknegara/Article/index_html)

2 comments:

luahfikiran said...

Salam ZM,
Setuju sangat. Nampaknya bukan berkurangan tetapi semakin kerap dan ketara - - semata-mata kerana hendak kuasa.

udanggalah said...

Salam...Hanya tinggal sedikit kuasa ditangan kita,andai terlucut bakinya ini kita bakal hilang segalanya..Bayangkan andai kita jadi seumpama melayu Singapura...Tangisan sudah tidak berguna.