Wednesday, August 18, 2010

‘Jangan persoal kuota bumiputera’

‘Jangan persoal kuota bumiputera’

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Ogos – Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang mempersoalkan sistem kuota untuk usahawan bumiputera dalam Model Baru Ekonomi (MBE) mendapat pelbagai reaksi daripada pertubuhan Melayu dan bumiputera.

Bagi mereka, kenyataan itu mencetuskan kemarahan di kalangan usahawan bumiputera tempatan yang menyifatkannya sebagai modal politik murahan pemimpin tersebut untuk menarik sokongan rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, kenyataan Soi Lek itu langsung tidak membantu ke arah pembangunan usahawan bumiputera malah boleh membantutkan perkembangan ekonomi negara.

Sebagai seorang pemimpin berpengalaman, katanya, Soi Lek perlu menyedari hakikat bahawa peluang ekonomi sewajarnya harus diberikan kepada kaum majoriti bagi memastikan sesebuah negara berupaya mengalami pertumbuhan seimbang.

“Jadi, perkara mengenai hak atau peluang ekonomi sesebuah kaum perlu dianalisis secara holistik kerana semua negara di dunia mementingkan kesejahteraan ekonomi kaum majoriti.

“Saya lihat kenyataan yang dibuat Soi Lek tempoh hari langsung tidak membantu usaha pembangunan ekonomi Malaysia dan perpaduan di kalangan rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Khairy mengulas kenyataan Soi Lek pada Kongres Ekonomi Cina anjuran MCA di ibu negara kelmarin yang mahu kerajaan mementingkan sistem merit berbanding kuota bagi memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera mencapai matlamat.

Pada majlis itu juga, Soi Lek mendakwa kontraktor Kelas F bumiputera kebanyakannya terus mendapat peluang berniaga sekalipun kurang layak dan kumpulan itu juga sering mengalibabakan projek yang diterima kepada kontraktor lain.

Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mokhtar Samad pula berkata, cadangan Soi Lek supaya kerajaan menggantikan sistem kuota kepada merit kononnya bagi mewujudkan perkongsian tulen di kalangan bumiputera dengan bukan bumiputera adalah salah dan mengelirukan.

“Soi Lek perlu terlebih dahulu menasihatkan para kontraktor Cina supaya ikhlas dan tulen mencari rakan kongsi bumiputera, bukannya menekan kerajaan supaya mengubah apa yang telah dipersetujui selama ini (sistem kuota).

“Apa ikhlas dan tulennya kontraktor Cina apabila melantik para pengerusi syarikat mereka di kalangan Melayu iaitu bekas pegawai tinggi kerajaan atau bekas menteri? Adakah cukup sekadar memakai nama mereka, sedarkah Soi Lek mengenai ketidakikhlasan ini?" tegasnya.

Beliau seterusnya mencabar Soi Lek supaya mengemukakan statistik kontraktor bumiputera yang mengalibabakan projek mereka serta jumlah perkongsian tulen perniagaan antara usahawan Cina dan bumiputera, tanpa mengambil kira perkongsian melibatkan permit dan lantikan ‘pengerusi tidur.’

“Kami ada 29,000 kontraktor Kelas F bumiputera di seluruh negara. Jadi setelah Soi Lek kemukakan bukti (ali baba) itu nanti, saya akan minta Pusat Khidmat Kontraktor teliti pula senarai yang ada pada Soi Lek dan mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

(http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_02.htm)

No comments: