Saturday, August 28, 2010

Biadab, kurang ajar!

Biadab, kurang ajar!

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya berasa amat marah dan tersinggung dengan sikap biadab dan kurang ajar oleh sekumpulan rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Mereka telah memijak-pijak bendera Malaysia dan melempar najis di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Dan mengikut laporan terbaru, mereka juga ingin mengambil tindakan menghalau rakyat Malaysia yang berada di Jakarta. Ini pada pendapat saya betul-betul merupakan tindakan orang kurang siuman dan kebudak-budakkan.

Tidakkah mereka tahu jika sekiranya kita di Malaysia bertindak balas dan mengambil pendekatan yang serupa dengan menghalau rakyat Indonesia yang bekerja di sini.

Tutup semua premis perniagaan milik rakyat Indonesia dan hantar pulang semua pekerja rakyat Indonesia. Bolehkah mereka memberi pekerjaan untuk rakyat mereka?

Tidakkah mereka tahu bahawa di sini sebahagian besar perniagaan pasar malam, perniagaan kedai runcit dan perniagaan buah-buahan telah dibolot dan dikawal semua oleh peniaga Indonesia.

Ramai daripada mereka telah kaya raya dan memiliki rumah banglo serta kenderaan mewah seperti Mercedes dan BMW. Ini semua adalah hasil kemakmuran ekonomi Malaysia, tidak seperti Indonesia asyik kecoh, kecoh, kecoh tapi hasilnya tiada.

Sikap biadab dan melampau kumpulan Bendera ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan kita harus menunjukkan ketegasan kita sekeras-kerasnya.

Kita perlu mengambil langkah agresif supaya mereka sedar yang kita tidak perlu bergantung kepada rakyat mereka untuk kehidupan dan pembangunan negara kita.

Hentikan mengambil pembantu rumah Indonesia (sekarang pun mereka telah mula meletak bermacam syarat), ambil pembantu dari negara lain seperti Kemboja, Filipina, Thailand dan sebagainya. Hentikan melancong ke destinasi Indonesia, tiada apa sangat pun yang hendak dilawati selain dari tempat sesak dan penuh dengan orang yang suka minta tip dan desak-desak kita beli barang jualan mereka.

Hentikan menonton sinetron-sinetron yang kurang atau tidak langsung memberi faedah itu.

Kadangkala saya melihat kita terlalu berlembut dalam menghadapi masalah seperti ini. Memang betul kita lebih pentingkan hubungan kedua-dua negara tetapi pada pandangan saya kita perlu memberitahu kepada kumpulan berkenaan bahawa tindakan mereka itu amat biadab dan kita marah dengan tindakan tersebut.

Sampai bila kita harus bersabar dan terus bersabar? Pihak kerajaan juga perlu mengambil inisiatif bagi menerangkan perkara sebenar tentang penahanan tiga orang pegawai Indonesia berkenaan.

Seperti tulisan Mergawati Zulfakar dalam akhbar The Star 25 Ogos 2010 yang bertajuk Calming the waves of wrath bahawa pihak kerajaan harus mengambil langkah segera menerangkan perkara sebenar yang terjadi semasa penangkapan pegawai Indonesia dan penahanan nelayan kita yang didakwa mencuri ikan di perairan Indonesia, walhal perairan tersebut masih di kawasan Malaysia.

Kedua-dua pihak perlu dimaklumkan keadaan sebenar supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

Selain dari itu, saya beranggapan bahawa rakyat Malaysia yang marah tentu akan memberi respons segera dan saya jangka di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur tentu akan diadakan demonstrasi untuk membantah tindakan kumpulan Bendera berkenaan.

Kita sedia maklum bahawa negara kita sejak kebelakangan ini selalu saja diadakan demonstrasi sehingga ke tahap ganas dan perlu dileraikan oleh pihak polis. Namun demikian, saya agak hampa semasa menonton Buletin Utama TV3 pada malam 24 Ogos 2010, hanya Pemuda UMNO saja yang tampil dan menyampaikan nota bantahan di Kedutaan Indonesia. Kemana pergi yang lain-lain?

Contohnya, mereka yang boleh baring di tengah jalan seperti demonstrasi di Ipoh satu ketika dulu. Orang yang hebat berdemonstrasi semuanya diam menyepi. Janganlah kita hanya berdemonstrasi tentang politik saja, tetapi apabila negara tanah tumpah darah kita dipijak, diasak dan diperlekeh oleh pihak lain, kita hanya berdiam diri tanpa membuat apa-apa.

Sehubungan itu, marilah kita bersatu, bersatu mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengira fahaman politik masing-masing. Jika kita boleh bersungguh-sungguh memperjuangkan parti politik kita kenapa kita tidak boleh bersungguh-sungguh mempertahankan negara tanah air kita. Malaysia adalah tanah tumpah darah kita dan kita harus mempertahankannya walau apa cara sekalipun.

ARES SALIM

Kota Damansara, Selangor

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0826&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm)

1 comment:

Ular Menyusur Akar said...

Belum boleh hukum semua sekali, bang. Mereka takde, kerja tak boleh jalan. Yang biadab dan kurang ajar tu tak ramai. Sikit aje. Dr M kata mereka bodoh dan tidak berpelajaran. PM kata mereka di upah. Kalau orang bodoh di upah, itulah jadinya. Tari kita jangan ikut gendang mereka. Biarkan mereka berterusan. Mereka pasti akan dapat tentangan di kalangan mereka sendiri.

agbr47: Semakin banyak melatah, semakin banyak buat salah.