Friday, June 3, 2011

Malaysiakini: Husam bergelut dengan dakwaan upah bloger



Calon naib presiden PAS Datuk Husam Musa yakin perwakilan tidak terkesan dengan dakwaan beliau mengupah ratusan ribu ringgit kepada penulis blog terkenal Syed Azidi Abdul Aziz untuk berkempen baginya dalam pemilihan parti.

Husam juga mempertikaikan laporan Utusan Malaysia berhubung perkara itu dengan memetik tulisan di beberapa blog - yang digelarnya sebagai "picisan" dan "pencacai Umno".

husam musa pas interview 170507"Ahli-ahli Umno sendiri pun tidak pernah memberikan kepercayaan mereka kepada blog-blog picisan ini," katanya yang yakin dengan didikan Islam yang dilalui anggota dan perwakilan PAS.

Utusan kelmarin melaporkan keengganan penulis blog Kickdefella mengulas dakwaan di blog bahawa beliau menerima bayaran RM300,000 untuk berkempen bagi pihak Husam.

Bagaimanapun, akhbar sama semalam melaporkan Syed Aziz mengakui menerima wang RM350,000 dari Husam, tetapi bukan bagi tujuan itu.

Beliau juga dilaporkan berkata tidak bertemu lagi dengan Husam sejak tahun 2009 dan hanya berbual di telefon dan bertukar SMS sahaja.

Syed Azidi sedia ke mahkamah

Dalam kenyataan hari ini, Husam berkata beliau hairan kenapa laporan itu dikeluarkan pada hari terakhir sebelum pemilihan PAS di mana beliau bertanding.

syed azidi syed abdul aziz kickdefella police pc 171008 04"Adakah kerana beliau tahu bahawa dakwaan palsu beliau akan berhadapan dengan tindakan undang-undang dan bagi mengelakkan tindakan seperti itu ia dibangkitkan pada saat akhir seperti ini?" soalnya.

Beliau menafikan mempunyai wang sebanyak itu atau ada berbual melalui telefon dengan Syed Azidi kebelakangan ini.

Sementara itu, Syed Azizi pula memberitahu Malaysiakini, beliau dengan rendah diri dan insaf meminta Husam mengambil tindakan undang-undang terhadapnya sekiranya kenyataan yang dikeluarkannya tidak benar.

"Saya juga bersedia memohon maaf secara terbuka sekiranya apa yang saya katakan tidak benar," katanya.

Pada pemilihan PAS kali ini, Husam bertanding merebut jawatan naib presiden bersama-sama lima calon lain iaitu Datuk Mahfuz Omar, Salahuddin Ayub, Datuk Mohd Amar Abdullah, Idris Ahmad dan Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/165888)

No comments: