Friday, June 10, 2011

Isu Akhbar Cina: JANGAN ANGGAP RAKYAT BODOH


arkib utusan

JANGAN ANGGAP RAKYAT BODOH

AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 2 Jun 2011 memaparkan artikel berbentuk satira yang bertujuan menyindir kerajaan. Artikel bertajuk ‘Bodoh’ disiarkan di ruangan Pendapat Yuanlun halaman A16.

Sebuah buku berjudul Shuo Fan yang mengisahkan cerita-cerita zaman dahulu, mempunyai satu kisah mengenai seorang maharaja bernama Ji Xian Gong yang keluar memburu.

Maharaja mengejar seekor rusa sehingga ke sebuah lembah di dalam hutan lalu terserempak dengan seorang tua. Maharaja bertanya apakah nama lembah ini? Orang tua itu menjawab: ‘‘Tempat ini dinamakan lembah bodoh dan saya yang menyebabkan lembah ini dinamakan sedemikian.”

‘‘Dahulu saya pernah membela seekor anak lembu. Selepas anak lembu itu besar, saya jual anak lembu ini dan membeli seekor kuda. Pada satu hari, ada seseorang datang berjumpa saya dan berkata macam mana seekor lembu boleh melahirkan seekor kuda? Orang itu mengambil kuda saya.”

Maharaja berkata, memang awak bodoh, kenapa kuda itu yang awak sendiri miliki dibiarkan orang lain mengambilnya?

Setelah kembali ke istana, kisah itu diceritakan kepada Perdana Menteri, Guan Zong yang lantas menjawab: ‘‘Ini adalah kesalahan patik. Orang tua itu tahu pihak kerajaan tidak mampu membela nasibnya, lantas dia tidak berbuat apa-apa apabila kudanya dirampas di depan mata sendiri.’’

Iktibar kisah ini ialah orang tua itu sebenarnya tidak bodoh. Dia tahu kerajaan ketika itu bukanlah kerajaan yang baik yang akan membela nasibnya jika dia mempertahankan harta bendanya.

Orang tua itu terpaksa biarkan sahaja orang lain mengambil kudanya secara paksaan supaya nyawanya tidak terancam.

Dia menggunakan isu ‘kebodohan’ diri sendiri bagi menyindir kerajaan yang lemah dan tidak mampu berbuat apa-apa bagi membela rakyat. Maharaja langsung tidak menyedari sindiran itu malah hanya ketawakan gelagat orang tua itu yang diejeknya sebagai ‘si bodoh’.

Bagaimanapun, maharaja bernasib baik kerana sekurang-kurangnya mempunyai perdana menteri yang dapat menasihati dan memperbetulkan kesilapannya.

Ini berbeza dengan kerajaan sekarang apabila pegawai-pegawai kerajaan dan menteri-menteri tidak bertindak memperbetulkan kesilapan yang telah dibuat.

Sebaliknya mereka turut sama dengan lantang menuduh rakyat yang membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang sebagai bodoh. Hakikat ini cukup menggerunkan kita.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm)

No comments: