Tuesday, January 11, 2011

DUN Tenang: Cabaran Besar MCA


DUN Tenang: Cabaran Besar MCA
Dun Tenang merupakan gambaran paling ideal untuk menggambarkan komposisi pengundi di Semenanjung jika berlakunya Pilihanraya Umum. Kerana itu ramai beranggapan keputusan di DUN ini akan memberi reaksi segera terhadap penetapan tarikh PRU 13.

Dengan komposisi hampir 48% pengundi dikuasai Melayu, 39% pengundi Cina, 12% pengundi India dan selebihnya lain-lain, ianya hampir menyerupai komposisi pengundi di Semenanjung Malaysia. Kerana itulah kedua-dua pihak samada BN mahupun PR terdesak untuk mencari suntikan moral buat parti masing-masing di PRK ini sebelum bermulanya kempen untuk PRU13.

DUN Tenang akan menjadi bahan kajian dan analisis terhadap kekuatan dan kelemahan parti dalam persediaan menghadapi PRU13. Selain itu pemilih di DUN ini akan mewakili reaksi terhadap dasar-dasar kerajaan mahupun manifesto pembangkang.

Dun Tenang yang memiliki seramai 14,753 pemilih berdaftar merupakan campuran penduduk semi-urban, peneroka felda dan penduduk luar bandar. Komposisi umur pula menunjukkan sekitar 35% daripada jumlah pemilih merupakan golongan di bawah usia 40 tahun.

Sebagai tambahan, ramai antara golongan muda di kawasan DUN ini bekerja di bandar-bandar besar yang boleh menjadi bahan kajian bagaimana penerimaan mereka terhadap dasar pemerintahan kerajaan BN.

Sama ada suka atau tidak, keputusan di DUN Tenang akan mula bergantung kepada ketokohan calon selain daripada isu-isu berbangkit yang akan sentiasa dikemukakan terhadap pengundi.

Melalui tinjauan semasa, BN dijangka tidak menghadapi sebarang masalah untuk terus mengekalkan penguasaan undi di kawasan Felda dan di beberapa peti undi yang majoriti penduduk Melayu. Penduduk Melayu di DUN ini memiliki kuasa pengundian sebanyak 7014 orang pemilih.

Manakala daripada sejumlah 1780 pengundi India, BN dijangka akan memperoleh sekitar 50% hingga 60% daripada undi mereka.

Cuma yang masih menjadi masalah ialah undi daripada kaum Cina seramai 5766 orang pengundi. Berdasarkan maklumat semasa, jangkaan undi kaum Cina kepada BN di sekitar 25% hingga 35% sahaja. Malah sepanjang tinjauan dibuat, pernah pada satu-satu masa jumlah sokongan terhadap BN menurun sehingga ke bawah paras 20%.

Perkara ini amat membimbangkan kerana ianya boleh menjejaskan undi keseluruhan. Pada PRU12, calon PAS telah berjaya memperoleh sokongan sekitar 50% hingga 65% di peti-peti undi penduduk majoriti Cina iaitu di peti undi Bandar Labis Timor, Bandar Labis Tengah dan Labis. Sebagai rekod, BN kalah di ketiga-tiga peti undi ini pada pRU12. Trend ini menunjukkan sekongan semasa semakin menurun berbanding PRU lepas.

Penolakan ini disebabkan beberapa isu tempatan dan juga kerana terpengaruh dengan isu nasional. Selain daripada faktor protes terhadap legasi pimpinan MCA, kaum Cina juga agak kurang berpuas hati dengan corak kepimpinan di peringkat tempatan dalam mendekati mereka.

Mereka juga terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan pembangkang berkaitan isu di peringkat nasional. Malah pembangkang cuba mengabui mata pengundi Cina dengan menunjukkan kononnya kepimpinan di Pulau Pinang dan Selangor telah mencapai perubahan yang lebih baik berbanding BN.

Selain itu pembangkang cuba memainkan isu ekonomi kerana kaum Cina lebih sensitif tentang perkembangan dan kemakmuran ekonomi negara. Malah isu seperti kesamarataan hak juga mula didendangkan kembali.

Semua ini merupakan cabaran getir yang harus ditempuh oleh BN terutamanya parti komponen MCA untuk menarik semula sokongan pengundi. Sekiranya MCA gagal menambah semula undi kaum Cina, maka seharusnya mereka perlu membuat post mortem secara jujur dan mencari jalan terbaik untuk menarik semula sokongan kaum Cina terhadap BN.

Walau bagaimanapun, Chua Soi Lek merupakan seorang pemimpin yang dikenali sentiasa bekerja keras dan tahu bagaimana mahu mendekati pengundi. Tidak mustahil sekiranya beliau mengamalkan strategi dan pendekatan yang tepat, maka undi kaum Cina boleh melonjak kembali.

Akhirnya, selain undi kaum lain yang dijangka tidak akan berubah dengan banyak melainkan adanya tindakan agresif dan responsif daripada jentera BN, maka undi kaum Melayu yang akan menjadi penentu kepada kemenangan mana-mana calon di DUN Tenang.

(tqvm sumber;http://umnojohor.blogspot.com/2011/01/dun-tenang-cabaran-besar-mca.html)

No comments: