Sunday, May 3, 2009

UCAPAN OLEH Y.A.Bhg. TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD DI PERHIMPUNAN PERKASA




UCAPAN OLEH Y.A.Bhg. TUN DR MAHATHIR
BIN MOHAMAD DI PERHIMPUNAN DAN
SIDANG KEMUNCAK PRIBUMI PERKASA
NEGARA

DI KOMPLEKS SUKAN TNB, JALAN
BANGSAR, KUALA LUMPUR

PADA HARI AHAD, 22 MAC 2009

1. Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada
penganjur perhimpunan ini kerana menjemput saya dan
memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada
hadirin.

2. Saya yakin ramai daripada kita yang hadir, terutamanya
orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita
berasa kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang
merbahaya, keadaan terancam.

3. Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh
berbagai pihak.

4. Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum
pendatang.

5. Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika
Selatan.

6. Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum
lain.

7. Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar
Ekonomi Baru lagi.

8. Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya
kepada orang Melayu.

9. Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

10. Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini
Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri,
bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa
mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka
harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan
berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh
tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan
dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain.
Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam
ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup
pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka
mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf
walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain.

11. Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga
mereka berasa mereka bersalah, tergamam dan tak dapat
berkata apa-apa.

12. Keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan
semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri
Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa
itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada
sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun
tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak
orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak
orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan
negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-
Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak
membuat apa-apa perjanjian.

13. Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri
ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali
sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan
negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea,
negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri
orang India.
Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu.
Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang
Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang
Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang
Melayuberkongsi milik negara ini tidak sedikit pun
dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku
Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai
bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.

14. Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di
negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh
dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian,
mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf
jika berkata Melayu kaum pendatang.

15. Namun saya memberanikan diri untuk bercakap
sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun
akan dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana
sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan
cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah dan
ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap
berkenaan masalah mereka, maka mereka mungkin jadi
kaum yang terlucut hak (dispossessed) di negara mereka
sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat tekanan
dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka
dijadikan bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah
sebahagian daripada negeri-negeri Melayu.

16. Keadaan ini boleh berlaku kepada orang Melayu bukan
sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu
sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka.

17. Mereka tidak mahu merebut peluang yang disedia bagi
mereka. Tempat di universiti tidak diambil. Peluang
perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak ingin
belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat
Rempit.

18. Majoriti daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan
dadah terdiri daripada orang Melayu, yang mendapat
penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu, kes rogol
dan jenayah lain juga ramai orang Melayu.

19. Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar
hutang Melayu, tak selesaikan kontrak juga Melayu.

20. Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu.

21. Kita tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika
tidak disuarakan masalah tidak akan hilang dengan
sendirinya. Orang lain tahu juga. Lebih baik malu jika kita
dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita dan mereka
mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi.
Yang lain tak malu tak mengapa. Tak mungkin kita dapat
sedarkan semua. Yang kena akan terus kena.

22. Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam
jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita
sebanyak 30%. Tetapi sekarang sudah hampir 40 tahun.
20% yang dikatakan kita dapat pun dapat kerana badanbadan
yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu
sendiri. Kita hendak supaya DEB diteruskan.
Apa gunanya jika kita tidak mahu guna peluang yang
diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP,
kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak
diteruskan dan kita tidak dapat selewengkannya.
Sekurang-kurangnya kita tak akan malu kerana pelbagai
ejekan yang akan dibuat kepada kita.

23. Kita bernasib baik kerana dalam bidang politk kita
cekap, kita kuat, kita dapat menguasai Kerajaan selama 50
tahun. Walaupun Melayu berpecah kepada beberapa parti,
bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu masih
dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan
disegani.

24. Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman
kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang
terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12.
Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan
jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang
tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang
lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan.
Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita
minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

25. Sesungguhnya pemimpin kita yang perjuangkan
kemerdekaan, yang menebus maruah kita sudah kita
khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita
hidup bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada
pada mereka. Pemimpin Melayu hari ini, pengikut –
pengikut mereka tidak tahu mengenang budi. Mereka
khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan
perjuangan asal kerana utamakan kepentingan diri
sendiri. Biar bangsa hancur asalkan dapat kemenangan
bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana Menteri,
dapat kontrak, dapat duit.

26. Kononnya nak jadi Perdana Menteri termuda. Bukan
nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan tertinggi
untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara
sekalipun, halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh
jadi Perdana Menteri termuda.

27. Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual
untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar,
untuk isi temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak
akan dapat, yang dikilik akan berciciran. Lepas itu kita
tidak ada apa-apa yang boleh diraih lagi. Semuanya akan
dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi hamba sahaja, kita
akan meminta-minta sepanjang masa.

28. Ada pula yang dibawah bertanya, orang yang mereka
sokong dapat jadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri
Besar – dapat kereta, dipanggil Yang Berhormat, elaun
besar, terbang sana, terbang sini.

29. Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik
kita ambil sedikit bagi diri kita, sementara ada peluang.

30. Salahkah kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita
tidak undi orang yang menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi
Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang haram. Kamu
bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu
yang melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu.
Kamu berdosa.

31. Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi.
Bila dekat nak mati pakai kopiah putih dan sembahyang
kuat-kuat.

32. Tetapi yang haram, haram juga. Kalau makan daging
bibi haram, makan duit rasuah lebih haram, kerana ia
akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi kaum bangsa kita
yang semuanya beragama Islam.

33. Pengundi salah, samada undi penyogok atau tidak.
Salah kerana sudah terima jenayah rasuah sebagai budaya
kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah bangsa
dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara
langsung atau tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh
dunia, akan dipandang rendah, akan dipermainkan orang.
Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan jadi
mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk
mendapat apa yang sebenarnya hak mereka. Inilah nasib
bangsa yang menjadikan rasuah sebagai budaya biasa.

34. Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita lupa betapa
kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang
menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap
berkenaan ketuanan Melayu.
Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk
tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta
orang, tukang masak orang.

35. Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba,
dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak
merdeka.

36. Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negaranegara
jiran yang lebih kuat.

37. Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk
dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita.

38. Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk
membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara
penanung.

39. Kata orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila
berhadapan dengan orang asing. Mungkin ramai yang
tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah “body
language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi
pada Raja yang tak bertakhta.

40. Saya biasa lihat seorang orang tua Melayu berbasikal
di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi
kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah
kerana tidak berhenti dan menghormati lagu kebangsaan
Siam.

41. Saya biasa lihat orang Melayu ditempeleng dan
disuruh panjat pohon kelapa seperti kera oleh Jepun.
Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak memerintah
negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng.

42. Dan yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa,
termasuk saya. Dalam kehinaan ini muncul kesedaran dan
semangat untuk menebus balik maruah bangsa. Dan
bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan
Malayan Union British, untuk mengekalkan perhambaan
orang Melayu. Tidak siapa yang bertanya “apa yang saya
akan dapat bagi diri saya” pada ketika itu. Yang kita
tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara
daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita
terkorban, atau kita berada seperti biasa, itu tidak
mengapa. Yang kita utamakan ialah maruah bangsa kita,
tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan ditempeleng –
tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan.

43. Sekarang kita merdeka. Perjuangan pengasas negara
telah berjaya. Kita tidak akan ditendang dan ditempeleng
lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang pun keadaan
terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi
ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia
tidak akan dipisah dari kita.

44. Perjuangan orang dahulu adalah perkara lama, tidak
perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat
pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu
cerita lama. Pepatah Melayu berkata sekali merdeka,
selama-lamanya merdeka. Apa pun kita buat merdeka
tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita “enjoy”.
Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita.

45. Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya?
Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa
lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai
dengan jayanya.

46. Tidak bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu
bagi diri sendiri. Kita sokong orang dapat jadi Yang
Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang raih duit kerajaan
dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi diri kita?

47. Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya?
Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk
mengekalkan kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun
kita merdeka? Apa yang hendak dikhuatirkan? Lima puluh
tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka walau apa
pun kita lakukan.
Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit duit sogokan
maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh
sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain
terima lebih daripada kita., katanya satu juta. Masih kita
merdeka. Tidak benar kerana sedikit rasuah kemerdekaan
akan hilang.

48. Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk
penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku
walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh
berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi
kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang
lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut
jiran marah.

49. Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan
bebas lagi. Pemerintah yang menjadi pemerintah melalui
rasuah akan benar diri mereka disogok kerana perlu
mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan
lagi supaya kedudukan mereka sebagai pemerintah akan
kekal.

50. Untuk mendapat sogokan yang cukup mereka akan
sanggup ikut arahan penyogok. Dengan perkataan lain
mereka akan jadi alat pada penyogok.

51. Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan
kita, atau kepentingan bangsa dan negara.

52. Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai
pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan,
tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan
bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang
Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan,
walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak
berkuasa pun.

53. Jika kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang
didapati kerana disogok apakah yang tidak sanggup kita
buat? Jual bangsa, jual negara pun kita sanggup.

54. Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita
merdeka lagi? Sudah tentu tidak.

55. Justeru itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali
merdeka selama-lamanya merdeka. Pada permukaannya
kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali
dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah
khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu.

56. Itulah kenyataan yang sebenar.

57. Melayu mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah;
“Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera
dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

58. Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan
kita tidak suka diperingati akan sejarah kita. Apa kenamengena
peristiwa 50 tahun dahulu? Apa kena-mengena
dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan
mereka dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu?
Itu dahulu, ini sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan
kita dahulu tidak ada kena mengena dengan keadaan kita
sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan kita dapati
daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita
dongeng.

59. Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana
kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita
tetap selamat, tetap merdeka.

60. Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”,
jadi penjenayah pun tak mengapa.

61. Bukankah kita yang memilih dan membentuk
Kerajaan? Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap
kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu yang tidak
baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab
Kerajaan pilihan kita untuk menyelamatkan kita?

62. Jika kita diserang orang bukankah menjadi
tanggungjawab Kerajaan yang kita pilih untuk menangkis
serangan ini?

63. Jika kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada
orang yang sogok duit pada kita dan mereka pula disogok
oleh orang lain dan mereka berasa lebih terikat kepada
yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab
kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana
kita terima sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak
banyak. Hanya menerima sahaja.

64. Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang
masa.

65. Hakikat yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita
yang kita jual tidak lagi mengikat mereka yang kita pilih
untuk jadi Kerajaan.

66. Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita
sudah pun dibuat melalui wang sogokan daripada mereka.

67. Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib
ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk
memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang
Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan
kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya.

68. Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki
nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha ke arah ini.
Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan
nasib yang sudah buruk ini.

69. Kita tahu yang kita lakukan bukan untuk memperbaiki
keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan
semasa kita. Masa depan soal lain.

70. Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi
sebagai cara kita memerintah. Kenapa?

71. Sebabnya ialah kerana mereka percaya majoriti
daripada rakyat tentulah bijak dalam amalan mereka,
tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk,
tentulah bijak semasa membuat pilihan.

72. Pengasas kemerdekaan percaya majorti akan tahu pilih
apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu mereka akan
menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan
untuk dipilih.

73. Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka,
sebilangan yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan
mengutamakan sogokan untuk menentukan siapa akan
memerintah mereka.

74. Pejuang kemerdekaan yang sedar betapa sukarnya bagi
orang Melayu mendapat peluang dan bantuan dahulu dan
dengan kerana itu Melayu tidak berjaya.

75. Dengan kesedaran ini mereka merangka untuk
mengadakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada
bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama
tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain,
bahkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka
percaya semua peluang dan sokongan akan direbut oleh
pewaris daripada bangsa mereka.

76. Ya, mereka ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah
tinggal kita. Tetapi jika mereka ada apakah perasaan
mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat
sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah
dipermainkan oleh pewaris mereka, tidak dihargai oleh
pewaris mereka.

77. Mereka melihat bagaimana peluang dan bantuan
disalahgunakan atau ditolak dengan begitu sahaja.
Sepatutnya dengan peluang belajar di semua peringkat
bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu.
Dengan peluang berniaga mereka sudah jadi kaya, atau
sekurang-kurangnya tidak miskin.

78. Tetapi tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi
peluang digunakan secara yang boleh merosakkan bangsa.
Mereka lepak, mereka jadi Mat Rempit, yang lakukan
jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian
mangsa mereka.

79. Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi latihan
tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan
peluang, kontrak, lesen, permit dan sebagainya.

80. Modal mereka guna untuk belanja bagi memenuhi
nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana kelakuan
beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai
bangsa yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan,
tidak boleh diharap dengan duit ringgit.

81. Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap
mengecewakan pejuang bangsa dahulu.

82. Kata mereka, jangan buka pekong di dada.

83. Malu kata mereka.

84. Tetapi tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan
apa yang telah saya sebutkan. Tak buka pekong pun busuk
juga. Biarlah pekong di dada dibuka supaya kerana bau
terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri daripadanya.
Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan
bunuh kita.

85. Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan
kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini
lambat laun akan merosakkan masa depan kita.

86. Tetapi yang terdahsyat diantara amalan buruk kita
ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah yang
dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan
miskin. Politik kita sewaktu perjuangan untuk
kemerdekaan berjaya memberi kekuatan kepada Melayu
sehingga mereka yang daif ini
dapat mengalahkan kuasa besar dunia. Hanya dengan
bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan pendirian
yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai.
Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib.

87. Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan
dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi
kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan
kita.

88. Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang
dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib
kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh
kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

89. Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita
mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara
dagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kemiskinan
dikurangkan daripada 70 peratus kepada lima peratus.
Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan
pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang
terkini.

90. Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50
tahun dahulu dan lain-lain.

91. Semua ini adalah hasil kuasa politik semata-mata.
Kerana kuasa politik, negara berbilang kaum, ugama,
budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan sesungguhnya
kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan
kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain.

92. Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk
menghakis dan menghapus kuasa politik kita.

93. Kerana wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita
jual kuasa politik, kita serah nasib kita kepada perasuah,
perasuah yang akan jual bangsa dan negara.

94. Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik
terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka?
Saya fikir tidak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

95. Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak
bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang
besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah.

96. Kita semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang
Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah
mereka, kecemasan yang mereka rasai.

97. Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan
musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika
kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras
terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah
ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi
ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah
perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

98. Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita
sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita
tegas dan tidak membenarkan mereka.
99. Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada
kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan
kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

100. Oleh itu berusahalah mengubah nasib diri sendiri
setelah kita berhimpun di sini untuk membincang
masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan kita
akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh
menyelamatkan kita.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

No comments: