Sunday, May 3, 2009

Kaca Mata: Keluhan timbalan menteri tidak harus lagi berulang

Oleh Hishamuddin Aun

Pengenalan KPI luangkan peranan luas, runtuh tembok halangan

KELUHAN atau rungutan timbalan menteri terhadap bos masing-masing pada masa lalu, bukan sesuatu yang asing.

Ada menteri yang memilih untuk lebih berdiplomasi dengan timbalan mereka, ada pula yang langsung tidak berselindung dalam menyogokkan peringatan siapa sebenarnya ketua yang harus ditaati sepanjang masa.

"Kami tidak pun perlu diingatkan siapa bos," kata seorang timbalan menteri pada satu majlis makan malam kementeriannya dengan media di ibu negara, kira-kira setahun lalu. "Bos menggunakan analogi 'standard option' kereta Proton yang pada hakikatnya tidak menawarkan apa-apa pilihan pun."

Kebetulan, kementerian yang menjadi tempat kerja barunya itu, ditakrif antara yang paling berkuasa. Lantaran itu juga, ia mempunyai dua timbalan menteri.

"Kami dimaklumkan bahawa kami bebas memenuhi undangan dan berucap di mana-mana acara, tapi dengan syarat ia mendapat kebenaran menteri terlebih dulu," kata timbalan menteri itu lagi.

"Begitu juga apabila kami diminta membuat komen media. Bos beritahu dia tidak punya halangan asalkan kami merujuk kepada menteri untuk mendapat kelulusannya. Tapi kami juga diberitahu sebaik-baiknya tugas itu dilakukan menteri agar tidak timbul sebarang percanggahan.

"Inilah nasib timbalan menteri... semuanya diandaikan boleh sedangkan semuanya tidak boleh, bergantung kepada sikap menteri yang menjadi bos kami," katanya.

Di sebuah kementerian berbeza, seorang timbalan menterinya dari awal pembentukan Kabinet selepas Pilihan Raya Umum 2004, langsung tidak dibenarkan bersuara. Amaran diberikan kepadanya tanpa sebarang cakap berlapik.

"Selama satu penggal penuh, saya menghabiskan masa di kelab golf, selain melawat kawasan (Parlimen di Selangor)," kata bekas timbalan menteri itu yang kini berbangga dengan handikap berangka tunggal.

Kedua-duanya, bagaimanapun, memilih untuk berdiam diri dan memendam rasa � berlawanan dengan seorang lagi bekas timbalan menteri yang memberanikan diri untuk bersengketa secara terbuka.

"Dia (menterinya) mengurus kementeriannya umpama sebuah kongsi gelap," katanya. "Segala urusan kementerian dijalankan dengan penuh rahsia tanpa timbalan menteri harus tahu apa-apa."

"Tiada apa yang dibincangkan pada mesyuarat pasca Kabinet peringkat kementerian yang dipengerusikannya sedangkan segala arahan hanya dikeluarkan kepada dua atau tiga kerat pegawai di dalam bilik pejabatnya."

Dakwaan berkenaan, bagaimanapun, sudah berulang kali dinafikan menteri terbabit sebagai berniat jahat. Sebaliknya, bekas timbalan menteri itu yang dicurigainya sering mengeksploitasi keputusan kementerian untuk manfaat politik dirinya.

Harus sesudah bekas timbalan menteri itu berpindah ke kementerian lain, tembelang sebenarnya terdedah apabila beliau menyasarkan pula pihak berkuasa tempatan sebagai ditadbir umpama kongsi gelap.

Dalam pada itu, bukan semua menteri bersifat mengongkong timbalan masing-masing. Kenaikan pangkat Datuk Ahmad Husni Hanadzlah, Datuk Anifah Aman dan Datuk Kong Cho Ha dalam Kabinet Datuk Seri Najib Razak adalah pengiktirafan kepada sumbangan mereka sebelumnya.

Dewan Rakyat lazimnya meluangkan seluas-luasnya ruang untuk timbalan menteri memperagakan kepetahan dan kejituan masing-masing, di sebalik asakan pembangkang, dengan Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Fadillah Yusof, Datuk Johari Baharom dan Datuk Dr Mashitah Ibrahim antara yang tertonjol.

Dari Parlimen jugalah, hujah bernas Datuk Razali Ibrahim dan Dr Mohd Puad Zarkashi ketika perbahasan turut memukau tumpuan untuk masing-masing kini bergelar timbalan menteri.

"Setiap timbalan menteri berjumlah 40 orang semuanya akan diberi ruang tugas yang khusus," kata Najib ketika mengumumkan Kabinetnya pada 9 April lalu.

Ia seharusnya khabar yang ditunggu-tunggu setiap seorang daripada mereka yang harus bercita-cita untuk diangkat sebagai menteri penuh suatu hari nanti.

Pengalaman lalu menunjukkan ada segelintir yang diangkat terus sebagai menteri, dengan yang terbaru menampilkan Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Senator Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom dan Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Kebanyakannya pula dinaikkan pangkat selepas sepenggal atau dua menyusuri susur-galur sebagai timbalan menteri atau bersandarkan kekananan jawatan masing-masing dalam parti komponen Barisan Nasional (BN).

"Saya akan mengarahkan setiap menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang," kata Perdana Menteri.

"Inilah hasrat besar saya meletakkan matlamat sedemikian supaya Kabinet baru ini benar-benar menggalas tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat."

Seperti diperjelaskan Najib, Kabinet yang baru berusia tiga minggu ini bukan saja satu pasukan baru dengan wajah baru, malah menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

Kini, dengan KPI berasingan buat timbalan menteri, tidak harus berulang lagi sebarang sekatan atau cubaan untuk membelakangkan khidmat mereka, atau masing-masing menteri yang akan dipertanggungjawabkan nanti.

"Dulu pun setiap timbalan menteri ada tugasan tapi menteri yang memantau dan menilai," kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, yang pernah menjadi Timbalan Menteri Kerjaraya antara 1999-2004.

"Tapi kali ini PM sendiri terbabit. KPI bagus untuk membuat semua menteri dan timbalan menteri bersiap siaga dalam melakukan yang terbaik bagi bidang tugas masing-masing."

Razali, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan, turut mengalu-alukan langkah terbaru itu yang bagaimanapun terselit suatu harapan.

"Pengagihan tugas di antara menteri dan timbalan menteri adalah bergantung kepada tugas yang diberi. Ia baik kerana tumpuan dapat dibuat dengan lebih sempurna.

"Tapi tugas hanya boleh dipenuhi jika ia berikan juga kuasa untuk melaksanakannya. Jika tidak, tugas tanpa kuasa bermakna tidak boleh dipertanggungjawabkan."

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan, mensyukuri tugasnya membantu Perdana Menteri menjaga hal-ehwal Felda dan Biro Tatanegara yang diibaratkannya sirih pulang ke gagang.

"Saya pernah menjadi Pengarah Seranta Felda di bawah Datuk Seri Najib pada 2005 hingga Mac 2008, juga pernah jadi Penolong Pengarah BTN pada 1991-94. Jadi, ia bukan sesuatu yang baru.

"Felda ada 23,000 staf, 112,000 keluarga peneroka, 1.2 juta seluruh warga anak dan cucunya di 317 kawasan rancangan di seluruh negara. Saya letak KPI sendiri," katanya.

Jadualnya sudah bermula dengan bermalam di rumah peneroka Felda Bukit Batu, Kulai, 18 April lalu untuk lebih memahami hasrat mereka selain merancang menambah kursus tatanegara agar lebih ramai berpeluang menyertainya.

Harus sudah lumrah, di kalangan 40 timbalan menteri, akan ada yang menyerlah dan akan ada yang kesudahannya nanti merajuk membawa diri � bergantung kepada peluang yang diberikan dan bagaimana mereka memanfaatkannya.

Najib menyimpulkannya buat mereka: "Muka-muka baru ini, kita kena beri peluang. Tidak semuanya akan menjadi, termasuk ada yang akan menyukarkan peluang mereka sendiri, tetapi kita mesti beri mereka peluang."

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090502213504/Article)

No comments: