Sunday, May 31, 2009

Kenyataan Akhbar YB Zulkifli Noordin




KENYATAAN AKHBAR
ZULKIFLI BIN NOORDIN
AHLI PARLIMEN
KULIM BANDAR BHARU

Saya merujuk kepada kenyataan beberapa individu termasuk Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang yang menyarankan agar ketua gerombolan teroris komunis Chin Peng dibenarkan kembali ke Malaysia.

Saya membantah cadangan tersebut kerana isunya bukan soal seorang tua yang mahu balik menghabiskan usia tua di Malaysia. Tetapi isunya adalah kerana Chin Peng membawa bersamanya sejarah hitam negara ini.

Kalau mengikut ukuran hari ini, Chin Peng adalah kepala teroris yang ditangannya bergelumang dengan darah rakyat Malaysia dari pelbagai kaum.

Yang menjadi mangsa teroris komunis pimpinan beliau bukan sekadar orang Melayu tetapi orang Cina, India dan lain-lain kaum. Ramai yang telah terkorban, ramai keluarga yang menderita.
Anak-anak menjadi yatim, isteri menjadi janda, ibubapa kehilangan anak, rumah dan perniagaan habis musnah, rakyat khususnya di kampung hidup ketakutan.

Saya masih ingat apabila pulang ke kampung di Baling di tahun 70an kami sentiasa sahaja ketakutan dan kerisauan. Cerita dan kisah teroris komunis datang ke rumah orang kampung merampas beras dan lain-lain. Siapa melawan pasti akan disiksa, atau dibunuh, dan rumahnya dibakar.

Saya juga masih teringat di tahun 70an bila teroris komunis mengganas termasuk mengebom tempat awam. Saya lihat sendiri bagaimana rakan-rakan bapa saya di pengkalan FRU5 Ipoh ditembak teroris komunis semasa bertugas di Simpang Pulai dipertengahan tahun 70an. Saya lihat bagaimana sengsara dan menderitanya keluarga mereka. Saya lihat tangisan anak-anak mereka meratapi ayah-ayah mereka iaitu rakan-rakan saya sendiri.

Bagaimana mungkin sejarah hitam keganasan teroris Chin Peng boleh dilupakan. Bagi saya mereka yang menyokong untuk mengembalikan beliau ke tanah air ini adalah golongan buta sejarah..ataupun buta hati perut.

Membenarkan beliau pulang dan tinggal dengan aman dalam negara ini adalah suatu penghinaan kepada ribuan rakyat pelbagai kaum yang telah menjadi mangsa beliau dan teroris komunis yang beliau pimpin. Janganlah kita sia-siakan nyawa dan perjuangan ramai anggota keselamatan yang terkorban dek kerana kerakusan dan keganasan Chin Peng. Membenarkan beliau kembali ke Malaysia samalah saperti kita kencing diatas kuburan para pejuang dan anggota keselamatan yang berkorban untuk keamanan negara.

Beliau adalah kepala teroris. Beliau tidak layak menjejak kaki ke bumi Malaysia ini walaupun sesaat, apatah lagi diberi tempat walau se inci. Beliau tidak pernah melahirkan rasa insaf dan sedar atas keganasan yang telah beliau lakukan. Kini beliau dan balaci-balacinya menagih simpati untuk menghabiskan usia tua kononnya di Malaysia.

Saya mendesak Kerajaan supaya melakukan apa sahaja untuk menghalang beliau menjejakkan kaki ke negara ini.

Dan saya akan memberi sokongan penuh dengan pendirian tegas tersebut insyallah.

Sekian terima kasih.

Zulkifli Bin Noordin
Ahli Parlimen Kulim B.Bharu
Jumaat
04 Jamadil Akhir 1430
29 Mei 2009
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

(sumber;http://zul4kulim.blogspot.com/2009/05/kenyataan-akhbar-tidak-kepada-chin-peng.html)

zmsegamat; Tahniah YB Zulkifli dan kita kena berhati-hati kerana ada di kalangan kita "musuh dalam selimut"

1 comment:

Bah Lontok said...

Orang melayu kena ambil contoh di negeri Perak.

Semasa Pakatan Rakyat perintah, walaupun MB nya Melayu, tetapi Exco nya ada 6 DAP, 3 PKR dan 1 PAS.
Semua jawatan penting cina pegang.

Sekarang di bawah BN perintah, kita cuma lantik 7 EXCO termasuk MB.
7 UMNO(1 wanita), 1 MCA. 1 india dilantik sebagai speaker (walaupun india tiada calun ADUN nya)

Semasa pentadbiran PR tiada EXCO wanita dilantiknya.

Kepada orang melayu yang sedar, kita rakyat Perak sudah terselamat dari bale DAP.

Ini adalah peringatan kepada melayu di negeri2 lain.