Monday, May 25, 2009

Duda balik umrah 10 hari nikah janda


Haron dan Imah diarak menaiki motosikal dari masjid ke Balai raya di Kampung Sawah, Sunggala pada majlis kahwin mereka di Port Dickson, semalam.

Oleh Ziauddin Sharuddin
zia@bharian.com.my


Bekas tentera temu jodoh ketika kunjungi gerai makan

PORT DICKSON: Doa seorang warga emas berusia 78 tahun di depan Jabal Rahmah, Makkah, supaya dipermudahkan jodohnya, termakbul apabila selamat dinikahkan, di sini semalam, hanya selepas 10 hari menunaikan umrah.

Majlis pernikahan Haron Abdullah dengan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa), Imah Abd Hamid, 49, berlangsung penuh meriah di Masjid Kampung Sawah Sunggala dengan bekas tentera itu menyerahkan wang hantaran RM3,000.

Selepas majlis akad nikah, Haron yang juga bekas ketua kampung berkenaan serta kini Penasihat Kelab Motosikal Jaguh Port Dickson, membawa isteri barunya menunggang Jaguh diiringi beberapa ahli kelab ke balai raya kampung itu untuk majlis jamuan.

Haron yang kematian isteri pertamanya 25 Januari lalu, berkata ketika menunaikan umrah awal bulan ini, beliau berdoa agar bertemu pengganti isterinya sebelum terpikat kepada Imah yang ditemui di sebuah gerai makan di kampung berkenaan.

“Ketika terpandang Imah, hati berdetik mungkin inilah jodoh saya. Hasil risikan mendapati dia kematian suami sejak dua tahun lalu. Imah juga mengenali saya, tetapi saya tidak pernah nampak dia sebelum ini," katanya.

Bekas tentera itu yang bukan saja masih sihat, malah aktif dalam kegiatan kemasyarakatan di kampung itu dengan memegang jawatan Pengerusi Rukun Tetangga dan Tabika Kemas berkata, selepas berhubungan melalui telefon bimbit, beliau menyuarakan hasrat untuk hidup bersama Imah.

Haron yang mempunyai sembilan anak, 30 cucu dan dua cicit serta Imah yang dikurniakan empat anak hasil perkahwinan masing-masing sebelum ini, dinikahkan oleh imam masjid, Kamaruddin Ibrahim.

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Nasional/20090524060943/Article/)

1 comment:

OTAI (Otak Tenang Akal Inovatif) said...

SALAM BRO... TAHNIAH KERANA POSTING YANG ADA CAKAR RIMAU LAHHHH