Sunday, April 19, 2009

Dua minggu pertama Najib tiada mirip berbulan madu




NAJIB dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor disambut lebih 40,000 rakyat Pahang pada majlis sambutan meraikan Perdana Menteri di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 1, semalam.


Kaca Mata: Dua minggu pertama Najib tiada mirip berbulan madu
Oleh Hishamuddin Aun
hishamaun@nstp.com.my





Reaksi positif terhadap Kabinet dianggap dorongan amat memuaskan

KATA sesetengah mereka yang rapat dengannya, sukar untuk membezakan bila Datuk Seri Najib Razak berada dalam 'mood' terbaik atau sebaliknya. Jarang sekali beliau mempamerkan perbezaannya, baik dari riak wajah atau tutur-katanya.

Kepada sesetengah yang lain pula, ciri-ciri itu diwarisinya daripada bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri kedua. Persamaan antara mereka dikatakan sukar hendak dipisahkan.

"Najib memang seorang gentleman," kata sepupunya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kini mengetuai Kementerian Dalam Negeri, selepas pengumuman Kabinet pada 9 April lalu. "Beliau berpengalaman sangat luas dan memiliki rasa hormat tertinggi terhadap pemimpin sebelumnya."

Hishammuddin, 48, lapan tahun lebih muda daripada Najib, harus tahu apa yang diperkatakannya. Mereka memang rapat dari kecil, dan seperti pengakuannya, mereka bertemu atau setidak-tidaknya berhubung melalui telefon setiap hari sejak Najib menjadi Perdana Menteri.

Rabu lalu, bagaimanapun, Najib tidak berselindung dalam menyerlahkan sifat kepemimpinan dan keperibadiannya. Tegas dalam membincangkan perkara serius, seloroh juga tidak lekang daripadanya sebagai mencerminkan Perdana Menteri semakin dapat menyesuaikan diri selepas dua minggu memegang teraju negara.

"Ia adalah pengalaman baru yang sangat memuaskan," kata Najib sebagai menyimpulkan dua minggu pertamanya. "Saya tidak berasa apa-apa tekanan dan saya juga tidak percaya kepada tempoh berbulan madu sebagai Perdana Menteri."

"Tekanan (bagi tugas seorang Perdana Menteri) akan tetap ada... itu tak dapat dielakkan. Tetapi ia adalah sesuatu yang harus saya tangani dan saya punya cara saya sendiri."

Reaksi kepada Kabinetnya yang membuatkan Najib lebih ceria daripada biasa pada petang itu. Pegawai-pegawainya membuat kompilasi daripada komen pelawat blognya, 1malaysia.com.my.

Memetik daripada kompilasi reaksi ramai terhadap Kabinetnya itu, Perdana Menteri menghebahkan daripada 148 komen diterima, 95 peratus memberikan penilaian amat positif atau sekadar menyatakan sokongan.

"Saya berasa agak terangsang dengan maklum balas sedemikian. Sesetengah komen amat menarik, dalam lima atau enam baris, ada juga yang kritikal," kata Najib sambil memetik beberapa daripada komen berkenaan.

"Ada juga yang mempersoalkan kenapa tak masukkan orang itu dan orang ini, tetapi komen ramai secara amnya adalah positif terhadap KPI (Petunjuk Prestasi Utama terhadap semua menteri dan timbalan menteri yang diperkenalkannya)."

Kebetulan, pada pagi itu jugalah Najib mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinetnya.

Antara yang diberikannya penekanan ialah perlunya jemaah menteri memenuhi harapan besar rakyat berteraskan integriti, kebolehan, kesetiaan dan kesungguhan dalam memenuhi amanah besar berkenaan.

"Kabinet ini hendaklah berteraskan Kabinet Rakyat. Jemaah menteri perlulah dekat di hati rakyat, mesra rakyat, sanggup turun padang, menyingsing lengan melakukan perkara yang dapat mengukuhkan lagi kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan.

"Saya ingatkan jemaah menteri bahawa rakyat semakin kritikal. Oleh itu, kita tak boleh lagi anggap ini perkara biasa, business as usual, (sebaliknya) mesti pamer kesanggupan untuk buat perubahan dan pembaharuan.

"Saya tekankan pentingnya menteri berurusan dengan semua lapisan masyarakat, bukan lagi (mengandaikan) kerajaan tahu semua.

"Sebaliknya, bukalah pintu perundingan dan dialog dengan semua lapisan rakyat dan apa juga keputusan hendaklah bersandarkan kepada kehendak rakyat," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, Najib menghurai dan memperincikan gagasan '1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang dieksploitasi pihak tertentu, terutama pembangkang, sebagai menyamai konsep 'Malaysian Malaysia' yang diperjuangkan mereka.

"Konsep Satu Malaysia bererti kita berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia dan kita mengambil tindakan berdasarkan kepada kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita," tegasnya.

Malah, pengertian dan huraian mengenai gagasan '1Malaysia' itu terus menjadi topik utama Perdana Menteri yang ditekankannya tidak harus dilihat daripada kefahaman jumud.

Seperkara yang sering diulanginya ialah gagasan itu tidak akan mengetepikan dasar membantu Bumiputera, sebaliknya Bumiputera yang layak mendapat sesuatu akan tetap mendapat pertimbangan sewajarnya daripada kerajaan.

Hairannya bagaimana mungkin '1Malaysia' boleh begitu mudah dieksploitasi dan disalahertikan sedangkan Najib sendiri belum habis menghuraikan gagasan yang bertunjangkan lapan nilai utama itu.

Sesiapa saja boleh melawati blognya untuk mengetahui baru empat nilai berkenaan yang sudah diperjelaskan merangkumi budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati dan penerimaan.

"Gagasan '1Malaysia' adalah bersandarkan kepada rasa hormat-menghormati dan toleransi sesama setiap kumpulan etnik," katanya.

Malah, Najib turut memberikan contoh apabila menyaksikan suatu kemalangan jalan raya, kecenderungan sesetengah ialah untuk bertanyakan yang menjadi mangsa ialah orang Melayu, Cina atau India.

"(Malangnya) itulah mentaliti rakyat Malaysia. Jika pun ada yang maut dalam kemalangan itu, apakah penting jika mangsanya adalah Melayu, Cina atau India? Beritahu saya apakah itu yang menjadi perkiraan?

"Kerana itu, 1Malaysia hendaklah difahami daripada falsafah keseluruhannya dan biarlah ia berkembang. Apa yang penting ialah untuk percaya-mempercayai antara satu sama lain.

"Ia berkisar kepada kesatuan sebagai Satu Malaysia, berdiri bersama, berfikir bersama dan mengambil tindakan bersama... bekerjalah bersama-sama untuk sebuah negara Malaysia yang lebih makmur."

Perdana Menteri turut ditanya mengenai pendiriannya terhadap kecenderungan sesetengah orang yang berpusu-pusu di lapangan terbang apabila beliau mahu ke luar negara atau ketika pulang dari negara asing.

"Sesetengahnya datang untuk mendoakan kesejahteraan saya, ada juga yang hendak memaklumkan sesuatu dengan berbisik kepada saya, ada yang nak mengadu masalah.

"Saya tak makan dilobi dan juga tak punya kroni.

"Dah jadi PM ni, kalau di pejabat tak boleh jumpa dan nak ke luar negeri pun tak boleh jumpa, nanti PM akan tinggal seorang diri," katanya ketawa.

Menyimpulkan reaksi jemaah menteri selepas mesyuarat pertama Kabinet, Rabu lalu, Najib berkata: "Saya percaya menteri-menteri sedar masa depan kerajaan bergantung kepada pencapaian mereka.

"Jadi, mereka perlu ambil serius. Saya yakin mereka mampu laksanakan tanggungjawab.

"Keseluruhannya, ia adalah mesyuarat pertama yang cukup rancak. Adalah penting untuk mereka (menteri) mendapat kepuasan bekerja. Kita nak bina esprit de corp untuk kita jalankan kerja kita."

Hishammuddin memberikan perspektif yang sedikit berbeza.

"Mesyuarat pertama itu agak luar biasa," katanya. "Ia menuntut banyak keberanian untuk seorang pemimpin meletakkan dirinya dalam kedudukan itu.

"Najib tidak mengharapkan untuk apa saja yang dicadangkannya dipersetujui atau untuk menghalang sesiapa saja memberikan pandangan berbeza.

"Tapi jangan sesekali cuba untuk melemahkan beliau."

(sumber;http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Sunday/Rencana/20090419021146/Article/index_html)

No comments: