Saturday, April 25, 2009

Karpal terjatuh ketika hadiri kes mahkamah




KARPAL Singh dibantu oleh sukarelawan Pas, Unit Amal menaiki tangga di Mahkamah Tinggi Kuantan, semalam kerana tidak mempunyai kemudahan seperti lif atau tangga bergerak untuk golongan orang kurang upaya (OKU).






AHLI Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh (tengah) terjatuh daripada kerusi rodanya ketika diangat pembantunya menaiki tangga menuju ke kamar Mahkamah Tinggi di tingkat satu bangunan itu untuk menghadiri sebutan kes permohonan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menangguhkan keputusan bayaran penghakiman berjumlah RM63 juta kepada sebuah syarikat pembalakan di Mahkamah hari ini. Karpal, yang mewakili syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd pada prosiding itu, akan memohon supaya kes itu didengar di kamar tingkat bawah Mahkamah Tinggi itu. --fotoBERNAMA



ARKIB : 25/04/2009
Karpal jatuh kerusi roda




KUANTAN 24 April - Satu insiden yang tidak diduga berlaku di Mahkamah Tinggi di sini apabila Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh terjatuh daripada kerusi rodanya di tingkat satu bangunan mahkamah itu hari ini.

Kejadian berlaku ketika beberapa pembantunya mengangkat kerusi roda peguam terkemuka itu melalui anak tangga untuk ke Mahkamah Tinggi yang terletak di tingkat satu bangunan itu.

Sejurus sampai di tingkat satu, Karpal dipercayai terjatuh di kaki lima mahkamah berkenaan selepas kerusi roda yang dinaikinya hilang keseimbangan tanpa sempat dikawal oleh para pembantunya.

Keadaan tersebut menimbulkan sedikit suasana panik di kalangan pembantunya sambil meminta supaya doktor dipanggil kerana Karpal didengar mengerang kesakitan.
Karpal bagaimanapun dilihat kembali normal selang beberapa saat dan meminta para pembantunya membawa beliau masuk ke dalam bilik Mahkamah Tinggi untuk menghadiri sebutan kes.

Sebelum kejadian, Karpal yang juga Pengerusi DAP dilihat tiba di pekarangan kompleks mahkamah di sini kira-kira pukul 10.05 pagi dengan diiringi para pembantunya serta petugas Unit Amal parti pembangkang.

Karpal hadir ke mahkamah berkenaan bagi menghadiri sebutan kes permohonan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob untuk menangguhkan keputusan penghakiman yang mengarahkannya membayar RM63 juta kepada syarikat pembalakan, Seruan Gemilang Makmur Sdn. Bhd. (Seruan Gemilang).

Karpal ketika ditemui kemudiannya berkata, insiden tersebut kali pertama berlaku ke atasnya sejak beliau menggunakan kerusi roda pada 2005 dan kejadian tersebut agak menyakitkan.

Menurutnya, beliau tidak menyalahkan mana-mana pihak berhubung insiden tersebut dan menganggapnya sebagai satu kemalangan kecil yang tidak disengajakan.

''Ini risiko yang perlu ditempuhi dan kejadian ini pengalaman pertama saya sejak menggunakan kerusi roda selepas mengalami kemalangan jalan raya," katanya.
Dalam pada itu, Karpal turut mempersoalkan Mahkamah Tinggi berkenaan kerana tidak mempunyai kemudahan seperti lif atau tangga bergerak untuk golongan orang kurang upaya (OKU).

Tegasnya, kemudahan untuk OKU pada hari ini menjadi satu keperluan dan mahkamah berkenaan sepatutnya mempunyai kemudahan khusus untuk golongan tersebut.

''Sudah sampai masanya, kita mempunyai sistem yang baik bagi kemudahan OKU, nasib baik tidak berlaku apa-apa ke atas saya, kalau tidak, akan ada pilihan raya kecil lagi,'' katanya berseloroh.

Beliau seterusnya memohon supaya pada masa akan datang, kes berkenaan dijalankan di bilik Mahkamah Tinggi yang terletak di aras bawah.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini bagi mendengar permohonan penangguhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abd. Halim Aman yang memerintahkan Adnan melunaskan bayaran itu dalam tempoh 14 hari berakhir 4 Mei ini.
Ia dibuat selepas membenarkan permohonan mandamus (memaksa pihak berkuasa mematuhi perintah mahkamah) yang difailkan syarikat pembalakan tersebut.

Karpal bersama Rajoo D. Moothy yang mewakili syarikat tersebut memohon Hakim Datuk V.T Singham memberikan mereka masa bagi membalas afidavit yang difailkan oleh pihak Menteri Besar diwakili peguam, Datuk Shafie Abdullah dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mat Zara'ai Alias, Rabu lalu.

Kelmarin, kerajaan negeri memfailkan permohonan bagi menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi itu yang memerintahkan Menteri Besar membayar RM63 juta kepada syarikat berkenaan.

(sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0425&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_18.htm)

No comments: