Sunday, April 12, 2009

08april2009; kewajaran tuntuan mca dua TPM


ARKIB : 08/04/2009
Kewajaran dua TPM

Oleh AZNAN BAKAR
pengarang@utusan.com.my


BARISAN kepimpinan MCA seharusnya berusaha lebih gigih untuk mendapatkan semula sokongan masyarakat Cina dan bukannya membuat tuntutan-tuntutan tidak munasabah seperti kuota TPM untuk kaum Cina.

TIDAK sampai seminggu Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri. Namun sudah ada desakan daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) mengenai keanggotaan dalam Kabinet.

Paling ketara ialah cadangan (juga boleh dibaca sebagai tuntutan) daripada MCA supaya diwujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II daripada kalangan kaum Cina.

Antara alasan yang diberikan ialah supaya wakil kaum Cina di negara ini mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam kerajaan.

Ia mula dibangkitkan oleh Timbalan Setiausaha Agung MCA, Datuk Loke Yuen Yow. Dan calon yang paling layak untuk isi jawatan itu ialah Presiden MCA.

Cadangan itu disokong oleh pemimpin MCA lain termasuk Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Walaupun mereka mengatakan ia terpulang kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan itu namun sedikit sebanyak MCA telah mendesak secara terbuka.

Ada yang berpendapat MCA melontar idea itu sebagai cubaan meraih sokongan kaum Cina ekoran kejutan besar yang dialami oleh parti komponen BN itu pada pilihan raya umum 2008.

Isu-isu berbau permintaan atau desakan itu sepatutnya dikemukakan dalam forum tertutup antara pemimpin-pemimpin tertinggi BN dan bukannya secara terbuka bagi meraih populariti.

Ia menampakkan MCA sebagai sebuah parti komponen yang rakus, yang tidak sabar-sabar mahu menuntut itu dan ini, walaupun mereka tahu peralihan kuasa baru sahaja berlaku.

Persoalan yang timbul dan menjadi topik bual bicara ialah wajarkah jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dikhususkan kepada kaum Cina di wujudkan?

Adakah selama ini kaum Cina tidak mempunyai wakil yang cukup baik dalam kerajaan?

Adakah ini bermakna pada pandangan MCA kaum Cina pada masa ini tidak diberikan kedudukan sewajarnya dalam kerajaan?

Jika kita lihat barisan Kabinet yang dibentuk oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum 2008, kedudukan wakil kaum Cina dalam kerajaan tetap sama.

Sedangkan keputusan pada pilihan raya umum itu memperlihatkan orang Cina jelas menolak calon-calon BN terutama dari MCA. Kekalahan hampir 70 peratus calon MCA boleh ditafsirkan sebagai penolakan kaum Cina terhadap BN.

Apabila mereka menolak calon BN, bermakna mereka menolak wakil mereka dalam kerajaan. Ini kerana ramai tahu hanya calon BN sahaja akan dilantik menganggotai Kabinet.

Bagaimanapun di sebalik prestasi buruk pada 2008, kuota untuk MCA bagi jawatan menteri penuh masih kekal.

MCA yang sebelum ini mempunyai empat menteri penuh mengekalkan jumlah tersebut walaupun sumbangan mereka kepada kemenangan BN merosot.

Ketika pembentukan Kabinet, wakil-wakil mereka walaupun sudah menjadi minoriti dalam kerajaan tidak diketepikan.

Malah calon MCA, Datuk Ng Yen Yen diberi kepercayaan untuk mengendalikan kementerian yang sebahagian besar bidang kuasanya meliputi kaum wanita yang beragama Islam.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang diterajui Yen Yen bertanggungjawab perihal undang-undang keluarga Islam serta yang berkaitan dengan perlindungan wanita.

Ini menunjukkan wakil MCA - wakil kaum Cina - diberi kedudukan yang cukup penting dalam kerajaan.

Jika peratusan diambil kira, hanya 25 peratus daripada Ahli Parlimen UMNO dilantik menganggotai Kabinet. Sedangkan untuk MCA, 26 peratus daripada Ahli Parlimennya ada dalam kerajaan.

Jumlah menteri yang dilantik dari kalangan wakil MCA tidak pernah kurang, walaupun "sudah terang lagi bersuluh", kaum Cina menolak BN pada pilihan raya umum lalu.

Berdasarkan statistik, pada pilihan raya umum 2004, MCA menang 31 daripada 40 kerusi Parlimen yang dipertandingkan. Daripada jumlah itu empat wakil mereka diangkat menganggotai Kabinet.

Pada 2008, MCA tetap bertanding di 40 kawasan Parlimen. Namun hanya 15 calonnya yang menang. Walaupun prestasi MCA buruk - gambaran kaum Cina menolak BN - menteri yang dilantik dari kalangan MCA tetap empat orang.

Ini adalah realiti. Bukan untuk mengungkit atau menolak mentah-mentah tuntutan tidak berasas MCA itu.

Tetapi dalam keadaan peralihan kuasa yang masih baru, MCA sepatutnya menahan seketika keinginan mereka. Sabar sedikit dan cari forum yang sesuai.

Sepatutnya, kesempatan ini digunakan oleh MCA untuk buktikan kesungguhan bagi mengembalikan sokongan kaum Cina kepada BN. Tidak perlu ada syarat.

Adakah MCA boleh memberi jaminan apabila mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri, kaum Cina akan kembali menyokong BN?

Selepas kejutan pada 2008, usaha utama MCA kini sepatutnya ialah memastikan sokongan kaum Cina utuh kepada BN pada pilihan raya umum ke-13. Bukannya menuntut jawatan yang lebih besar sedangkan prestasi merudum.

Mereka kena buktikan kehadiran mereka dalam kerajaan begitu signifikan melalui mandat yang diberikan oleh rakyat. Ia perlu selari dengan dakwaan bahawa MCA adalah parti kaum Cina terbesar di negara ini.

Kalau ditoleh semula ke belakang, sejak dari awal pembentukan kerjasama antara UMNO, MCA dan MIC melalui Perikatan dan kemudiannya BN, wakil MCA tidak pernah diketepikan dalam kerajaan.

Malah dari awal usaha menuntut kemerdekaan hingga sekarang, UMNO telah mengorbankan banyak kepentingan orang Melayu demi memastikan pakatannya dengan MCA dan MIC tidak tergugat.

Semangat yang sama juga perlu diambil oleh MCA dalam membuat atau mengemukakan apa juga permintaan agar tidak dianggap "sudah diberi betis mahu paha".

Walaupun tanpa Timbalan Perdana Menteri dari kalangan kaum Cina, hak-hak mereka tetap terpelihara. Segala kepentingan mereka terjaga tanpa diganggu-gugat.

Walaupun kaum Cina tidak sampai 30 peratus daripada keseluruhan rakyat negara ini, namun penguasaan mereka dalam apa juga bidang tidak pernah dihalang.

Sebab itu kaum Cina merupakan kaum yang paling berjaya di negara ini.

Sepatutnya semangat baru yang dibawa oleh Najib digunakan sepenuhnya oleh MCA untuk meyakinkan kaum yang mereka wakili itu untuk kembali menyokong BN.

Ketika kaum Cina masih dilihat sebagai cenderung memihak atau simpati dengan pembangkang terutama DAP, maka tumpuan MCA ialah kepada usaha menafikan persepsi itu. "Bekerja dahulu, jawatan kemudian."

PENULIS ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia

No comments: