Tuesday, December 21, 2010

Setiap Undi Di DUN Tenang Punyai Nilai Sama Penting Tentukan Kemenangan BN


Setiap Undi Di DUN Tenang Punyai Nilai Sama Penting Tentukan Kemenangan BN

LABIS, 21 Dis (Bernama) -- Setiap undi pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mempunyai nilai yang sama penting bagi menentukan kemenangan atau kekalahan kepada Barisan Nasional (BN) dan bukannya tertumpu pada undi sesuatu kaum mahupun jantina.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan Umno berkata tiada satu pun undi disebut sebagai undi penentu dan cakap-cakap mengenainya hanya menyebabkan sesetengah pihak akan berasa kecil hati.

"Kita kena jaga. Jangan kata mana undi lebih penting kerana semua undi adalah penting. Undi peneroka Felda, undi pengundi kampung tradisi, kaum Cina, Melayu, India, generasi muda atau tua mahupun Orang Asli semuanya mempunyai nilai yang sama penting dan merupakan undi penentu.

"Wanita jangan kata undi dia penting daripada lelaki. Melayu jangan kata undi mereka penting daripada Cina kerana kalau Cina tidak mengundi, BN akan kalah. Kalau Cina pula kata mereka adalah undi penentu, Melayu nanti tidak undi BN. Jadi, semua pihak adalah penting termasuk Orang Asli," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama peneroka Felda, di Felda Tenang, di sini, Selasa.

Katanya beliau yakin pembangkang akan memainkan pelbagai isu pada pilihan raya kecil itu nanti termasuk isu Felda, isu berkaitan firma perunding antarabangsa Apco Worldwide Bhd dan penggantungan empat anggota parlimennya bagi mengelirukan pengundi di kawasan tersebut.

Empat anggota Parlimen pembangkang yang digantung kehadiran mereka di persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga anggota Parlimen Permatang Pauh, Karpal Singh anggota Parlimen Bukit Gelugor, Azmin Ali (Gombak) dan R. Sivarasa (Subang).

Ahmad berkata beliau bersama seluruh jentera BN dan Umno akan turun padang dengan mengadakan sesi penerangan kepada semua pengundi di kawasan berkenaan mulai hari ini.

Katanya, pihaknya juga akan memberikan tumpuan kepada tiga penempatan Felda di kawasan DUN Tenang iaitu Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang yang mempunyai seramai 4,000 pengundi.

"Jentera kita bersiap sedia mempertahankan ketiga-tiga Felda ini yang merupakan kubu kuat BN. Saya akan berkampung di ketiga-tiga tempat ini dan akan memperjelaskan isu yang diputar belit.

"Pokok pangkalnya, kita sentiasa membela peneroka dan generasinya. Kita sudah berjaya mengeluarkan generasi pertama daripada kemiskinan tegar dan sekarang ini Felda akan terus membantu generasi kedua dan ketiga dengan memberikan pelbagai kemahiran bagi meneruskan kehidupan. Kita tidak lagi memberikan ikan kepada mereka tetapi kita ajar mereka cara mengail ikan," jelasnya.

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur, Jumaat lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12, 2008 apabila menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=551557)

2 comments:

Anonymous said...

Slogan Malaysia Boleh dah digunapakai rakyat Malaysia
PRK Tenang slogan
"Pembohong macam Anwar Ibrahim" prlu dilaungkan di PRK Tenang semoga akan digunapakai hingga ke anak cucu nanti...

Anonymous said...

KLITA AKAN TURUN PADANG ...

AKAN TURUN PADANG??????

UMNO MASIH TIDUR !!!!

PAS TIAP TIAP MALAM JUMPA PERNGUNDI TERUTAMA GENERASI MUDA !!!

UMNO KATA "KITA AKAN ????"