Tuesday, December 21, 2010

MCA Lipat Ganda Usaha Raih Undi Pengundi Cina Di Tenang

MCA Lipat Ganda Usaha Raih Undi Pengundi Cina Di Tenang

KUANTAN, 19 Dis (Bernama) -- MCA akan melipat gandakan usaha bagi meraih sokongan pengundi-pengundi Cina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor bagi memastikan kerusi itu kekal milik Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil itu nanti.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau yakin BN akan mendapat sokongan yang baik daripada pengundi Cina di kawasan itu walaupun sokongan kaum tersebut di tempat-tempat tertentu di situ tidak begitu kuat.

"Secara keseluruhannya, sokongan penduduk di kawasan berkenaan masih berpihak kepada BN walaupun terdapat beberapa kawasan yang dilihat sokongan semakin menurun.

Bagaimanapun MCA akan cuba mengatasi masalah tersebut dengan menyusuri akar umbi bagi memastikan sokongan jitu," katanya kepada pemberita selepas sesi dialog MCA Pahang bersama Gabungan Persatuan-Persatuan NGO Cina Pahang di sini Ahad.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat MCA negeri Pahang dalam usaha membantu BN memenangi kerusi tersebut selain membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

MCA katanya turut mengucapkan takziah atas kematian Anggota Dewan Undangan (ADUN) Tenang itu, Datuk Sulaiman Taha, 59 yang meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur Jumaat lepas.

Liow menyifatkan Allahyarham seorang pemimpin yang dedikasi kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik di kawasan berkenaan dan MCA merasakan satu kehilangan besar terutama dalam parti kerana beliau merupakan pemimpin yang amat disenangi.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum Ke-12 2008, dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

Sementara itu Pergerakan Puteri Umno menerusi unit khas pilihan rayanya bersiap sedia untuk menjelaskan isu yang akan diputar belit oleh pembangkang pada pilihan raya kecil itu.

Ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata melalui unit itu, Puteri Umno akan meneruskan formula mendekati pengundi dari rumah ke rumah bagi menjelaskan isu semasa yang pasti akan dimanipulasi pihak lawan terutamanya berhubung kenaikan harga petrol baru-baru ini.

"Kita akan menghantar antara 20 hingga 30 anggota puteri dari setiap negeri yang akan diketuai oleh pergerakan Puteri Johor bagi membantu jentera pilihan raya kecil itu nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Sihat Program Juara Rakyat Kota Raja di Shah Alam pada Ahad.

Beliau berkata Puteri Umno menyahut seruan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahukan BN bukan sahaja perlu berusaha mempertahankan kerusi DUN Tenang, malah perlu gigih mempertingkatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan itu.

Dalam perkembangan lain, Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata sehingga semalam sebanyak 45,106 kes denggi dicatatkan di seluruh negara membabitkan 133 kematian.

Beliau berkata bilangan kes itu mencatatkan peningkatan yang membimbangkan di mana bagi tempoh sama tahun lepas sebanyak 39,711 kes dengan 84 kematian dicatatkan.

"Dari segi jumlah kematian peratusnya mencatatkan peningkatan iaitu 58 peratus berbanding tahun lepas," katanya.

Rosnah berkata Selangor merupakan negeri mencatakan kes denggi tertinggi iaitu sebanyak 15,9Di 78 kes dengan 44 kematian.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=551154)

No comments: