Monday, December 20, 2010

Tingkatkan sokongan di DUN Tenang


Tingkatkan sokongan di DUN Tenang

PAGOH 18 Dis. - Barisan Nasional (BN) bukan sahaja perlu berusaha mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, malah perlu gigih mempertingkatkan sokongan rakyat dalam pilihan raya kecil kawasan itu tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk mencapai kemenangan yang lebih besar, semua jentera BN, khususnya UMNO Bahagian Labis dan Badan Perhubungan UMNO Johor perlu melaksanakan strategi yang lebih berkesan.

"Dalam apa juga pilihan raya sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum, kita jangan pandang mudah walaupun dalam rekod kerusi DUN Tenang memang dimenangi UMNO sejak dulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Gempur NKRA 1Azam (Akhiri Zaman Kemiskinan) peringkat Daerah Muar di Dewan Seri Pekembar di sini hari ini.

Beliau mengulas kemungkinan diadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan berkenaan ekoran kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha semalam.

Muhyiddin berkata, UMNO telah bersedia menghadapi PRK tersebut pada bila-bila masa yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) nanti.

Ditanya mengenai calon, beliau berkata, siapa yang akan dipilih nanti akan ditentukan berdasarkan cadangan daripada UMNO Bahagian Labis dan Badan Perhubungan UMNO Johor.

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian Sulaiman setelah berada dalam keadaan kritikal selama 24 hari di Hospital Ampang Puteri, Kuala Lumpur pukul 1.10 pagi semalam akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis.

DUN Tenang yang terletak di bawah kawasan Parlimen Labis mempunyai seramai 14,511 pengundi berdasarkan perangkaan SPR 2008 dan kira-kira 50 peratus pengundi adalah kaum Melayu.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN berkenaan dengan majoriti 2,492 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm)

No comments: