Thursday, December 23, 2010

Dun Tenang: Analisis Ringkas


Dun Tenang: Analisis Ringkas

DUN Tenang(N5) merupakan salah satu DUN yang berada di bawah Parlimen Labis selain daripada DUN Bekok. Kawasan ini sebahagian di bawah kawalan Majlis Daerah Labis yang terletak di utara negeri Johor.

DUN Bekok di wakili oleh wakil MCA iaitu Tan Kok Hong yang juga Exco Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tenaga, Air, Komunikasi dan Alam Sekitar Negeri Johor.

Parlimen Labis pula diwakili oleh Chua Tee Yong yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sejak PRU 2008. Sebelum ini ia diwakili oleh bapa Tee Yong iaitu Chua Soi Lek yang mewarisi kawasan ini daripada Tun Ling Liong Sik.

Dun Tenang yang diwakili oleh Allahyarham Datuk Sulaiman Taha sejak PRU 2004 merupakan PRK pertama yang diadakan di negeri Johor selepas PRU12. Dun Tenang pada dasarnya merupakan kerusi milik Umno di kawasan Parlimen Labis.

Pada PRU 2004 BN memperolehi sebanyak 7655 undi manakala pada 2008 pula sebanyak 6367 undi. Ia mengalami kemorosotan sebanyak 1288 undi sahaja.

Manakala PAS memperoleh 3875 undi pada PRU 2008 berbanding 2138 undi pada tahun 2004. Peningkatan yang diperoleh hanya sebanyak 1737 undi sahaja.

Jumlah kemerosotan dan peningkatan undi yang tidak selari mungkin berdasarkan faktor pengundi baru dan pembersihan senarai pengundi lama oleh SPR.

Kemerosotan undi BN dipercayai disebabkan faktor isu-isu tempatan yang mendapat protes dari masyarakat setempat. Isu nasional seperti kes Anwar kurang mendapat ruang di kalangan penduduk tempatan.

Namun BN perlu berhati-hati dengan isu harga barang yang dipercayai dapat mempengaruhi penduduk setempat. Penduduk kawasan ini juga mempunyai pemikiran yang lebih terbuka dan tidak begitu memerlukan projek segera.

Penduduk daerah Labis sebelum ini hanya dipengaruhi oleh parti Umno, MCA dan DAP. Pengaruh parti PAS boleh diibaratkan umpama hidup segan mati tidak mahu. Hanya selepas PRU tahun 2008, PAS mula mendapat nafas baru gara-gara kejayaan pembangkang di peringkat nasional.

PKR pula baru bertapak di daerah ini pada tahun 2010. Ia mengambil alih sedikit penyokong MCA, DAP dan sebahagian bekas penyokong MIC. Namun begitu, pengaruh parti ini tidak begitu meluas berbanding parti-parti lain.

Walaupun majoriti penduduk kawasan bandar berbangsa Cina, namun penduduk Melayu masih menguasai majoriti pengundi sekitar 50%. Ini disebabkan beberapa gugusan felda yang hampir keseluruhan penduduk berbangsa Melayu seperti Felda Tenang, Felda Cempelak Timur dan Felda Cempelak Barat yang mewakili sekitar 4000 undi.

Selain peneroka, rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai pekebun, berniaga kecil-kecilan dan bekerja di sektor kerajaan.

Penduduk di kawasan ini boleh dikatakan rapat dan jarang berlaku pertelingkahan dan pergaduhan yang berskala besar. Suasana harmoni ini mungkin disebabkan faktor kawasan luar bandar dan kurangnya semangat kepartian yang berlebihan.

Secara dasarnya, Umno dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan penguasaan di kawasan DUN ini. Apatah lagi pembangkang tidak mempunyai asas yang kukuh di kawasan Labis dan beberapa isu nasional ternyata telah menjejaskan imej pembangkang sejak kebelakangan ini.

Walau bagaimanapun, isu yang paling ketara ialah samada MCA berjaya menarik semula undi kam Cina ataupun tidak. Umno juga perlu lebih bersedia memandangkan pembangkang pasti mencuba sedaya upaya untuk memenangi mahupun mengurangkan lagi undi majoriti di kawasan ini.

(sumber;http://umnojohor.blogspot.com/2010/12/dun-tenang-analisis-ringkas.html)

1 comment:

doptahunape said...

MEMANG...KALAU IKUT ANALISIS MEMANG BN AKN PERTAHANKN DUN TENANG,TAPI KALAU IKUT HATI RAKYAT SIAPA TAHU...