Tuesday, November 23, 2010

Pengguna Internet Perlu Waspada Dengan penipu Siber

Pengguna Internet Perlu Waspada Dengan penipu Siber

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan para pengguna internet agar berwaspada dengan "Penipu Siber" yang semakin berleluasa menjual barangan secara dalam talian.

Menurut Laman Sosial Facebook PDRM hari Isnin, polis sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan jenayah seumpama ini dan menasihatkan pengguna internet agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan jenayah seumpama ini.

Katanya, bagi mengelakkan ditipu, pengguna internet sebelum berurusan jual beli perlu memastikan dahulu identiti orang yang berurusan dengan mereka selain tahu maklumat-maklumat penting penjual iaitu alamat, nombor telefon, email dan maklumat-maklumat penting lain.

"Pengguna perlu buat semakan dengan pihak bank mengenai nombor akaun yang diberikan kepadanya...sekiranya pengguna ada berhubung dengan penjual melalui email, email perlu disimpan bersama-sama dengan 'Full Email Header'.

Selain itu, sekiranya pengguna ditipu mereka perlu cetak segala komunikasi dengan penjual seperti komunikasi di 'Wall', 'Private Message', email, sistem pesanan ringkas, telefon dan sebagainya.

"Pengguna juga perlu teruskan berhubung dengan suspek dan melengah-lengahkan agar komunikasi dengan suspek tidak putus.

"Sekiranya pengguna mempunyai maklumat mengenai penipu siber, perlu salurkan maklumat ke mcc@rmp.gov.my untuk tindakan dan siasatan pihak polis," kata laman itu.

Laporan sebuah akhbar hari ini membongkar taktik "Penipu Siber" mengakibatkan pembeli pelbagai barangan secara dalam talian di negara ini kerugian antara RM200,000 hingga RM300,000 setiap bulan.

Antara aduan yang dilaporkan kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional ialah mengenai penipuan sebanyak 80 kes, kelewatan tidak munasabah (96), kekurangan maklumat penjual (128), cubaan untuk mengelirukan pelanggan (91), perkhidmatan buruk (75) dan pemulangan semula wang dan barangan (84).

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=544656)

1 comment:

zahari1950 said...

Kalau benda yang mahal menjadi terlalu murah. Kalau benda yang susah menjadi terlalu senang. Kalau yang tidak munasabah menjadi terlalu realiti. Maka itu menunjukkan ada sesuatu yang perlu diselidik dulu. Kita mesti sentiasa berperasangka dan rasa keinginan untuk penjelasan lanjut.

" Apakah seorang pengurus kewangan dari Afrika begitu bodoh memilih saya untuk menjadi penerima wang berjuta pound sterling peninggalan satu keluarga yang tidak berwaris di sana ".

Itulah salah satu e-mail yang saya sering terima melalui internet. Dia membuat andaian bahawa saya begitu bodoh akan teruja dengan tawarannya tanpa usul periksa dan seterusnya akan masuk keperangkap penipuannya.

Nasihat saya bahawa tiada satu benda pun dalam dunia ini diperolehi dengan senang tanpa berusaha. Jikalau ada tawaran yang pelik-peliktu maka berwaspadalah. Kemungkinan besar ianya adalah penipuan.