Sunday, November 7, 2010

PM semakin sihat, terima kunjungan menteri


PM semakin sihat, terima kunjungan menteri

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersemangat tinggi dan terus menunjukkan tanda-tanda semakin sembuh, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kesan lesi akibat cacar air pulih dengan baik dan simptom gastritis telah pun dapat diatasi.

"Beliau kini mengikuti diet biasa," katanya kepada Bernama.

Mohd Ismail berkata, Perdana Menteri dijangka dibenarkan keluar dalam beberapa hari lagi.

"Datuk Seri Najib mengucapkan terima kasih kepada pengirim ucap se lamat yang mendoakan beliau supaya cepat sembuh," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah memberikan perhatian penuh kepada Perdana Menteri bagi memastikan beliau berada dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, katanya, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menunjukkan tanda-tanda semakin sihat.

"Marilah sama-sama berdoa agar Perdana Menteri cepat sembuh," katanya.

Najib dimasukkan ke HKL sejak Khamis lalu untuk pemeriksaan lanjut selepas beliau mengalami rasa tidak selesa dalam perut.

Endoskopi telah dilakukan ke atas Najib dan ia menunjukkan ulser dan gastritis ringan.

Sementara itu, Perdana Menteri menerima hari ini menerima kunjungan beberapa kenamaan dan ahli keluarga termasuk bondanya, Tun Rahah Mohd. Noah.

Turut kelihatan adiknya, Datuk Mohamed Nazim Razak serta beberapa anggota Kabinet termasuk Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Tan Sri Koh Tsu Koon serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin juga sempat meluangkan masa melawat beliau.

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malik; Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_03.htm)

No comments: