Thursday, July 29, 2010

Dr Ling Didakwa Tipu Kerajaan Malaysia Membabitkan RM1.08 Bilion


Dr Ling Didakwa Tipu Kerajaan Malaysia Membabitkan RM1.08 Bilion

PUTRAJAYA, 29 Julai (Bernama) -- Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini Khamis terhadap tuduhan menipu Kerajaan Malaysia berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah di Pulau Indah membabitkan RM1.08 bilion lapan tahun lepas.

Dr Ling, 67, didakwa atas satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 Sept 2002 dan 6 Nov 2002.

Beliau yang juga bekas Presiden MCA kelihatan tenang ketika pertuduhan berkenaan dibacakan kepadanya yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris.

Hakim Suzana Hussin membenarkan bekas presiden MCA itu diikat jamin sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept ini, pada pukul 8.30 pagi untuk sebutan semula kes.

Dr Ling, yang berbaju belang biru putih dibebaskan selepas membayar ikat jamin itu.

Mengikut pertuduhan utama, Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah itu mengikut terma-terma yang dipersetujui di antara Kuala Dimensi Sdn Bhd dengan Lembaga Pelabuhan Klang.

Terma-terma berkenaan ialah

- luas tanah 999.5 ekar atau 43,538,200 kaki pesegi;

- kadar pembelian tahan adalah sebanyak RM25 satu kaki pesegi menjadikan jumlah pembelian sebanyak RM1,088,456,000.00;

- tempoh pembayaran balik berdasarkan kaedah "bayaran tertangguh" selama 15 tahun dengan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun (berjumlah RM720,014,600.00).

Dr Ling dituduh memperdayakan Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah tersebut mengikut terma-terma itu dan dengan curangnya menyembunyikan fakta bahawa penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah tersebut pada kadar RM25 satu kaki persegi bagi tempoh bayaran balik 15 tahun, adalah termasuk kadar kupon/faedah yang boleh dikenakan untuk tempoh bayaran balik tersebut.

Oleh demikian, beliau dituduh dengan sengaja mendorong Jemaah Menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tahan tersebut yang mana Jemaah Menteri tidak akan memberikan persetujuan sekiranya fakta tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

Menurut pertuduhan itu, penipuan itu dilakukan dengan mengetahui bahawa beliau (Dr. Ling) boleh menyebabkan kehilangan salah kepada Kerajaan Malaysia, yang kepentingannya di dalam urusan yang berkaitan dengan penipuan itu, beliau terikat oleh suatu kontrak di sisi undang-undang untuk melindungi.

Bagi pertuduhan utama, Dr Ling dituduh mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sampai tujuh tahun, dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan alternatif, Dr Ling dituduh menipu Jemaah Menteri dengan curangnya menyembunyi fakta serupa pada tempat dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara yang boleh sampai lima tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sewaktu ditanya jurubahasa itu sama ada beliau faham pertuduhan itu dan sama ada beliau mengaku bersalah atau minta bicara terhadap pertuduhan itu, Dr Ling menjawab beliau faham pertuduhan itu dan "mengaku tidak bersalah".

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai pasukan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Beliau berkata pertuduhan yang dihadapi Dr Ling merupakan kesalahan yang boleh dijamin dan adalah tidak perlu bagi Dr Ling untuk menyerahkan dokumen perjalanan.

Peguam bela Datuk R.R.Sethu tidak membantah terhadap jumlah jaminan itu.

Beliau memohon kepada mahkamah "untuk tempoh sebulan bagi tarikh sebutan kerana menurutnya Dr Ling pernah berkhidmat dalam perkhidmatan awam sebelum ini.

Turut dalam pasukan pendakwaan ialah Ketua Unit Pendakwaan Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah, Ketua Unit Pelucuthakan Harta, Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Dzulkifli Ahmad dan timbalan pendakwa raya Manoj Kurup.

Dr Ling yang tidak digari, sampai di perkarangan mahkamah pada pukul 4.36 petang dengan kereta Honda Accord berwarna biru. Beliau diiringi isterinya Toh Puan Ena Ling dan keluarga terdekatnya serta beberapa anggota polis.

Beliau kemudiannya memasuki Mahkamah Sesyen pada 4.45 petang dan terus duduk di dalam kandang tertuduh. Prosiding mahkamah berjalan selama setengah jam bermula 4.55 petang.

Sewaktu Dr Ling keluar dari kaunter jaminan, seorang pemberita sempat bertanyakan beliau sama ada beliau mahu bercakap apa-apa, Dr Ling cuma menggelengkan kepalanya.

Mahkamah telah bersidang selama setengah jam bermula pada pukul 4.55 petang.

Selepas itu, Dr Ling telah dibawa ke kaunter jaminan yang terletak di tingkat bawah bangunan mahkamah itu. Beliau dilihat keluar dari kaunter itu pada pukul 5.30 petang.

-- BERNAMA

1 comment:

Unknown said...

Salam ZMS
Mengharapkan SPRM terus menjalankan usaha menangani masalah rasuah tanpa mengira siapa dan pihak mana. Rasuah itu (pemberi dan penerima) merosakkan negara, bangsa dan agama. Kalau nak kaya sebanyak manapun, gunalah cara yang betul