Thursday, July 29, 2010

Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’


Kena gugur Timbalan Menteri : Akhirnya Idris Haron ‘buka cerita’

Oleh: NOOR HASILAH ISMAIL

Ketika beliau digugurkan daripada kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak lebih setahun lalu, pelbagai andaian timbul. Antara desas desusnya beliau “orang Pak Lah”, atau orang “Ali Rustam” .Juga kononnya Perdana Menteri tidak suka padanya.Ada yang kata beliau merajuk dan bermacam-macam lagi.

Sejak itu beliau elak diri dari daripada bercakap mengenai pengguguran itu dengan media. Malah beliau mengaku ada merajuk sekejap.

“Bagi saya, rajuk ialah perkara yang sihat. Ia reaksi yang semulajadi kepada sesiapa apabila sesuatu yang tidak kita jangka, berlaku. Saya bukan hipokrit,” kata Datuk Idris Haron yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam tempoh yang sangat singkat.

Hayatnya sebagai Timbalan Menteri yang disandangnya selepas pilihanraya umum Mac 2008 terhenti semasa peralihan kuasa dari Tun Abdullah Badawi kepada Najib pada April 2009.

Menurut Idris, salah satu sebab mengapa beliau berdiam diri sekian lama kerana takut akan meluahkan kenyataan yang salah. “Apabila saya kena gugur, soalan yang berlegar dalam kepala saya ialah kenapa? Apa kesalahan saya? Adakah prestasi saya tidak cukup bagus dan tidak sampai ke tahap yang dimahukan?

“Pada ketika itu saya akui tidak begitu demokratik. Wartawan nak interbiu dan telefon pun saya tak jawab. Saya terus balik ke Melaka. Saya menerima lebih daripada 3,000 SMS. Saya mengambil masa dua minggu menjawab kesemua SMS itu. Ayat yang saya guna, terima kasih dan saya pasrah,” kata Idris, yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu.

Menurut Idris, beliau memang mendengar cakap-cakap yang mengatakan kena gugur dari kabinet kerana beliau orang Pak Lah. Katanya gosip itu masih berterusan hingga sekarang.

“Ketika Pak Lah jadi PM, semua Menteri dan ahli parti adalah orang Pak Lah dan saya sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi meletakkan kesetiaan kepada Perdana Menteri ketika itu,

“Jadi, apabila semua orang telah bersetuju Datuk Seri Mohd Najib mengambilalih sebagai presiden parti dan Perdana Menteri, maka kesetiaan saya ialah kepada kepimpinan nombor 1.

“ I am a party man. Whatever the situation is, my loyalty is to the Prime Minister and the party leader .”katanya dalam interbiu dengan Agendadaily baru-baru ini.

Menurut Idris, orang yang pertama menelefonnya sebaik beliau digugurkan ialah Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang terkejut memandangkan Idris telah memenangi kerusi MT.

“Saya mula-mula okay. Tetapi apabila SMS mula mencurah-curah dan selepas itu ketika saya di pejabat, anak lelaki saya yang ketika itu menuntut di Tingkatan 5 datang dari Melaka.

“Dia terus peluk saya dan kata, “Abah, mereka tak tahu abah kerja macam mana,” saya terus menangis.

“Rupa-rupanya dia mengira jumlah hari saya makan malam bersama keluarga. Menurut anak saya, dalam setahun saya makan malam dengan keluarga hanya 10 hari. Maknanya, saya kerja 375 hari sebagai Timbalan Menteri (satu tahun 10 hari). Saya begitu obses dengan kerja,” ceritanya.

Menurut Idris, atas desakan ramai sahabatnya, beliau menggagahkan diri ke rumah Perdana Menteri selepas pengguguran itu. “Saya pergi dan lihat ramai orang. Saya sembahyang Maghrib dan Isyak di sana dan selepas itu tiba-tiba rasa sayu dan selepas membaca Yassin, saya terus balik. Saya tak jadi jumpa Datuk Seri Najib.

“Saya mahu bertemunya untuk mencari jawapan. Akhirnya dua minggu selepas rombakan kabinet, saya menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO buat kali pertama.

“Saya datang dan semua orang ada di situ. Pada mulanya saya rasa kekok. Maklumlah itu hari pertama datang mesyuarat sebagai ahli MT, dan kedua, kita ni baru kena gugur. Tetapi apabila PM mula mempengerusikan mesyuarat, baru saya rasa selesa.

“Dalam mesyuarat itu saya menawarkan diri untuk mewakili parti ke Kazakhstan untuk kongres tahunan parti Nur Otan. Bila saya nak balik, saya salam PM dan terkejut apabila beliau memberitahu mahu bertemu saya secara peribadi.

“Apabila beliau cakap macam itu, segala persoalan yang ada dalam benak fikiran saya hilang. Saya tak tahu mengapa. Kalau sebelum masuk mesyuarat, saya berjalan tunduk, selepas PM cakap macam itu, saya terus keluar mesyuarat berjalan tegak. Begitulah “power” dan aura seorang pemimpin!

“Saya kata kat PM, anytime sir . Apabila pulang dari Kazakhstan, saya bentangkan laporan mengenai lawatan kongres itu dalam mesyuarat MT yang kedua. Bila habis mesyuarat, PM salam saya lagi dan bertanya bila nak jumpa.

“Saya ingatkan pada kali pertama itu apabila PM berkata mahu berjumpa, saya tunggu pegawai dia panggil, Tetapi apabila beliau sudah menyebutnya buat kali kedua, saya sendiri terus buat temujanji bertemunya.”

Menurut Idris beliau bertemu Perdana Menteri sebelum mesyuarat MT ketiga bermula. Katanya dalam pertemuan itu Perdana Menteri telah memberitahu mahukan beliau memimpin sesuatu, tetapi tidak mengulas lanjut.

Pada 1 April lalu Idris dilantik sebagai Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB, menggantikan Datuk Azian Osman.

SPNB ditubuhkan pada 21 Ogos 1997 sebagai sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (Mof Inc.) yang bertujuan menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti kepada setiap keluarga di Malaysia sejajar dengan Objektif Perumahan Negara.

Idris turut mengulas mengenai label “orang Ali Rustam”. “Ketika beliau menawarkan diri menjadi calon Timbalan Presiden, saya setuju dengan label itu. Tambahan pula beliau adalah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri saya dan saya adalah anak didik dia. Saya lahir ketika zamannyaa. Itu memang saya tak nafikan.

“Apabila keputusan untuk membatalkan ( hilang kelayakan bertanding Timbalan Presiden ) Ali Rustam dibuat, ramai orang tak tahu saya adalah antara orang yang duduk dengannya dan mententeramkan keadaan supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya diarahkan untuk memastikan tidak berlaku perkara yang luar biasa seperti penyokong memberontak dan melakukan provokasi. Saya kena tenangkan beliau supaya tidak terpengaruh dengan provokasi penyokong-penyokongnya.

“Saya bertegang lidah dengan penyokong-penyokong Ali Rustam ketika itu yang mendesaknya terus melawan. Saya beritahu Ali Rustam bahawa jawatan Timbalan Presiden UMNO bukan “power seat” untuk beliau.

“Saya katakan bahawa “power seat” untuk beliau ialah sebagai Ketua Menteri. Jika beliau melawan, beliau mungkin tak akan kekal sebagai Ketua Menteri. Dalam suasana ketika itu, kita perlu menyelamatkan salah satu jawatan. Maka, saya berpendirian, adalah lebih baik saya selamatkan beliau sebagai Ketua Menteri Melaka daripada beliau kehilangan kedua-dua jawatan.

“Ali Rustam sebenarnya seorang yang sangat “cool”. Penyokong-penyokong beliau yang terlebih. Syukurlah beliau mendengar pandangan saya dan rakan-rakan yang lain.”

Idris Haron lahir pada 13 Mei 1966 dan karier politiknya bermula pada 1993 apabila menjadi Ketua Pemuda UMNO Klebang Kecil ketika berusia 28 tahun.

Idris turut ditanya bagaimana beliau begitu tenang menghadapi fitnah dan gosip. “Dalam politik, kita tidak boleh menghentikan khabar angin daripada berlaku. Kita kena belajar mengawal dan berdepan dengannya, sama ada khabar angin itu positif atau negatif.

“Saya melihatnya, apabila seseorang mencetuskan khabar angin, ia boleh mengakibatkan karier politik orang tertentu terjejas. Ataupun kalau ada kejujuran dalam khabar angin itu, ia juga boleh menyebabkan perhatian yang lebih kepada orang yang dikata, macam saya.

“Semua mata akan tertumpu kepada saya dan saya akan menjadi perhatian ramai. Kesilapan yang saya buat akan mereka “spin” untuk menjatuhkan atau menaikkan nama saya,” kata Idris.

Diminta mengulas pendapatnya mengenai nasib yang menimpa mentornya, Ali Rustam, Idris berkata, ia adalah lumrah.

“Dalam politik, kita berpegang kepada ketidaktentuan. Politik adalah seni serba kemungkinan dan tiada ketentuan. Itu sebab kita semua berada dalam keluarga demokrasi.

“Kita tak boleh baca fikiran orang. Dia boleh cakap lain dan fikir atau buat benda lain.

“Saya tak suka terlalu merancang awal dan meramal kemungkinan kerana kebanyakan masa kita akan lebih kepada kekecewaan jika kita mengharapkan sesuatu.

“Maka, saya serahkan nasib politik saya kepada kepimpinan negara dan penyokong yang berada bersama saya. Tetapi apa juga yang bakal berlaku, kita akan terimanya sebagai hakikat.

“Lazimnya dalam politik, ia akan berakhir dalam kekecewaan.Saya pernah melaluinya dan jika ia berlaku lagi, saya dah tak hairan.

“Di mana ada pengorbanan, mesti ada kehilangan. Keluarga saya tahu mereka terpaksa berkorban.Mereka tahu ada perkara yang saya kena kompromi, iaitu masa, tenaga dan wang ringgit.

Bercakap mengenai fungsinya sebagai pengerusi SPNB, Idris berkata beliau sedang memperkemaskan hala tuju syarikat mengikut dasar yang ditentukan.

Idris tersenyum apabila ditanya tidakkah beliau fikir jawatan itu adalah satu kerusi panas.

“Panas atau sejuk, ia bergantung kepada penerimaan kita terhadap jawatan ini. Kalau kita anggap ia jawatan politik, ia akan menjadi kerusi panas. Tetapi sekiranya kita menganggapnya sebagai jawatan pentadbiran untuk bantu PM dan kerajaan menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat, ia akan jadi “performance seat.”

Idris berkata beliau tidak menghadapi masalah membahagikan masa antara jawatannya sebagai pengerusi SPNB, ahli MT UMNO dan Ahli Parlimen.

“Empat hari saya di SPNB, 3 hari di kawasan. Apabila Dewan Rakyat bersidang, kebanyakan mesyuarat SPNB saya adakan di parlimen.” 28/07/10.

(sumber;http://www.agendadaily.com/cmspreview/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1c0b3690-7f000010-1d956ad0-55427590)

No comments: