Monday, July 5, 2010

Lagi isu KSU

ARKIB : 04/07/2010
Lagi isu KSU

Tulisan Awang bertajuk KSU paling berkuasa... dalam ruangan ini minggu lalu mengundang perhatian banyak pihak. Ramai yang ingin tahu siapakah KSU yang dimaksudkan. Ada yang meminta agar didedahkan nama KSU itu dalam tulisan kali ini.

Seperti yang dinyatakan minggu lalu, Awang tidak berhasrat menamakan KSU berkenaan. Itu bukanlah tujuan sebenar. Awang tidak mahu mengaibkan sesiapa. Ia sekadar mahu membuka mata semua pihak tentang adanya seorang KSU yang kelihatan begitu berkuasa dan membuat banyak percaturan mengikut apa yang beliau suka. Siapa yang makan cili dia yang terasa pedas. Kepada kebanyakan KSU, usahlah gundah kerana mereka diakui menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik, cekap dan profesional. Pada Awang, yang dilihat menjadi maharaja atau Napoleon kecil cuma seorang.

Pejabat Awang turut menerima panggilan daripada seorang pegawai yang mewakili pihak atasan (bukan menteri atau pemimpin politik). Pegawai itu yang mendapat arahan daripada bosnya mahu tahu siapakah KSU yang dimaksudkan. Pegawai yang sama membayangkan bahawa bosnya tidak senang dengan tulisan itu. Katanya lagi, kesemua KSU kecewa. Sama ada ia benar atau tidak, tidak dapat dipastikan.

Awang hanya senyum sambil geleng kepala. Di Malaysia, ternyata kita mudah melatah apabila ada aduan dan maklum balas sedemikian. Malah kita lebih cenderung mengambil sikap tidak berpuas hati. Lain keadaannya dengan budaya perkhidmatan awam di beberapa negara maju. Di Jepun misalnya, para pemimpin perkhidmatan dan jabatan awam akan merasa tidak gembira jika mereka kurang menerima kritikan dan aduan. Mereka bukan sahaja sentiasa positif bahkan mahu menjadi lebih relevan dengan mengurus banyak kritikan demi kepentingan rakyat dan pengguna. Apakah pimpinan perkhidmatan awam hanya mengharapkan pujian semata-mata, yang Awang harap tidak begitu. Kalau pegawai peringkat sederhana, rendah dan kakitangan awam diasak untuk berubah dan mendokong integriti serta profesionalisme, bagaimana pula mereka?

Dalam pada itu, Awang berharap sesiapa yang berkenaan dapat memantau pegawai kanan seperti KSU yang bermasalah dengan pendekatan lebih pro aktif dan menerusi mekanisme tertentu. Janganlah hanya menunggu keluhan dan maklum balas menerusi media baru mahu bertindak. Dalam kes KSU berkenaan, cakap-cakap negatif mengenainya sudah lama kedengaran tetapi seolah-olah tidak diberi perhatian. Siasat dan nilailah. Jika tidak benar, Awang yang sekadar membawa keluhan banyak pihak, sedia memohon maaf. Tetapi jika benar, buatlah apa yang wajar. Awang sudah tolong lontarkan isu tersebut, carilah sendiri jawapannya dengan hati yang lapang dan dada terbuka.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm)

No comments: