Thursday, July 29, 2010

Surat Sokongan Mesti Dielak – MB Selangor

Surat Sokongan Mesti Dielak – MB Selangor

Thu, Jul 29, 2010

Oleh Rahmah Ghazali

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa surat sokongan untuk tujuan perniagaan mesti dielak kerana ini akan mengakibatkan "konflik kepentingan."

Arahan ini dikeluarkan berikutan tuduhan salah guna kuasa surat sokongan menyelubungi ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK), Tee Boon Hock seperti dilaporkan akhbar The Star kelmarin.

Bagaimanapun beliau mengingatkan bahawa surat sokongan untuk tujuan kebajikan adalah dikecualikan "untuk membantu rakyat yang memerlukan."

"Saya ingin menasihati pemimpin-pemimpin, ahli exco negeri, wakil kerajaan negeri dan ahli majlis tempatan tidak mengeluarkan surat sokongan untuk meraih peluang-peluang perniagaan," katanya.

Apabila ditanya sama ada kerajaan negeri akan merombak sepenuhnya kaedah permohonan kontrak, Khalid bagaimanapun mengakui bahawa agak mustahil untuk melakukannya.

"Kadangkala, orang datang ke pejabat dan meminta sokongan. Jika kita kata tidak, sedangkan mereka datang sejauh 20 kilometer, saya fikir kadang kala ianya buruk bagi perhubungan awam dan memberi kesan kepada politik dan kita harus memberi pertimbangan.

"Jadi biar mereka (pemimpin-pemimpin) membuat orang ramai merasa selesa. Kita perlu menyediakan keselesaan ini atas nama kemanusiaan," katanya.

Tetapi beliau menekankan bahawa tender-tender perniagaan biasanya diperolehi tanpa perlu kepada surat sokongan.

"Terdapat kriteria pemilihan yang perlu dipenuhi untuk mendapatkan kontrak tersebut. Tidak perlu kepada surat sokongan kerana pemilihan dibuat berdasarkan merit," kata Khalid.

Dalam laporan semalam, Tee yang bertugas sebagai penolong khas Ronnie Liu dari tahun 2008 hingga 2009 menafikan dengan sekeras-kerasnya mengenai tuduhan bahawa adalah menjadi amalan biasa untuk beliau menandatangani surat-surat sokongan kepada mereka yang memerlukan pertolongan daripada seorang ahli dewan undangan negeri.

Sokongan "tidak begitu kuat"

Walaupun pihak berkuasa tempatan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan, ini tidak boleh dijadikan asas keputusan yang dibuat untuk tujuan pelantikan," terang Khalid.

"Mereka akan terus melakukan perkara itu, tapi itu tidak menjadi asas pelantikan ……disamping itu, sokongan ini tidak begitu kuat," katanya.

Mengenai hal ini beliau berkata kerajaan negeri akan mengeluarkan surat pekeliling untuk diedarkan kepada jabatan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

"Ini selaras dengan nasihat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan supaya pemimpin-pemimpin dan para pegawai diperingkat negeri tidak mengeluarkan surat sokongan," katanya.

Khalid mendedahkan bahawa kerajaan negeri akan meminta datuk bandar, presiden pihak berkuasa tempatan dan agensi kerajaan untuk mengambil balik surat sokongan yang telah dikeluarkan.

"Surat-surat ini akan diaudit untuk memastikan keberkesanannya," katanya.

Walaupun diberitahu bahawa ini merupakan amalan biasa oleh pihak berkuasa tempatan, sepertimana yang disahkan oleh Tee, tetapi ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya Derek Fernandez menyatakan surat-surat sokongan bukan menjadi keperluan untuk tender perniagaan.

Beliau berkata kerajaan persekutuan telah mengeluarkan pekeliling mendesak pihak berkuasa tempatan tidak menggunakan surat sokongan dan pemberian kontrak hendaklah berdasarkan merit.

(sumber;http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=6737)

No comments: