Saturday, February 20, 2010

Kisah teladan: Gelojoh, gelojoh dan gelojoh


Kisah teladan: Gelojoh, gelojoh dan gelojoh

Oleh Zaini Hassan

ORANG politik cakap tak serupa bikin. Semuanya kerana harta, berebut pangkat, penting diri sendiri dan ketamakan. Itulah yang berlaku dalam pakatan pembangkang sekarang.

Baik dalam Pas di Kelantan atas sifat nepotisme dan kronisme, begitu juga di Selangor dan di Pulau Pinang. Jangan cakaplah sama ada orang politik itu kononnya alim dan berserban atau tidak alim, semuanya sama saja.

Lim Guan Eng yang kononnya mahu mewujudkan kerajaan yang bersih pun sama. Setelah berada di puncak kuasa, beliau sudah lupa janji-janjinya dalam pilihan raya lalu. Itu pasallah Ahli Parlimen PKR Bayan Baru, Zahrain Mohamed Hashim mengamuk dengan menuduh Guan Eng sebagai “diktator, cauvinis dan berotak-komunis”. Tuduhan itu cukup serius. Setakat ini tiada desas-desus Guan Eng akan saman Zahrain.

Sebaliknya Guan Eng pula mendakwa, Zahrain ‘‘kecewa” (istilah dalam The Star “politically frustrated”) kerana cadangannya memasukkan sebuah syarikat bermodal RM2 untuk satu projek ditolak oleh kerajaan negeri.

Zahrain dalam wawancaranya kepada The New Straits Times (NST) pula menjawab: “Itu satu pembohongan besar. Malah mereka cuba nak kaitkan syarikat itu dengan anak saya pula. Saya akan saman mereka.”

Betul tak betul, hakikatnya itu semua adalah kerana harta dan ketamakan. Jika dulu mereka menuduh orang UMNO bersifat begitu, kini mereka lagi lebih. Orang putih kata “the pot calling the kettle black”, orang Melayu kata “cakap tak serupa bikin’'. Baru dua tahun rakyat memberi undi dan memberi peluang perintah kepada mereka - suasananya sudah haru-biru.

Jika dulu mereka tuduh orang UMNO atau BN korup, tapi sebusuk-busuk UMNO dan BN, Malaysia telah disentosakan dan rakyat telah dimakmurkan. Tapi, bagi pakatan pembangkang ini apa yang kita nampak? Habuk pun tarak. Apa yang ada di hadapan kita sekarang sama ada di Selangor, Pulau Pinang, Kedah – malah Kelantan sekali ialah peninggalan kerajaan Barisan dulu yang ditolak rakyat.

Rakyat telah menikmati pelbagai faedah daripada kerajaan yang mereka tolak itu. Sekurang-kurangnya orang Melayu boleh bekerja di kilang-kilang yang tumbuh bagai cendawan dulu. Tak pasti berapa banyak kilang sudah wujud dan berapa banyak pekerjaan sudah dibuka semasa pemerintahan Guan Eng ini. Di Pulau Pinang, jika kita pergi sekarang ke kompleks-kompleks membeli-belahnya tiada budaya Malaysia langsung! Itu adalah realiti. Sepatutnya ia menggambarkan budaya 1Malaysia, sekurang-kurangnyalah.

Saya tidak pasti benar atau tidak gerai-gerai orang Melayu di tepi-tepi jalan di Pulau Pinang dirobohkan? Jika benar amat sedih sekalilah. Mereka mahu mencari makan dan kebanyakan mereka adalah orang yang memberi undi kepada kerajaan Guan Eng sekarang.

Nampak gaya semuanya sudah jadi cacamarba. Anwar Ibrahim pun dengan masalah dirinya yang tidak selesai-selesai. Pelbagai usaha dilakukan oleh peguamnya untuk menyelamatkan klien mereka itu. Pelbagai cara teknikal dilakukan untuk terus menangguhkan kes Anwar yang dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari.

Namun semalam Saiful gembira. Setelah lebih setahun menunggu akhirnya dia akan dapat peluang untuk memberi keterangan dalam kes liwat itu yang bermula hari ini. SMS Alert Utusan dari mahkamah tertulis: “Dia tenang tanpa tekanan.”

Tapi politik Malaysia ini penuh dengan warna-warninya. Semalam juga, buat pertama kalinya, Nik Aziz Nik Mat yang terlalu kasihan dengan Anwar sanggup “turun padang” ke mahkamah untuk melawat rakannya itu.

Sebagai seorang totok politik, Nik Aziz tahu untuk mengalihkan masalah dirinya kepada masalah lain. Isu anak menantunya masih panas, dia melalui penasihat-penasihatnya yang bijak sejak seminggu ini mengalihkan perhatian awam kepada isu royalti minyak. Ku Li juga turut serta dalam satu perhimpunan isu minyak itu, maka sekelip mata isu anak menantunya yang dikatakan orang sebagai “budaya nepotisme dan kronisme Nik Aziz” tertutup.

Semalam, Nik Aziz ke mahkamah untuk mendapatkan publisiti penuh bagi dirinya dan sekali gus menutup isu dirinya dan anak menantunya lagi. Sungguh bijak para penasihatnya yang diketuai oleh Husam Musa melakukan diversion. Dengan sendirinya isu pokok Nik Aziz dan anak menantunya tertutup. Dalam konteks Malaysia taktik lencongan itu cukup efektif kerana tahap pemikiran orang kita cukup singkat dan mudah lupa.

Selangor pun tak kurang panasnya. Selain isu kerakusan kaut pasir yang membabitkan orang politik negeri itu, isu Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) yang diterajui oleh orang UMNO ternyata panas. Tanah YBK seluas 526 hektar di Serendah, Rawang – pemberian kerajaan UMNO dulu, dirampas kerajaan sekarang kerana yayasan itu gagal jelaskan cukai berjumlah RM5.7 juta.

Walaupun isu itu lebih membabitkan soal kompromi dan tolak-ansur, kerajaan sekarang tidak akan berbuat demikian. Dengan Menteri Besar Khalid Ibrahim yang dikatakan ‘lemah’ di bawah pengaruh DAP maka agak sukar usaha kompromi itu dijalankan. Tanah itu dikatakan tapak untuk didirikan kampus UiTM.

Perak pula pun akan panas tidak lama lagi. Keputusan status kerajaan BN pimpinan Dr. Zambry Abd. Kadir akan diketahui di Mahkamah Persekutuan 9 Februari ini.

Dengar kata, kedua-dua BN dan DAP-Pas sudah bersiap sedia. Siapa menang ia akan memerintah negeri itu. Tapi persoalannya, apakah akan berlaku pilihan raya negeri jika sesuatu yang di luar jangkaan berlaku di pihak BN. Akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri sebelum 9 Februari ini? Macam-macam khabar angin di luar sana.

Namun, mengikut tinjauan – orang Perak tidak mahu melakukan kesilapan kali kedua untuk memberi Perak kepada DAP yang melantik Pas sebagai boneka mereka.

Akhir sekali, saya tertarik dengan petikan Zahrain dalam wawancaranya dengan NST semalam, beliau berkata: “Saya terus-menerus mengingatkan mereka (kerajaan Guan Eng) bahawa keputusan pilihan raya umum Mac 2008 adalah undi protes oleh para pengundi, yang melihat kami sebagai alternatif mereka...”

Benar kata Zahrain, keputusan undi PRU-12 itu tidak real, ia banyak dipengaruhi oleh emosi, perasaan dan persepsi yang negatif terhadap pemerintah.

Apa yang dikatakan Zahrain itu juga seharusnya dijadikan iktibar oleh orang politik kerajaan yang memerintah Malaysia sekarang. PRU-13 adalah penentunya yang sebenar. Oleh itu kita semua janganlah gelojoh.

(sumber;http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm&arc=hive)

No comments: