Wednesday, February 3, 2010

Kenyataan Pegawai Khas PM Disalah Tafsir - Kelab Belia Graduan


Kenyataan Pegawai Khas PM Disalah Tafsir - Kelab Belia Graduan

PUTRAJAYA, 3 Feb (Bernama) -- Kenyataan berunsur perkauman yang didakwa dibuat oleh Pegawai Khas kepada Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar, pada seminar 1Malaysia di Melaka semalam, telah disalah tafsir, kata Timbalan Pengerusi Kelab Belia Graduan 1Malaysia, Najieb Mokhtar.

"Beliau telah mengendalikan 60 ceramah sepanjang tahun lepas dan pada tahun ini sahaja sebanyak 22 ceramah, dan tidak pernah wujud sebarang penyalahtafsiran dan ketidak fahaman selama ini. Kami yakin isu ini timbul akibat provokasi," katanya kepada pemberita Rabu.

Seramai 20 orang wakil kelab itu berkumpul di hadapan pondok pengawal Jabatan Perdana Menteri Rabu bagi memberi sokongan kepada Nasir yang didakwa mengeluarkan kata-kata pada satu seminar yang menyinggung perasaan kaum-kaum tertentu.

Pada Selasa, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan bahawa Nasir akan meletak jawatan.

Najieb berkata beliau turut hadir pada seminar itu semalam dan tidak berlaku boikot acara berkenaan seperti yang didakwa.

"Terdapat 1,000 orang daripada pelbagai kaum yang hadir. Adalah dalam lima orang yang meninggalkan dewan sedangkan yang lain memberi tepukan ketika Datuk (Nasir) hendak beredar," katanya.

Najieb berharap Nasir tidak akan meletak jawatan kerana beliau masih mampu menyumbang khidmat yang baik dalam melaksanakan misi Perdana Menteri.

-- BERNAMA

(sumber;http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=473081)

-----------------------------------------------------------------------------------


'India pengemis', 'Cina jual tubuh' - 12 laporan dibuat Yip Ai Tsin
Feb 3, 10
1:59pm

Sekurang-kurang 12 laporan polis dibuat ke atas pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Nasir Safar berhubung kenyataannya yang berbaur perkauman pada seminar 1Malaysia di Melaka, semalam.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mohd Bakri Zinin, semua 12 laporan itu dibuat di seluruh negara dan beliau memberi jaminan siasatan terperinci akan dijalankan.

Ditanya samada Nasir akan ditahan atau diheret ke mahkamah berhubung kenyataannya itu, Mohd Bakri berkata adalah terlalu awal untuk mengulas sementara siasatan dijalankan.

“Biar kami menyiasat terlebih dahulu. Kami mesti mengumpul semua fakta dan saksi. Hanya selepas itu, kami akan menentukan samada untuk menahannya,” katanya.

Ucapan Nasir di Melaka semalam itu menyebabkan puluhan ahli MIC, MCA dan perwakilan pertubuhan bukan kerajaan meninggalkan majlis berkenaan.

Dia dikatakan menimbulkan kemarahan hadirin apabila melabelkan kaum India dan Cina sebagai pendatang.

Selain itu, Nasir juga didakwa mengancam akan menarik balik kerakyatan mereka yang menentang keputusan kerajaan untuk menghadkan 12 matapelajaran sahaja untuk peperiksaan SPM.

Beberapa jam selepas Malaysiakini mendedahkan berita itu, Pejabat Perdana Menteri pada satu kenyataan malam semalam mengumumkan Nasir akan meletakkan jawatan.

Menurut kenyataan media itu lagi, kenyataan Nasir juga tidak mencerminkan pandangan perdana menteri.

Nasir, tambahnya, memohon maaf terhadap sebarang kenyataannya yang menyinggung mana-mana pihak.

(sumber;http://www.malaysiakini.com/news/123576)

zmsegamat kata: sama-sama kita menilai kenyataan dari BERNAMA dan MALAYSIAKINI
teringat pada peribahasa melayu "Takkan cempedak berbau nangka" yang bermaksud hendaklah diselidiki sesuatu perkara itu dengan saksama lebih dahulu sebelum mempercayai percakapan orang. kita kena baca buku sejarah negara kita selepas ini.

1 comment:

Anonymous said...

deepa dah naik lemak...