Saturday, November 14, 2009

Biaya haji: PAS bukan makan suap tapi suap makan

Biaya haji: PAS bukan makan suap tapi suap makan

Oleh: HANAFIAH MAN


“Dalam PAS dia bukan rasuah juga bukan makan suap tapi suap makan maknanya apabila disuap dia makan kerana suap makan sudah menjadi perkara biasa pada PAS” itulah perumpamaan yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang DUN Kelantan Datuk Alwi Che Mat ketika mengulas isu Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ditaja untuk mengerjakan ibadah haji.

Namun isu berkenaan yang dikritik hebat oleh banyak pihak kerana menyifatkan pembiayaan tersebut kemungkinan mempunyai unsur rasuah dikatakan ia hanya sumbangan oleh Nik Aziz sendiri.

Alwi mempersoalkan kenyataan Nik Aziz yang menyifatkan pembiayaan itu adalah sumbangan dan bukannya satu bentuk rasuah kerana pihak yang membiayai jelas mempunyai kepentingan dengan projek kerajaan negeri Kelantan.

Menyokong dakwaannya itu, Alwi mendakwa, pembiayaan untuk Nik Aziz mengerjakan haji itu dibuat oleh seorang ahli perniagaan yang bernama Nordin Awang yang merupakan pemilik syarikat Abroad Technologies Sdn Bhd.

“Syarikat itu diberikan hak eksklusif untuk memasang papan iklan di seluruh negeri Kelantan. Antara iklan itu ialah iklan Membina Generasi Al Quran yang memaparkan gambar Nik Aziz dan cucunya, anak kepada Arif Fahmi (menantu Nik Aziz),” katanya.

Sehubungan itu beliau mempersoalkan, tidakkah pihak yang membiayai perbelanjaan haji tersebut mempunyai kepentingan terhadap projek yang dikendalikan oleh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui oleh menantu Nik Aziz sendiri .

“Tidakkah ini ada unsur-unsur yang boleh dipersoalkan,” tambahnya.

Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, pembiayaan haji yang melebih RM400,000 tersebut yang dibuat melalui TH Travel melibatkan Nik Aziz dan isteri, Arif Fahmi dan isteri, Setiausaha Sulit Nik Aziz dan Nordin serta isterinya.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi pembiayaan haji Nik Aziz dan keluarganya itu bagi setiap orang ialah sebanyak RM65,000.

“Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah pun pergi haji tahun ini tapi pekej beliau hanya RM23,000 sahaja berbanding mereka RM65,000,” tambahnya.

Alwi juga hairan kenapa setelah isu tersebut ‘meletup’ kenapa kini ada usaha untuk mengalihkan perhatian dengan cuba mengaitkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Kini mereka cuba mengalihkan perhatian apabila mula menyebarkan cerita kononnya isu pembiayaan haji ini didalangi oleh UMNO dan BN. Apakah mereka ingin mengatakan bahawa menantu Nik Aziz adalah dalang UMNO dan BN,” soalnya.

Alwi juga mendakwa, syarikat Abroad Technologies Sdn Bhd milik Nordin kini telah dijual kepada seorang tauke Cina.

Selain itu, Alwi turut mendedahkan pembinaan sebuah sekolah agama dibiayai oleh sebuah syarikat yang telah mendapat kontrak daripada kerajaan negeri.

“Sebuah syarikat bernama Sensa Timur telah diberi kontrak membina bazar Tok Guru di Kota Bharu. Syarikat ini juga telah menderma untuk membina sebuah sekolah agama berhampiran rumah Nik Aziz yang diberi nama Darul Anwar,” ujar beliau.

Berdasarkan pendedahan ini, ada yang menyatakan mungkin ada kebenaran apa yang didedahkan oleh kickdefella dalam blognya http://kickdefella.wordpress.com – 12/11/2009


(sumber;http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_1b63fcca-cabec5bb-154de0b0-d08a5a1a)

No comments: