Wednesday, July 8, 2009

Renungan sempena 100 hari kepimpinan Najib: Ruhanie Ahmad





Pada Sabtu,11 Julai 2009, jam 10.30 pagi, di KLCC, Kuala Lumpur, akan berlangsung majlis “100 hari Najib bersama rakyat.” Daripada jemputan yang saya terima, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga dijangka turut hadir.

Sempena majlis berkenaan, saya ada beberapa catatan buat renungan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia keenam merangkap Presiden UMNO Malaysia.

Satu: Segolongan orang Melayu kini berasa cemas terhadap beberapa pengumuman kerajaan mengenai liberalisasi baru-baru ini. Perkara ini perlu dijelaskan hingga ke peringkat akar umbi jika kerajaan mahukan kemenangan dalam PRU 13. Ada pihak mengatakan kesemuanya baik dan selaras dengan tuntutan global. Tapi banyak pihak juga yang merasakan kerajaan seolah-olah memberikan terlalu banyak muka kepada pihak bukan Melayu dan kelompok asing.

Dua: Konsep 1Malaysia perlu mempunyai satu dokumen yang rasmi dan komprehensif. Ini perlu dikeluarkan dengan seberapa segera untuk mengelakkan ianya dieksploitasikan oleh pihak oportunis yang mahu memesongkan rakyat kononnya konsep 1Malaysia adalah sinonim dengan konsep Malaysian Malaysia yang dihebahkan oleh PAP serta Malaysian Solidarity Council di Singapura pada 6 Jun 1965, dan diumumkan oleh DAP menerusi Deklarasi Setapak, di Kuala Lumpur, menjelang PRU pada tahun 1969.

Tiga: Biasiswa Nasional yang diumumkan oleh kerajaan atas dasar meritokrasi cukup menarik. Tetapi, belum pasti ianya diterima baik oleh pribumi, iaitu orang Melayu dan Bumiputera, terutama sekali bila soal biasiswa adalah soal yang termaktub dan dilindungi oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Untuk merincikan polemik ini kajilah maksud dan semangat Perkara 153 dengan tenang dan terbuka. Pihak bukan Melayu yang asyik mendesak dengan tuntutan demi tuntutan mengenai soal biasiswa juga perlu memahami semangat Perkara 153 ini. Menurut Leong (2003:91), penganugerahan hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu (pada 1957) adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu pada ketika itu terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera (sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan). Oleh itu, kerajaan sewajarnya mempertahankan semangat dan maksud Perkara 153 tanpa sebarang kompromi.

Empat: Pengumuman kerajaan mengenai jambatan ketiga bagi menghubungkan Malaysia dengan Singapura kurang disenangi oleh sebilangan rakyat, terutamanya rakyat Johor Darul Takzim. Sebaliknya, kerajaan akan terbukti bijaksana jika Projek Jambatan Bengkok dapat diteruskan pembinaannya.

Lima: Adakah UMNO sudah benar-benar pulih dan kembali perkasa? Bukankah UMNO masih lagi dipalit dan dicalit dengan beberapa kontroversi membabitkan beberapa individu yang terbukti terlibat dengan rasuah politik? Apakah tindakan tegas sudah dikenakan ke atas mereka? Atau, masihkah UMNO mahu meneruskan patronage ke atas individu-individu ini? Persoalan-persoalan ini perlu dihayati demi kelangsungan UMNO dan kerajaan dalam PRU13.

Demikian lima perkara khusus buat renungan Najib dan Muhyiddin serta seluruh anggota kabinetnya sempena majlis “100 hari Najib bersama rakyat” pada 11 Julai 2009. Saya akan artikulasikan seluruh perkara ini satu per satu tidak lama lagi.

Mudah-mudahan kepimpinan Najib-Muhyiddin akan mampu memberikan sinar harapan serta keunggulan realiti kepada orang Melayu, Bumiputera dan bukan Melayu seluruhnya berasaskan semangat dan maksud perkara-perkara strategik dalam Perlembagaan Persekutuan yang diwujudkan khusus demi negara yang majmuk dan kelangsungannya di hari muka. KEPADA ALLAH BERSERAH!
Posted by kudakepang at 12:20 PM

(sumber:http://kuda-kepang.blogspot.com/2009/07/renungan-sempena-100-hari-kepimpinan.html)

No comments: